Prinsip Bola Sepak Marcelo Bielsa Dan 10 Perintah

Marcelo Bielsa adalah pengurus yang sangat berpengaruh dalam arena bola sepak. Beliau sentiasa percaya, jurulatih tetap jurulatih walaupun apa sahaja prinsip yang menyatakan berikan kebebasan untuk pemain anda bermain.

“Anda boleh berikan kebebasan tetapi anda harus bertanya, bagaimana anda mahu membentuk mereka menjadi pemain.”

Pemain yang dimaksudkan Bielsa adalah pemain bola sepak yang holistik, yang kuat secara fizikal, secara mental dan juga tahu akan obligasi mereka di dalam pasukan.

Pemain yang baik itu tak semestinya daripada genetik. Tak semestinya seorang anak pemain bola sepak yang hebat akan menjadi pemain yang hebat. Bielsa berkata:

“Seorang pemain bola sepak yang hebat biasanya ada idola mereka sendiri untuk mereka ikut. Ini yang akan membentuk genetik mereka sendiri.”

“Pada masa yang sama, kita perlukan satu kawasan atau bandar bola sepak. Ada banyak tempat di dunia ini yang tak mesra bola sepak. Pemain-pemain terutama sekali anak-anak muda tak mampu bermain bola sepak waktu petang kerana tidak mampu mencari kawan untuk bermain ataupun tiada tempat untuk bermain.”

Apa yang dikatakan Bielsa ini memang ada kebenarannya. Jika lihat situasi di Brazil, mereka boleh bermain di mana-mana sahaja dengan ramai yang mahu terlibat. Ibu bapa mereka juga merestui hobi anak-anak mereka.

Konsep latihan

Bielsa adalah seorang yang sangat tegas dalam soal latihan. Pemain yang kurang berjaya, dengan pemain yang berjaya dan pemain berkelas dunia seperti Lionel Messi dan Ronaldo dibezakan dengan latihan.

Sebagai contoh, pemain dibekalkan dengan rutin latihan yang sama di kelab. Biasanya di Eropah mereka berlatih 4 sesi dalam seminggu. Ini bermakna mereka berlatih sekurang-kurangya 720 sesi dalam masa 5 tahun

Persoalannya kini, apa yang dilakukan oleh pemain untuk membezakan diri mereka berbanding dengan pemain lain? Ya, latihan tambahan.

Bielsa percaya, setiap pasukan tiada halangan untuk pemain menggunakan pusat latihan untuk latihan peribadi tambahan. Paling penting pemain juga perlu ada tempat latihan mini di rumah mereka.

Seterusnya, Bielsa bertanya kepada jurulatih:

“Apa perkaitan latihan sesi 1 dengan sesi 720 anda? Apa tujuan setiap nombor latihan anda dalam setahun?”

Bielsa menegaskan, latihan yang kerap tidak akan menjamin sesebuah pasukan itu membentuk taktikal yang stabil jika tiada pemahaman dan jurulatih tidak menyingkirkan aspek latihan yang tak perlu.

Ramai jurulatih hanya melatih pemain berdasarkan modul asas yang mereka belajar ketika kursus kejurulatihan. Jadi, aspek latihan taktikal, latihan tanpa bola tiada variasi.

“Anda perlu mencari, apa yang perlu apa yang tak perlu dalam latihan anda. Ataupun latihan yang anda berikan itu sia-sia.”

Marcelo Bielsa menyatakan beliau ada modul diberi nama 170 Excercises untuk dijadikan rujukan oleh jurulatih. Beliau menegaskan, fokus kepada latihan pemain adalah kompleks.

“Sebagai seorang jurulatih pemain muda, anda harus mengkaji semua gerakan teknikal, termasuk cara menguasai bola. Sebagai contoh, ada 5 cara untuk membolehkan pemain bermain lebih semulajadi (bebas) serta responsif ketika pemain dengan bola.”

Bielsa menyatakan, beliau tidak terlalu bergantung dengan teori itu sepanjang masa dan suatu hari nanti beliau mungkin akan menambah atau mengurangkannya.

“Manusia ada pustaka mental yang menyimpan 50,000 cara berfikir kompetitif. Dan daripada itu, mereka perlukan 26 cara berfikir ketika mengawal bola. Ada 26 pergerakan.”

“Jadi, saya perlu sediakan model latihan dan perlu belajar sendiri cara gerakan itu. Untuk aktiviti mencari bola, pemain perlukan 26 latihan pergerakan juga. Model-model seperti ini yang harus jurulatih adakan dalam latihan pemain muda sekurang-kurangnya untuk 5 tahun.”

“Pemain perlu diajar cara bergerak di dalam padang. Apa cara mereka untuk memperdaya pemain lawan. Sebelum melakukan sesuatu gerakan, pemain itu perlu memastikan pemain lawan hilang jejak.”

“Menjadi jurulatih, tidak bermakna anda hanya membebel tentang masalah pemain, tetapi anda harus mencari penyelesaian kepada mereka.”

“Jurulatih juga perlu memastikan pemain faham apa tujuan latihan mereka. Ajar mereka cara bergerak dan perubahan rentak pada masa yang sesuai.”

“Sebab itu, saya cuba pastikan latihan saya tidak lebih daripada 50 minit sahaja. 15 minit untuk ‘excercise’. 3 minit untuk setiap disiplin ‘excecise’.”

“Untuk pemain profesional saya hanya buat semua disipilin ‘exercise’ dalam sekali jalan. Itu cabaran untuk pemain perofesional. Mereka perlu kompetitif setiap masa.”

Pemain ketiga dan prinsip hantaran

Pemain yang digelar third man ini sangat penting dalam taktikal. Pemain perlu faham, bila masa mereka perlu menjadi pemain ke-3/ third man.

Pemain ini yang akan mengecilkan ruang yang terlalu besar ataupun melebarkan ruang yang terlalu sempit dalam keadaan pasukan perlu menjadi lebih lebar.

Bercerita soal hantaran di dalam padang. Bielsa menyatakan, hantaran adalah aspek yang paling penting kerana ia akan membolehkan pasukan anda mengkaji corak gerakan ataupun ‘attitude’ pasukan lawan.

“Ramai orang berpendapat, menggelecek adalah aspek penting untuk menewaskan lawan anda. Tetapi hantaran lebih penting daripada itu. Anda tidak akan dapat mengkaji corak gerakan lawan anda dengan menggelecek pemain mereka.”

“Tetapi anda akan dapat belajar tentang lawan anda dengan menghantar bola dengan variasi berbeza. Lihat respon mereka secara berpasukan. Apa formasi mereka ketika dalam situasi tertentu.”

“Bola harus dimainkan dan dihantar dalam prinsip. Pertama bola haruslah di antara garisan serangan dan tengah pasukan lawan.”

“Kemudian, fasa kedua, bola haruslah tiba di antara garisan tengah dan pertahanan lawan. Pemain harus sentiasa berhati hati dan kena ada sekurang-kurangnya 2 pemain yang aktif untuk satu bola.”

“Hantaran adalah penyelsaian kepada banyak masalah dalam padang. Ia penting untuk bola sepak kreatif yang memerlukan hantaran panatas.”

“Bola sepak pantas dan kreatif memerlukan circulation yang aktif dan menghalang pemain daripada menguasai di zon yang anda mahu bermain.”

“Apabila anda berada di kawasan blok pertahanan lawan, anda harus memastikan satu bahagian sayap dilebarkan dan satu lagi dikecilkan. Ini untuk memastikan bahagian yang sebelah itu tidak dimanipulasi lawan.”

“Perancang tengah sangat penting untuk memastikan circulation bola dan menghantar bola daripada zon lebih bawah. Hari ini ramai pemain takut melakukan hantaran kunci di kawasan lawan kerana takut kehilangan bola.”

“Itulah pentingnya ‘third man’ yang akan membantu dalam menyelesaikan masalah ini.”

Ketika ditanya, apa lagi tips beliau kepada jurulatih. Bielsa berseloroh dan berkata:

“Cukuplah setakat itu. Pemilik Coca Cola tidak akan memberikan semua resipi rahsia mereka kepada anda.”

10 Perintah Bielsa

Beliau berkata, semua anak murid beliau yang berguru dengan beliau dibekalkan dengan 10 Perintah Bielsa:

“Pertama, sesiapa yang mengorbankan bola sepak canti (beautiful football) hanya kerana mahukan kemenangan, mereka mungkin akan berhadapan dengan saya. Bola sepak adalah satu sukan yang harus dimainkan dengan seronok dan tenang. Saya akan kecewa jika ada anak murid saya yang mahukan semata-mata kemenangan dan bermain dengan teruk.”

“Kedua, pemain mungkin tidak akan melakukan sesuatu secara semulajadi. Mereka mungkin belajar dan lupakannya. Namun apa yang mereka pernah mereka lakukan dalam hidup itu akan automatik keluar ketika saat-saat memerlukan. Sebab itu penting, berikan sahaja mereka latihan dan galakkan mereka mencuba di dalam perlawanan.”

“Ketiga, bola sepak yang tidak ada sistem pemain tengah ofensif (central attacking midfileder) adalah tidak lengkap.”

“Keempat, pemain perlu menghantar bola dalam kedudukan posisi badan terbuka bukannya membelakangkan gol. Anda tidak tahu ancaman dari belakang.”

“Kelima, ada 10 skema taktikal bola sepak. Semua pasukan harus belajar 10 skema itu di pusat latihan. Pasukan tidak harus melupakan skema taktikal itu walaupun berhadapan dengan lawan yang tidak dikenali.”

“Keenam, sebagai jurulatih, anda yang menentukan cara bermain. Anda boleh memilih 2 pilihan sama ada mahu lebih kawalan bola ataupun mahu lebih banyak mengejar bola.”

“Ketujuh, pemain perlu memudahkan permainan di ruang sempit. Jika anda gagal melakukannya, anda bukan pemain yang bagus. Sebab dalam banyak perlawanan, ruang itu kecil dan sukar.”

“Kelapan, hantaran yang baik adalah bola yang tidak melantun-lantun dan bola seperti bilah mesin yang sedang memotong rumput.”

“Kesembilan; semuanya bermula dengan bakat. Bakat adalah jawapan kepada semua perkara.”

“Kesepuluh; Keaslian adalah satu kualiti yang diperlukan oleh seorang jurulatih. Apa yang jurulatih mahukan dan cadangkan adalah disebabkan oleh emosi dan keyakinan mereka. Mental ialah bahagian paling penting dalam diri jurulatih.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN