Diego Simeone akan kembali ke Rom kali ini sebagai pengurus Atletico Madrid. Beliau bukanlah watak yang disukai di gelanggang Roma kerana beliau bekas pemain dan legenda Lazio.
40,000 Romanisti dilaporkan sudah sedia memberikan sambutan panas kepada Diego Simeone pada awal pagi esok. Simeone adalah pemain yang menjadi arkitek Lazio ketika mereka menjuarai Scudetto terakhir kelab tersebut pada 99/00.
Jaringan tandukan beliau ke atas Juventus pada April 2000 membolehkan mereka memintas Juventus untuk terus memacu carta Serie A ketika itu. Itulah kejuaraan Serie A kedua dalam sejarah Lazio.
Secara tidak langsung, era Diego Simeone merupakan era teragung di dalam sejarah Lazio yang membuatkan mereka boleh mendabik dada di hadapan penyokong Roma.
Pasukan 1999/00 Lazio dianggap antara pasukan terbaik dalam sejarah bola sepak Itali. Selain daripada Simeone, mereka juga memiliki Simone Inzaghi, Alessandro Nesta, Paolo Negro, Sinisa Mihajlovic, Giuseppe Pancaro, Luca Marchegiani, Dejan Stankovic, Matias Almeyda, Marcelo Salas, Ravanelli, Pavel Nedved, Roberto Mancini, Juan Sebastián Verón dan ramai lagi.
Tahun berikutnya, giliran Batistuta dan Totti mencuri perhatian untuk merampas kejuaraan Serie A daripada Juventus.
Beliau juga membantu Lazio menjuarai Coppa Italia, Supercoppa Italiana dan UEFA Supercup. Simeone mengisytiharkan dirinya sebagai jiwa Lazio sejati dan pernah berjanji akan kembali ke Lazio untuk menjadi pengurus kelab tersebut.
Dendam itu kadangkala indah, apabila Roma musim lalu disahkan kelayakan ke UCL selepas kekalahan pasukan Lazio. Roma akhirnya kembali semula ke UCL.
Sebelum itu mereka dikejutkan di pusingan play-off. Jurulatih mereka ketika itu, Luciano Spalletti mengkritik bahasa tubuh pemain beliau di dalam padang yang disifatkan beliau tidak layak bermain untuk Roma. Roma tewas di tangan Porto.
Hari ini, Simeone akan membawa pasukan beliau yang berpangkalan di Sepanyol Atletico Madrid. Sejak dibimbing Simeone, pasukan tersebut telah menjadi antara pasukan terbaik di Eropah.
Mereka mara ke final UCL 2 kali di bawah bimbingan Simenone. Malangnya, kedua-dua final tersebut mereka tewas di tangan Real Madrid.
Disiplin ketika bertahan dan kemampuan untuk menyudahkan peluang yang terhad. Pemain seperti Antoine Griezmann antara bakat elit yang digilap oleh Diego Simeone. Beliau pernah duduk di senarai 3 teratas untuk pemain terbaik dunia.
Roma pastinya mahu memperbaiki rekod mereka di dalam UCL. 2 penampilan terakhir mereka di UCL menyaksikan mereka kandas di suku akhir (2015/16) dan peringkat kumpulan (2014/15).
Pengurusan AS Roma ada sesuatu untuk dibuktikan kepada peminat mereka selepas polisi perpindahan mereka yang dikritik hebat.
Presiden mereka yakin, mereka sedang membina pasukan yang lebih baik walaupun menjual beberapa pemain utama ke kelab lain.
Siapakah yang akan menang di dalam perlawanan pembukaan kali ini?