Mampukah 5 Kelab Premier League Muncul Juara UCL musim ini?

UEFA Champions League (UCL) kembali lagi dan ianya agak unik buat pasukan yang mewakili England. Liga Perdana Inggeris menampilkan 5 pasukan dalam pertandingan pada musim 2017/18 ini.

Chelsea dan Tottenham Hotspur layak secara automatik sebagai juara dan naib juara EPL. Manchester City dan Liverpool hadir selepas melepasi pusingan kelayakkan, manakala Manchester United hadir menjuarai UEFA Europa League pada musim lalu untuk mencuri satu slot tambahan.

Artikel pada kali ini membawakan kepada anda apa yang boleh kita jangkakan daripada setiap pasukan Inggeris yang akan berentap dengan gergasi Eropah yang lain mulai awal pagi nanti.

1. UEFA Champions League pentas Man Utd dan Mourinho?

Pasukan yang paling lengkap untuk pentas UEFA Champions League (UCL) ialah Manchester United. Pasukan ini tidak memiliki kepantasan serta ketajaman seperti Manhester City dan Liverpool.

Namun demikian rekod pertahanan mereka amat memberangsangkan jika pertandingan peringkat pertandingan kalah mati diambil kira.

(Photo by Catherine Ivill – AMA/Getty Images)

Pasukan ini dibina oleh Jose Mourinho khas untuk mara jauh di dalam pertandingan sebegini. Buktinya, pada musim lalu United berjaya merangkul UEFA Europa League, Piala EFL dan mara sehingga ke separuh akhir Piala FA.

Rekod Mourinho di pertandingan eropah ini, mara ke peringkat separuh akhir juga menakjubkan.

Kesebelasan utama Manchester United ketika menentang Stoke City agak menarik untuk kita nilai. Ia berbeza daripada 3 perlawanan awal EPL.

(Photo credit should read OLI SCARFF/AFP/Getty Images)

Kebiasaannya Nemanja Matic betindak sebagai pivot tunggal, membenarkan Pogba bebas melakukan gerakan menyerang. Pada awal pagi Ahad lalu, Pogba beraksi di bahagian atas jentera tengah dan Ander Herrera beraksi di samping Matic.

Ini adalah bayangan kepada formasi Mourinho dan United di pertandingan UCL. Untuk perlawanan yang lebih sukar menentang pasukan yang lebih dominan di eropah, formasi ini membenarkan gerakan serangan balas daripada kedua-dua arah sayap pasukan.

2. Manchester City perlu perkemas pertahanan?

Jiran kepada United, Manchester City lebih sukar untuk dibicarakan walaupun mereka mampu bermain bola sepak yang menarik, sepertimana mereka membelasah Liverpool 5-0 pada hujung minggu yang lalu.

Masalah utama Manchester City setakat ini ialah kecenderungan pertahanan mereka untuk melakukan kesilapan. Tetapi Guardiola mungkin akan berdebat dengan anda mengenai perkara ini.

Di dalam pertandingan sebegini, melepaskan gol bukan satu masalah selagi pasukan mampu mencatat kemenangan. Musim lalu, Real Madrid hanya sekali beraksi tanpa dibolosi lawan daripada 13 perlawanan yang mereka lalui.

(Photo by Victoria Haydn/Manchester City FC via Getty Images)

Tetapi adakah City mampu bertahan dengan hanya melepaskan 1 gol dalam setiap satu perlawanan?

Gandingan pertahanan tengah Vincent Kompany dan Nicolas Otamendi adakalanya terlampau terburu-buru sehingga melakukan kesilapan seperti cenderung melakukan asakan di atas garisan pertahanan dan juga di ‘wide area’.

Ini secara tidak langsung meninggalkan ruang di posisi asal mereka, membenarkan lawan mengambil kesempatan untuk melakukan sesuatu.

Fernandinho adalah pemain serba boleh. Namun demikian, beliau kelihatan kurang selesa dengan peranan sebagai pivot tunggal, beroperasi di belakang Kevin De Bruyne dan juga David Silva.

(Photo by Richard Heathcote/Getty Images)

Sistem yang digunapakai oleh Guardiola turut boleh dipersoalkan. Dalam sistem 3-5-2 yang diandalkan pengurus berbangsa Sepanyol itu, De Bruyne dan Silva menghantar bola secara terus kepada Gabriel Jesus dan juga Sergio Aguero.

Ini menjadikan corak serangan City mudah dibaca dan dipintas lawan, sekaligus membenarkan serangan balas pantas, terutama melalui sebelah sisi pertahanan.

Manchetser City adalah pasukan yang lebih bagus daripada Manchester United. Namun City bukanlah pasukan yang sesuai beraksi untuk pertandingan berformatkan kalah mati. Pandangan anda?

3. Adakah juara EPL, Chelsea pasukan pilihan?

Di atas kertas, Chelsea seharusnya menjadi antara pilihan dalam pertandingan eropah ini kerana hadir sebagai juara EPL. Namun ada 2 persoalanan terbesar untuk pasukan dari London ini.

Pertama: Mampukah Chelsea mengelak daripada keletihan selepas sepanjang musim lalu hanya memberikan fokus kepada saingan domestik?

Kedua: Bolehkah Conte cemerlang di pentas eropah?

Antonio Conte hanya mempunyai pengalaman selama 2 musim dalam pertandingan ini. Ketika bersama Juventus, Conte dan pasukan daripada Turin itu disingkirkan oleh Bayern Munich di peringkat suku akhir pertandingan pada musim 2012-13.

9th September 2017, King Power Stadium, Leicester, England; EPL Premier League Football, Leicester City versus Chelsea; Antonio Conte Manager of Chelsea shouting instructions to his players (Photo by Steve Feeney /Action Plus via Getty Images)

Pada musim berikutnya, Juventus gagal mara daripada peringkat kumpulan. Namun untuk Chelsea, semua pihak mungkin boleh merasakan sedikit optimis bahawa Conte boleh pergi lebih jauh.

Musim lalu Conte membuktikan dirinya adalah pakar taktikal. Sistem 3-4-3 yang yang diperkenalkannya di EPL juga boleh memerangkap lawan di Eropah.

Namun Conte harus lebih berhati-hati terutama untuk gandingan di bahagian tengah. Tiemoe Bakayoko akan menjadi pilihan kepada Cesc Fabregas yang lebih kreatif untuk digandingkan dengan N’golo Kante.

 (Photo by Plumb Images/Leicester City FC via Getty Images)

Davide Zappacosta yang tiba daripada Torino akan memberi alternatif kepada posisi sayap pertahanan yang diisi oleh Victor Moses.

Persoalan terbesar untuk Chelsea ialah mungkin di bahagian pertahanan. Walaupun bek bertiga mereka beraksi dengan baik sepanjang musim lalu di saingan domestik, eropah akan memampilkan saingan berbeza dengan kualiti teknikal yang pelbagai.

Untuk situasi satu lawan satu ketika bertahan, Gary Cahill dan David Luiz boleh menjadi titik lemah pasukan.

4. Mampukah ‘Gegenpressing’ Jurgen Klopp tutupi kelemahan pertahanan?

Liverpool juga adalah satu lagi pasukan yang mempunyai isu dengan kualiti pertahanan. Dejan Lovren dan Joel Matip adalah pemain pertahanan yang cemerlang pada ketika yang betul.

Namun seperti yang kita saksikan pada hujung minggu lalu, City mendedahkan kelemahan gandingan pertahanan Liverpool.

(Photo by Laurence Griffiths/Getty Images)

Sistem gegenpressing yang dibawa oleh Jurgen Klopp ke Anfield boleh menjadi aset untuk pertahanan dan juga senjata ketika melakukan serangan.

Ia juga mempunyai risiko. Jika bola dipintas di bahagian tengah, lawan akan mempunyai banyak ruang di antara baisan blok pemain untuk melakukan hantaran maut.

Satu lagi kelemahan sistem ini ialah ia akan mengakibatkan pemain cepat keletihan.

(Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Namun Liverpool adalah sebuah pasukan yang menarik untuk kita saksikan ketika menyerang. Roberto Firmino akan turun sedikit ke bawah dari posisi No.9, digandingkan dengan kepantasan Mohamed Salah dan juga Sadio Mane di setiap sisi.

Iamengingatkan kita corak permainan menyerang Barcelona pada musim 2010-11.

Rekod Liverpool dalam pertandingan ini di Anfield amat menakjubkan. Klopp dan pemain-pemainnya harus memikirkan satu persatu perlawanan tanpa menghiraukan saingan seterusnya untuk mara lebih jauh.

5. Tottenham Hotspur harus tamatkan badi di Wembley?

Tottenham Hotspur adalah pasukan paling menarik untuk kita saksikan di pentas UCL daripada EPL. Mereka adalah pasukan ‘underdogs’ di kalangan pasukan Inggeris yang bertanding, mengambil kira perbelanjaan minima yang mereka laburkan pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Tottenham Hotspur juga berada di dalam kumpulan yang paling sukar berbanding 4 pasukan Inggeris yang lain.

(Photo by John Patrick Fletcher/Action Plus via Getty Images)

Namun demikian Pochettino telah membina sebuah pasukan yang kompak dan harmoni dan mampu mengancam mana-mana pasukan. Pasukan ini berkebolehan melakukan tekanan kepada lawan, mempunyai organisasi yang baik, dan menggerakkan bola untuk menyerang dengan pantas serta efektif.

Tottenham agak perlahan di sebelah sayap kiri dan kanan, namun mereka mampu mengawal bahagian tengah. Untuk bahagian serangan, gandingan trio Christian Eriksen, Dele Alli dan juga Harry Kane akan terus menjadi sandaran untuk mencipta dan juga menjaringkan gol.

(Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Satu lagi masalah untuk Tottenham Hotspur ialah untuk menamatkan badi mereka untuk aksi di Wembley. Agak keterlaluan untuk mempercayai badi dan perkara karut di era serba canggih ini.

Kami lebih suka untuk mengatakan bahawa Tottenham harus menyesuaikan diri secepat mungkin untuk aksi di Wembley.

Rumusan

Apa pendapat anda? Pasukan manakah yang boleh pergi lebih jauh? Bolehkah pasukan daripada Liga Perdana Inggeris membuktikan kehadiran mereka di UEFA Champions League bukan sekadar melengkapkan slot?

Bolehkah pasukan Inggeris kembali mendominasi pentas Eropah seperti yang pernah dilakukan sebelum ini?

Sumber:

1. Mathew Smith, Daily Mail (2017): Champions League preview: As five Premier League clubs enter the group stage for the first time, who is best set to challenge for the trophy?; http://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-4818894/Champions-League-English-clubs-challenge-cup.html#ixzz4sTSD063J

2. Michael Cox, ESPN FC (2017): Premier League desperate to end a decade of Champions League failure; http://www.espnfc.com/uefa-champions-league/2/blog/post/3201425/premier-league-desperate-to-end-a-decade-of-champions-league-failures

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN