Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi akan menjadi tumpuan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia pada malam ini.
Kali ini ia mempertemukan juara dua kali pertandingan tersebut, JDT dan juara tiga kali, Kuala Lumpur City (KL City FC).
Musim ini kedua-dua pasukan beraksi dua kali sesama mereka. JDT menewaskan KL City 2-1 pada September lalu setelah seri 1-1 dalam pertemuan pertama di Cheras pada April.
Dua keputusan tersebut memberi bayangan perlawanan pada malam ini bakal berlangsung dengan sengit.
Road to Bukit Jalil
Untuk rekod, ini kali pertama perlawanan akhir Piala Malaysia mempertemukan JDT dan KL City FC.
Dalam perjalanan menuju ke perlawanan akhir, kedua-dua pasukan setakat ini tidak mengalami kekalahan sepanjang lapan perlawanan yang dilalui – 6 perlawanan peringkat kumpulan, dan dua lagi di suku akhir.
JDT yang bersama-sama Sabah, PJ City, dan Kelantan FC di dalam Kumpulan D menang semua enam perlawanan, menjaringkan 14 gol dan dibolosi hanya sekali sahaja.
🏆 HARI PERLAWANAN!
Perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2021 akan berlangsung pada malam ini! 🤩
Pasukan manakah yang akan menjulang trofi pada ulang tahun ke-100 Piala Malaysia, Kuala Lumpur City FC 🟥⬜️ atau Johor Darul Ta’zim 🟦🟥?#TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/sC7f6rf1XJ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 30, 2021
Di suku akhir, JDT berjaya menangkis tentangan Kedah Darul Aman FC apabila berjaya mara ke separuh akhir dengan agregat 1-0 hasil kemenangan di tempat sendiri.
Di peringkat separuh akhir, skuad Harimau Selatan mengikat Terengganu FC 1-1 di Gong Badak sebelum cemerlang menewaskan lawan mereka itu 3-0 dalam perlawanan timbal balik, untuk mara ke perlawanan akhir dengan agregat 4-1.
KL City FC pula muncul juara Kumpulan A, dalam kumpulan yang turut terdiri daripada Sarawak United, Sri Pahang FC, dan Penang FC.
Skuad Bojan Hodak kemudiannya mencipta sejarah tersendiri menewaskan seteru setempat, Selangor FC dengan agregat 3-0, sebelum menyingkirkan Melaka United melalui penentuan sepakan penalti di Stadium Hang Jebat di separuh akhir.
Previu taktikal: JDT
Di atas kertas skuad kendalian Benjamin Mora begitu sinonim dengan sistem 4-3-3. Ia terdiri daripada seorang penyerang dominan (No.9) dan diapit oleh dua pemain sayap; seorang No.10 dan dua lagi pemain tengah yang bertindak sebagai double pivot di belakang; serta dua bek sayap dan dua bek tengah melengkapkan empat pemain pertahanan di belakang.
Seperti yang kita semua tahu, Mora menerapkan corak perlawanan yang mementingkan fluidity dalam perlawanan, menggerakkan bola dengan pantas daripada setiap transisi permainan dalam intensiti yang tinggi.
Namun pada musim ini, khususnya Piala Malaysian mereka menampilkan ‘bentuk permainan’ unik ‘gaya JDT’. Gemar memulakan gerakan dari bawah, bahagian pertahanan JDT akan membentuk sistem bek bertiga. Ini untuk membenarkan keupayaan menghantar bola Matthew Davies dan Shane Lowry dimanfaatkan.
Dua pemain tengah, Natxo Insa dan Leandro Velasquez pula bertindak sebagai pivot untuk menggerakan bola ke hadapan selain memberi perlindungan kepada bahagian pertahanan.
Corbin Ong pula akan aktif di bahagian sayap kiri untuk menghadirkan ancaman melalui hantaran lintang, mencari sama ada Bergson da Silva atau pun Guilherme de Paula.
Nazmi Faiz dan Gonzalo Cabrera aktif di bahagian half-space – menyebabkan barisan pertahanan lawan sentiasa keliru dengan larian kedua-dua pemain. Arif Aiman pula berfungsi untuk menghasilkan hantaran daripada kanan dan kerap bertukar posisi dengan Nazmi.
Sistem ini direka oleh Benjamin Mora untuk mendominasi lawan khususnya yang gemar bertahan di garis rendah dengan membentuk numerical superiority, selain variasi serangan di garis akhir serangan.
JDT juga adalah sebuah pasukan yang pantas melakukan pressing terhadap pemain lawan setiap kali kehilangan bola. Pertama, ia adalah first act of defence untuk memenangi bola secepat mungkin. Kedua, ia bertujuan untuk tidak membenarkan lawan setled-down dan mempamerkan corak permaianan yang lawan biasa mainkan.
Previu taktikal: KL City FC
Di bawah kendalian Bojan Hodak, KL City FC juga kini menjadi salah sebuah pasukan yang menarik untuk dibicarakan secara taktikal.
Kekuatan utama KL City FC adalah kepada keseimbangan yang ada di setiap posisi. Hodak juga dianggap sebagai jurulatih yang bijak untuk menggunakan kemampuan seseorang pemain di posisi tertentu untuk menghukum barisan pemain lawan.
Musim ini KL City FC beraksi dengan sistem 4-3-3. Jika di saingan Liga Super, khidmat Dominique Da Sylva digunakan untuk mengetuai jentera serangan. Di Piala Malaysia, Hodak cenderung menggunakan Romel Morales sebagai False 9 – dan ia membuahkan hasil setakat ini.
Pemain import dari Colombia itu pada asalnya adalah seorang pemain tengah menyerang, tetapi beraksi sebagai False 9 di dalam sistem Hodak di pertandingan Piala Malaysia. Setakat ini ia membuahkan hasil apabila pemain itu telah menghasilkan 10 gol.
KL City bertahan dengan cara agak konservatif. Mereka boleh bertahan secara ultra membentuk lima pemain pertahanan yang memberikan fokus bertahan secara zonal.
Tiga pemain tengah pula ditugaskan melindungi bahagian paling bahaya (zon 14) daripada dibocori lawan. Situasi ini membuatkan pertahanan KL City begitu kompak dan menyukarkan lawan untuk melakukan ancaman.
Bagaimana KL City FC cenderung menghukum lawan yang lebih superior daripada mereka pada musim ini? Bermula dengan bentuk pertahanan yang kompak seperti di atas, bentuk pasukan akan terus bertukar kepada sistem 4-3-3 yang akan melakukan serangan balas pantas.
Di atas adalah contoh bagaimana KL City memanfaatkan ruang kosong ditinggalkan lawan selepas berjaya merampas bola. Transisi sebeginilah ancaman utama daripada skuad Bojan Hodak.
KL City sebenarnya adalah sebuah pasukan yang sangat seimbang di setiap posisi. Di bahagian benteng, gandingan Kenny Pallraj dan Giancarlo Gallifuoco memberikan stabiliti kepada barisan belakang.
Kamal Azizi dan Daniel Ting juga mampu melakukan over-lap apabila diperlukan tatkala peranan utama kedua-duanya adalah untuk memastikan benteng tidak dibocori.
– Flexibility of formation. Romel beraksi di wide region. Partiban as Centre Foward pic.twitter.com/bEz1SL9V4c
— ADL33_analisabola (@ADL33_) November 4, 2021
Kita semua tahu peranan Akram Mahinan sebagai defensive midfielder, dan beliau dibantu oleh Paulo Josue dan Ryan Lambert yang menggerakkan jentera tengah tanpa penat lelah.
Romel Morales pula tidak rigid di satu posisi di jentera serangan. Ada kala beliau berada di bahagian sayap. Dan ada ketikanya beliau hadir dengan ancaman sebagai penyerang – bergandingan dengan J. Parthiban/ Hadin Azman dan Zhafri Yahya. Semuanya dilakukan secara berdisipilin di dalam satu unit.
Penutup
Kami pasti ramai yang sudah tidak sabar menantikan perlawanan akhir pada malam ini. Kami berharap gambaran taktikal di atas sedikit sebanyak mampu memberikan bayangan kepada anda mengenai perlawanan tersebut.
Sudah tentu kita mengharapkan kedua-dua pihak mampu menghasilkan corak permainan menghiburkan dan menjadikan perlawanan akhir pada malam ini antara yang paling dikenang di dalam sejarah Piala Malaysia.