Previu Separuh Akhir Piala FA 2016: PKNS, Perak, Kedah Atau JDT Ke Final?

Saingan Superbest Power Piala FA tahun ini sudah memasuki peringkat separuh akhir. Empat pasukan terbaik – PKNS, Perak, JDT dan Kedah – akan bersaing untuk merebut slot ke final yang dijadualkan pada Mei 2016.

Berikut adalah sedikit review untuk keempat-empat pasukan yang akan beraksi pada separuh akhir Superbest Power Piala FA 2016.

PKNS FC vs PERAK

15 April 2016 (Jumaat)
Stadium Hang Jebat, Melaka
Siaran Langsung di TV9

PKNS

Sumber: Facebook PKNS FC
Sumber: Facebook PKNS FC

Bulan April 2016 adalah bulan yang membuahkan tuah kepada jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan. Pada minggu lepas, beliau dinobatkan sebagai jurulatih terbaik bulan Mac oleh Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM).

Malam ini pasukan beliau, PKNS FC berpeluang untuk layak ke final Piala FA buat kali pertama dalam sejarah kelab mereka jika menang.

Menentang Perak yang bergelut dalam saingan Liga Super, PKNS FC mempunyai peluang baik untuk mencipta sejarah tersebut.

Dalam saingan Piala FA kali ini, The Red Ants mengejutkan ramai pemerhati bola sepak tempatan selepas menang 3-1 ke atas Terengganu dalam pusingan ke-2. Ini diikuti dengan kemenangan 3-2 menewaskan pendahulu Liga Super, Felda United dalam pusingan ke-3.

Diundi bertemu Sime Darby FC pada suku akhir, PKNS FC mara ke separuh akhir dengan penuh bergaya dengan kemenangan agregat 7-2.

Dalam saingan Liga Perdana, PKNS FC kini menduduki tempat ke-6, 7 mata di belakang pendahulu liga iaitu Kuala Lumpur.

Dalam Piala FA kali ini, PKNS FC telah menjaringkan 13 gol dan hanya bolos 5 gol.

Barisan pertahanan Perak perlu memberi perhatian istimewa kepada kelibat dua pemain import PKNS. Ini kerana mereka sudah menyumbang 61% daripada 13 gol yang dijaringkan oleh PKNS FC dalam Piala FA 2016.

Berikut adalah statistik jaringan pemain import PKNS;

1. Gabriel Guerra

  • Liga Perdana: 6 gol
  • Piala FA: 2 gol

2. Matias Hadwa

  • Liga Perdana: 4 gol
  • Piala FA: 3 gol

3. Juan Cobelli

  • Liga Perdana: 2 gol
  • Piala FA: 3 gol

Tidak hanya bergantung terhadap kelincahan pemain import, pemain tempatan juga yang menyerlah bersama kelab ini. Antaranya Ahmad Shakir Ali, Nazrin Shamsulbahri, Shahurain Abu Samah dan Shahrul Azhar Ture.

Jika mahu mengukuhkan kedudukan sebelum aksi timbal balik di Ipoh nanti, PKNS perlu menang besar pada malam ini di tempat sendiri untuk mara ke perlawanan akhir.

PERAK

Sumber: Perak The Bos Gaurus
Sumber: Perak The Bos Gaurus

Pasukan bimbingan Shamsul Saad ini mungkin masih belum mencatat sebarang kemenangan dalam Liga Super tetapi berjaya mara juga ke separuh akhir Piala FA.

Dalam Liga Super, Perak kini berada di tangga ke-2 tercorot, berkongsi 4 mata dengan pasukan tercorot liga, Pahang FC.

Di pusingan kedua Perak terlebih dahulu mengatasi Sarawak 3-1 di Ipoh. Dalam pusingan ke-3, mereka menewaskan Kuantan FA 1-0 hasil jaringan Vokhid Shodiev.

Bertemu Kuala Lumpur dalam suku akhir, Perak terpaksa bermandi peluh di Ipoh dan Selayang untuk menewaskan The City Boys dengan agregat 2-0.

Perak yang rata-rata diwakili pemain muda mungkin tumpul di bahagian serangan, tetapi mempunyai jentera tengah berkualiti dengan kehadiran Nurridzuan Abu Hassan, Ahmad Khairil Anuar, Erik Lewis.

Dalam saingan Piala FA, penjaga gol, Hafizul Hakim dan pertahanan mereka – Thiago Aquino dan Shahrul Saad – baru melepaskan 1 gol.

KEDAH vs JDT

16 April 2016 (Sabtu)
Stadium Darul Aman
Siaran Langsung TV9

KEDAH

Sumber: Facebook Kedah FA - Persatuan Bolasepak Kedah
Sumber: Facebook Kedah FA – Persatuan Bolasepak Kedah

Dalam satu lagi aksi separuh akhir Piala FA 2016, anak-anak buah Tan Cheng Hoe akan menerima kunjungan JDT di Stadium Darul Aman pula pada Sabtu ini.

Yang menariknya perlawanan separuh akhir ini akan menyaksikan pertembungan Kedah, juara Liga Perdana 2015 dengan JDT, juara Liga Super 2015.

Kedah sedang memburu kejuaraan Piala FA yang keempat sejak ia diwujudkan pada 1990. Kali terakhir mereka memenanginya adalah ketika era kegemilangan bersama ketua jurulatih, Azraai Khor pada 2008.

Sang Lang Merah memulakan kempen Piala FA 2016 mereka dengan penuh bergaya apabila membelasah wakil Liga FAM, Megah Murni FC 8-0 di Stadium Darul Aman.

Di pusingan ketiga mereka diundi bertemu Kelantan. Selepas terikat 1-1 secara agregat, perlawanan diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti sebelum dimenangi 5-4 oleh Kedah.

Menanti Kedah dalam suku akhir adalah Sabah. Perlawanan pertama yang dilangsungkan di Likas berakhir dengan kemenangan 2-1 untuk Kedah. Di Stadium Darul Aman, keputusan seri 1-1 sudah mencukupi bagi Kedah untuk layak ke separuh akhir dengan agregat 3-2.

Antara pemain tumpuan Lang Merah yang perlu diberi perhatian oleh pertahanan JDT adalah tiga awang import mereka iaitu Carlos Kahe, Sandro Da Silva dan Liridon Krasniqi.

Pemain tempatan Kedah juga tidak kurang hebatnya. Khairul Helmi Johari, Rizal Ghazali dan Baddrol Bakhtiar hanya sebahagian kecil pemain Kedah yang berpengaruh di atas padang.

Farhan Roslan, Syafiq Ahmad, Syazwan Zainon dan Amirul Hisham Awang Kecik masing-masing telah menjaringkan gol dalam saingan Liga Super dan Piala FA.

Berikut adalah statistik Kedah;

Liga Super;

  • Jaringan: 8 gol
  • Bolos: 8 gol

Piala FA;

  • Jaringan: 15 gol
  • Bolos: 3 gol

Penjaring terbanyak Liga Super;

  • Carlos Kahe: 2 gol
  • Liridon Krasniqi: 2 gol

Penjaring terbanyak Piala FA;

  • Carlos Kahe: 4 gol
  • Sandro Da Silva: 2 gol
  • Syazwan Zainon: 2 gol

Johor Darul Ta’zim (JDT)

Sumber: Facebook Johor Southern Tigers
Sumber: Facebook Johor Southern Tigers

Musim ini JDT masih kebal apabila masih belum mencatatkan sebarang kekalahan dalam saingan Liga Super, Piala FA dan AFC Cup yang disertai mereka.

Dalam pusingan kedua Piala FA 2016, JDT mudah menewaskan UiTM FC 5-0 pada 19 Februari di Stadium UiTM Shah Alam.

Diundi menentang Negeri Sembilan di pusingan ketiga, JDT juga mudah mengatasi lawan dengan kemenangan 4-1 di laman sendiri untuk mara ke suku akhir bertemu PDRM.

Menentang PDRM, JDT terlebih dahulu menang 1-0 sebelum membelasah The Cops 5-2 untuk hiburan bangsa Johor di Larkin. Secara agregat, JDT menang 6-2.

Pertahanan tengah Kedah, Bang Sung Hwan dan Khairul Helmi perlu merantai pergerakan pemain lincah JDT, Jorge Pereyra Diaz yang sudah menjaringkan 5 gol dalam Piala FA 2016 jika mahu mempunyai peluang menjelang perlawanan timbal balik di Larkin nanti.

Mereka juga perlu berhati-hati dengan penyerang JDT, Martin Lucero yang sudah mula menemui sentuhan peledak di hadapan gol.

Kekuatan JDT tak terhad kepada pemain import mereka sahaja. Safiq Rahim, Amri Yahyah, Azinee Taib dan S.Chanturu adalah sebahagian nama yang boleh memberi masalah kepada Kedah jika tidak dikawal dengan rapi.

Berikut adalah statistik yang melibatkan JDT;

Liga Super;

  • Jaringan: 13 gol
  • Bolos: 5 gol

Piala FA;

  • Jaringan: 12 gol
  • Bolos: 3 gol

Penjaring terbanyak Liga Super;

  • Jorge Pereyra Diaz: 4 gol
  • Martin Lucero: 4 gol

Penjaring terbanyak Piala FA;

  • Jorge Pereyra Diaz: 5 gol
  • Martin Lucero: 2 gol
  • S. Chanturu: 2 gol
  • Amri Yahyah: 2 gol

Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Ahas Haikal. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke [email protected].

Baca juga: (Final Piala FA 2015) Analisis Taktikal: Kelantan 1-3 Lions XII

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN