Hari kedua untuk peringkat perlawanan 16 pasukan terakhir Piala Dunia 2018 menyaksikan Sepanyol akan beraksi menentang tuan rumah iaitu Rusia.
Di atas kertas, Sepanyol dianggap sebagai pilihan sebagai pasukan untuk mara ke pusingan seterusnya berbanding Rusia.
Namun begitu, cabaran yang diberikan oleh Rusia tidak boleh dipandang enteng. Berbekalkan sokongan padu dari penyokong sendiri, Rusia pastinya akan bermain dengan penuh maruah untuk mengelak dari tersingkir awal.
Indah khabar dari rupa
Kedua-dua pasukan mengharungi kempen Piala Dunia dengan satu gambaran yang boleh dikatakan sebagai indah khabar dari rupa.
Hal ini kerana, Sepanyol yang hadir sebagai status pasukan pilihan untuk juara tidak dapat menguasai peringkat kumpulan dengan baik.
Sepanyol hanya layak dengan kutipan 5 mata hasil dari 1 kemenangan dan 2 seri.
1 kemenangan itu pun hadir menerusi kemenangan tipis ketika menentang Iran.
Untuk pasukan seperti Sepanyol, mereka sepatutnya tidak punya masalah untuk menamatkan saingan kumpulan dengan minima 6 mata.
Tetapi mereka layak dengan kutipan mata kurang dari itu, jadi keupayaan mereka untuk pergi jauh dalam kejohanan ini sedikit sebanyak menjadi tanda tanya.
Bagi Rusia pula, mereka seolah-olah menunjukkan yang pasukan tuan rumah ini sepertinya tidak mempunyai kualiti untuk bersaing dengan pasukan-pasukan utama.
Perkara ini boleh dilihat menerusi persembahan mereka ketika menentang Arab Saudi dan Mesir.
Mereka dengan mudah membelasah Arab Saudi dan juga menang selesa ketika menewaskan Mesir yang serba tidak menjadi.
Kredibiliti Rusia jelas kelihatan apabila menentang Uruguay, mereka sepertinya pasukan yang tidak mampu bersaing apabila gagal untuk memberi tentangan padu kepada juara 2 kali itu.
Barangkali kerana kad merah yang diterima pada separuh masa pertama merencatkan persembahan mereka dan mereka sudah pun layak ke pusingan kedua, mereka memilih untuk beraksi dengan cara tidak terlalu terdesak untuk menang.
Walaupun begitu, mereka tetap bermain tidak begitu elok sungguh pun ketika Igor Smolnikov masih berada di atas padang ketika itu.
Pemain tumpuan
Tumpuan pada perlawanan kali ini penulis memilih untuk melihat aksi David De Gea di gawang Sepanyol.
Setakat ini, beliau belum lagi mempunyai sesi Piala Dunia yang baik untuk dirinya.
Malah, beliau belum lagi menepati status beliau sebagai salah seorang penjaga gol terbaik di dunia dalam saingan Piala Dunia setakat ini.
Jadi, penulis cukup tertarik untuk melihat bagaimana beliau dapat bangkit dari prestasi yang menjadi persoalan ramai dan memperoleh persembahan cemerlang dalam perlawanan ini.
Bagi Rusia pula, tumpuan pastinya terarah kepada Denis Cheryshev.
Beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam beraksi di La Liga pastinya akan menjadi sandaran Rusia dalam menentang pemain-pemain yang biasa beliau hadapi ketika mewakili kelab.
Cheryshev dianggap sebagai pemain terbaik dalam skuad Rusia perlawanan menentang Sepanyol ini adalah ujian terbesar beliau di Piala Dunia.
Sebelum sepak mula
Perlawanan ini pastinya menarik di pandangan seorang neutral.
Sepanyol diharap akan menang untuk menepati status mereka sebagai pasukan pilihan.
Tetapi bagi Rusia pula, pastinya pihak neutral dan penyokong Rusia sendiri mahukan mereka layak lebih jauh. Tidak seronok pulakan jika tuan rumah pulang awal?
Semoga berjaya buat kedua-dua pasukan.