Poland dan Senegal akan bertemu dalam aksi kumpulan H Piala Dunia 2018 yang menyaksikan kedua-dua pasukan sudah lama tidak beraksi di Piala Dunia.
Pengumuman kembali
Kedua-dua negara ini kembali ke pentas Piala Dunia dengan hajat besar – untuk mengumumkan kepada dunia mereka sudah kembali!
Untuk rekod, kali terakhir Poland mara ke Piala Dunia adalah pada 12 tahun yang lalu ketika kejohanan ini dilangsungkan di Jerman.
Sementara bagi Senegal, penampilan di Rusia merupakan penampilan kedua mereka selepas melakukan kemunculan di Korea Selatan-Jepun pada 2002.
Poland pastinya mahu memperbaiki rekod terakhir di Piala Dunia selepas hanya menduduki tangga ketiga dalam kumpulan yang dihuni oleh Jerman, Costa Rica dan juga Ecuador pada 2006.
Senegal pula pastinya mahu mengulangi pencapaian cemerlang mereka pada penampilan sulung Piala Dunia apabila berjaya mara sehingga ke suku akhir.
Mereka juga secara sensasi menyingkirkan Perancis yang merupakan juara bertahan pada waktu itu.
Pemain tumpuan
Bagi pasukan Poland, pastinya sandaran diletakkan di bahu Robert Lewandowski.
Penyerang tajam Bayern Munich ini barangkali bermain di edisi Piala Dunia yang pertama dan terakhir buat dirinya kerana usia beliau yang kini sudah menjengah 29 tahun.
Poland tidak perlu risau akan kredibiliti beliau, musim ini Lewandowski telah menjaringkan 41 gol untuk Bayern Munich dalam 49 perlawanan.
Sepanjang mewakili Poland, beliau telah menjaringkan 55 gol dari 95 penampilan bersama negaranya.
Jadi, Lewandowski dilihat tiada masalah untuk membawa prestasi cemerlang beliau ketika di Bayern Munich ke pasukan kebangsaan Poland.
Bagi Senegal, Sadio Mane menjadi taruhan utama pasukan dari Afrika ini.
Mane merupakan sebahagian dari trio ampuh Mane-Salah-Firmino di Liverpool. Musim ini, Mane telah menjaringkan 20 gol dalam 44 penampilannya bersama kelab England itu musim ini.
Bersama Senegal, Mane telah menjaringkan 14 gol dalam 51 penampilan bersama negaranya.
Sebelum sepak mula
Malam ini bakal menyaksikan pertemuan pertama kedua-dua negara di pentas Piala Dunia.
Jadi, jelas sekali kedua-dua pasukan mahukan permulaan positif baik dalam saingan Piala Dunia atau rekod pertemuan antara 2 negara ini.
Poland dilihat sebagai pasukan pilihan berdasarkan ranking FIFA mereka yang jauh lebih baik berbanding Senegal yang menduduki tangga ke-27 dunia (Poland tangga ke-8 dunia).
Namun Piala Dunia 2018 setakat ini penuh dengan kejutan, dan mungkin Senegal juga akan melakukan kejutan juga ke atas Poland.