Previu Piala Sumbangsih: Pertembungan Dua Juara Rebut Tiga Mata Berharga

Perlawanan Piala Sumbangsih atau turut dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah bagi musim 2019 tampil sedikit berbeza. Sering kali tampil secara tradisi sebagai perlawanan pertama – atau serentak sebagai simbolik pembuka tirai- Malaysian Football League (MFL) tampil dengan idea untuk mengadakan perlawanan ini pada hari Sabtu, setelah dua lagi perlawanan diadakan semalam.

Apa pun alasan penganjur, kami percaya mereka mempunyai sebab munasabah untuk berbuat demikian. Lebih daripada itu, tiga mata turut menjadi taruhan buat dua juara- JDT selaku juara Liga Super, dan Perak sebagai juara Piala Malaysia.

Johor Darul Ta’zim FC

Lima kali juara Liga Super Malaysia bermakna ini adalah penampilan kelima secara berturut-turut oleh kelab bola sepak dari selatan tanah air ini di perlawanan Piala Sumbangsih sejak lima musim yang lalu. Daripada empat penampilan sebelum ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul sebagai pemenang sebanyak tiga kali, termasuk melalui penentuan sepakan penalti menentang Selangor pada 2016.

Anda mungkin naif jika percaya akan kenyataan pemilik kelab, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) bahawa JDT adalah kelab berstatus ‘underdog’ – jika profail pemain baharu dan pelaburan oleh kelab itu sebelum sepak mula musim ini diambil kira.

Dua pemain muda, Akhyar Rashid dan Syazwan Andik dilihat lebih daripada sebagai pelaburan untuk masa depan. Hakikatnya kedua-dua pemain mempunyai kualiti untuk berada di dalam mana-mana kesebelasan utama pasukan Liga Super.

JDT pada musim ini turut diperkuatkan dengan tiga tonggak import baharu sebagai tambahan kepada Harris Harun dan Gonzalo Cabrera yang dikekalkan. Bekas penyerang Buriram United, Diogo Santo tampil sebagai antara penyerang paling prolifik di rantau ini. Pemain sayap, Aaron Niguez yang merupakan saudara kandung kepada bintang Atletico Madrid, Saul Niguez juga mempunyai pengalaman luas bersama kelab-kelab serata eropah seperti  Real Oviedo, Tenerife, Braga, Elche, Almeria, Recreativo de Huelva dan Celta de Vigo. Manakala Mauricio Dos Santos adalah bekas bek kental Lazio yang dilihat akan mengisi posisi di bahagian pertahanan yang ditinggalkan oleh Marcos Antonio.

Perak TBG

Perak TBG bermula dengan agak bercelaru dengan pertukaran tampuk pengurusan dan isu luar padang. Namun ia tidak menghalang juara Piala Malaysia musim lalu ini melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan untuk musim ini. Tetapi itu adalah episod lalu yang harus dilupakan, dan kini skuad seladang harus terus memberi fokus kepada cabaran yang bakal menanti.

Perkara pertama dilakukan Perak ialah dengan mengekalkan khidmat Mehmet Durokovic sebagai pengendali. Kemudian Perak mengekalkan majoriti skuad mereka dari musim lalu, termasuk barisan pemain import sedia ada. Seperti JDT, Perak juga dilaporkan menjadi salah sebuah kelab yang berbelanja besar dengan bajet mencecah RM30 juta pada musim ini.

Tiga pemain yang dilepaskan ialah Nazrin Nawi yang memilih untuk menyertai Melaka United. Hafiz Kamal pula menyertai PKNP FC, manakala Nizad Ayub telah dilepaskan. Sebagai tambahan, Perak berjaya menambat pemain pertahanan tengah, Zac Anderson dari PKNS FC’ pemain sayap J. Parthiban dari Terengganu; dan Shahrel Fikri dari PKNP FC yang tiba secara pinjaman.

Pemain tumpuan

Selain daripada Diogo Santo, tumpuan di dalam skuad JDT juga harus tertumpu kepada pemain import dari Sepanyol, Aaron Niguez.

Pernah beraksi untuk skuad B-20 dan B-21 Sepanyol sebelum ini, Aaron Niguez boleh beraksi di beberapa posisi seperti penyerang, sayap kanan dan juga sayap kiri. Menariknya, JDT turut pernah mengklasifikasikan Aaron Niguez sebagai seorang penyerang baka false 9. Bagaimana Luciano Figueroa mahu pasukannya beraksi dan bagaimana peranan Niguez masih menjadi tanda tanya.

Lupakan gandingan dan impak pemain import di Perak. Sebaliknya kelibat pemain sayap, Firdaus Saiyadi wajar diberikan tumpuan. Tidak beraksi selama dua tahun bersama pasukan utama, Firdaus mendapat secara perlahan-lahan kembali mencuti perhatian Mehmet, dan membuktikan dirinya mampu menjadi ‘game changer’ sepertimana jaringan penyamaan oleh beliau di perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.

Firdaus Saiyadi
Foto: Perak TBG

Pertembungan di bahagian tengah turut menjadi tumpuan dengan peranan Brendan Gan bersama Leandro bakal berhadapan gandingan Harris Harun dan Natxo Insa untuk menggerakkan jentera serangan pasukan masing-masing.

Berita pasukan

JDT mempunyai rekod unik yang ingin mereka terus kekalkan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin. Kali terakhir JDT tewas di arena sendiri ialah pada Februari 2017, dan kini telah mencatatkan 19 kemenangan berturut-turut sejak dari itu.

Lebih menarik, pasukan pelawat tidak pernah mencatat kemenangan dalam aksi liga sejak 2013 di gelanggang keramat itu. Sehingga artikel ini ditulis, Luciano memaklumkan hanya Diogo yang mungkin terpaksa disisihkan akibat kecederaan.

Perak

Bagi kem skuad Seladang pulak, Gilmar Jose Da Silva sudah pasti tidak dapat diturunkan akibat pergantungan selepas menerima layangan kad merah di perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu. Shahrel Fikri juga dikhabarkan kurang cergas untuk diturukan, bermakna Mehmet perlu memikirkan formula lain untuk memastikan bahagian hadapan Perak todak tumpul.

Taktikal pasukan

JDT diramal akan terus menggunakan formasi 4-3-3 yang amat sesuai dengan corak serangan pantas, berdasarkan penguasaan dan pertukaran hantaran yang pantas. Jika Diogo tidak diturunkan, Aaron Niguez berkemungkinan besar akan bermula di bahagian tengah serangan bersama-sama Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid untuk memulakan perlawanan.

Kelebihan utama JDT ialah pada variasi serangan mereka yang pelbagai untuk mendapatkan jaringan. Selain dari permainan terbuka, JDT turut mampu mengancam dari segala bentuk set pieces yang diperolehi sepanjang perlawanan.

Foto: Perak TBG, Facebook

Perak pula berkemungkinan akan tampil dengan sistem dua pivot, dengan gandingan Brendan Gan dan Leandro mempunyai tugasan berat untuk mengunci jentera tengah JDT sekiranya mengimpikan Piala Sultan Haji Ahmad Shah untuk dibawa balik ke Ipoh.

Tanpa kelibat Gilmar dan Shahrel yang turut dilaporkan kurang cegas, Wander Luiz berkemungkinan besar akan mengambil peranan sebagai penyerang utama pasukan. Gandingan Zac Anderson dan Shahrul Saad turut mempunyai tugasan berat berhadapan dengan rangkaian serangan JDT.

Rumusan

Tidak boleh dinafikan JDT berada di dalam kelas mereka tersendiri dari setiap sudut. Namun demikian Perak yakin mampu tampil lebih matang sebagai sebuah pasukan.

Satu perlawanan, dua pertaruhan. Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan tiga mata. Dua juara, JDT dan Perak, siapakah akan yang lebih berhak mendabik dada?

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN