Previu Piala AFF 2018: Pertempuran Babak Pertama, Harimau Malaya Buru Bekalan Ke Rajamangala

Harimau Malaya
“Kuat gajah kerana gadingnya, garang harimau kerana belangnya. Masing-masing dianugerahkan kelebihan tersendiri. Namun, harimau jangan pula diajak bertampar, ingat-ingatlah kukunya juga.”

Malaysia dan Thailand boleh dikatakan seteru yang sepadan untuk aksi separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018. Sepadan tidak bermaksud sama kuat, namun kedua-dua pasukan memiliki kelebihan dan kekuatan tersendiri. Jika tidak, mana mungkin kedua-duanya berjaya layak ke pusingan separuh akhir pada edisi kali ini.

Walaupun tidak dibarisi beberapa pemain yang beraksi di kelab luar negara seperti Chanathip Songkrasin, Teerathon Bunmathan, Teerasil Dangda dan Kawin Thamsatchanan, Thailand tetap tampil garang ketika aksi peringkat kumpulan. Berjaya meledak 15 gol dan hanya dibolosi tiga kali mengiyakan fakta tersebut.

Namun, perlu skuad Gajah Perang ingat, jangan diusik perasaan Harimau Malaya. Kenyataan berbaur angkuh ketua jurulatih Myanmar sebelum ini telah memakan dirinya. Myanmar tumbang di sangkar Sang Harimau. Kini, ketua jurulatih Thailand, Milovan Rajevac juga seakan-akan menjentik emosi para pemain negara.

“100,000 penyokong sekali pun kami tak akan gentar,” Milovan Rajevac, Harian Metro, 27 November 2018.

Rekod pertembungan

Malaysia dan Thailand telah bertembung sebanyak 8 kali sejak 10 tahun lalu dengan hanya satu kemenangan berjaya direkodkan oleh skuad kebangsaan. Kemenangan pada tahun 2014 tersebut adalah pertembungan terakhir kedua-dua pasukan.

Malaysia menang 3-2 hasil dua jaringan oleh Safiq Rahim dan Indra Putra, berjaya membalas dendam atas dua kekalahan sebelum itu kepada Thailand. Walaupun menang, Malaysia gagal menjulang Piala AFF edisi 2014, tewas 3-4 secara agregat.

Selain itu, Harimau Malaya tumbang 5 kali dan berjaya mengikat Gajah Perang dalam dua perlawanan. Jelas sekali rekod perlawanan nampaknya tidak memihak kepada Malaysia.

Rekod pertemuan di Piala AFF

Sementara untuk saingan Piala AFF, kedua-dua pasukan umpama pasangan tetap apabila kerap bertembung iaitu sebanyak 14 kali dalam 11 edisi. Malaysia hanya menang 3 kali, sementara Thailand pula merekodkan sebanyak 8 kemenangan.

3 kemenangan tersebut adalah pada edisi 2014 yang lalu di pentas final dan dua lagi adalah pada edisi 2002 dan 2004. Sekali lagi rekod tidak memihak kepada Harimau Malaya. Namun, Malaysia pernah menang selesa ke atas Gajah Perang.

Kemenangan selesa buat skuad negara itu adalah pada edisi 2002 di mana Malaysia menang 3-1 hasil jaringan Akmal Rizal, Tengku Hazman dan juga Indra Putra. Sementara kekalahan terbesar adalah 0-3 ketika edisi 2008 di laman lawan.

Rekod semasa

Lima aksi terkini skuad Malaysia (M-M-M-K-M)

  • 3 November: Menang vs Maldives 3-0(Persahabatan)
  • 8 November: Menang vs Kemboja 1-0 (Piala AFF)
  • 12 November: Menang vs Laos 3-1 (Piala AFF)
  • 16 November: Kalah vs Vietnam 0-2 (Piala AFF)
  • 24 November: Menang vs Myanmar 3-0 (Piala AFF)

Lima aksi terkini skuad Thailand (M-M-M-S-M)

  • 14 Oktober: Menang v Trinadad & Tobago 1-0 (Persahabatan)
  • 9 November: Menang v Timor Leste 7-0 (Piala AFF)
  • 17 November: Menang vs Indonesia 4-2 (Piala AFF)
  • 21 November: Seri v Filipina 1-1 (Piala AFF)
  • 25 November: Menang vs Singapura 3-0 (Piala AFF)
Apa kata jurulatih

Tan Cheng Hoe menyatakan: “Kita perlu turun dengan momentum yang baik – semua tahu Thailand mempunyai kualiti, pemain berpengalaman, jadi para pemain saya perlu kekal tenang dan sabar.”

Milovan Rajevac bersalam dengan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe pada sidang media sebentar tadi. FOTO: Chengsuek

“Apa yang penting adalah kami tidak melepaskan sebarang gol kerana keputusan yang positif adalah motivasi yang baik untuk ke Bangkok. Saya berpuas hati jika kita tidak dibolosi.”

Milovan Rajevac berkata: “Saya berkeyakinan yang pemain saya mampu untuk mempamerkan permainan berkualiti dan berupaya untuk meraih keputusan yang positif.”

FOTO: Chengsuek

“Esok umpama separuh masa pertama dan yang kedua akan berlangsung di Bangkok tetapi penting untuk kita menjaringkan gol dan tidak pulang dengan keputusan negatif.”

Rekod pertembungan di Bukit Jalil

Sejak tahun 2000 dan ke atas, tiga kali Malaysia telah melayan kunjungan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil dan mereka tewas dalam dua perlawanan iaitu pada tahun 2004 dan 2014.

Satu lagi pertembungan menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 iaitu pada tahun 2012, dalam saingan Piala AFF, hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha.

Oleh itu, ‘sangkar’ Bukit Jalil sebenarnya mampu menghadirkan keputusan positif buat skuad kebangsaan. Dengan bantuan sorakan pemain ke-12 sebagai pemangkin, tiada yang mustahil.

Rekod Thailand di tempat lawan

Selain itu, Gajah Perang juga sebenarnya dilihat tidak terlalu kuat ketika beraksi di laman lawan. Mereka hanya merekodkan dua kemenangan dalam 7 perlawanan semenjak 2017.

Sementara untuk saingan Piala AFF kali ini, mereka hanya sekali beraksi di stadium lawan iaitu ketika terikat 1-1 menentang satu lagi semifinalis, Filipina. Mungkin ini boleh membantu Malaysia.

Sebelum wisel

Seruan para pemain untuk ‘ekor’ Harimau Malaya telah disahut. Tiket licin dijual sebanyak 80,000 keping dan kini terserah kembali kepada pemain untuk menyelesaikan tugasan pada malam ini.

Harimau Malaya
Foto: AFF

Sekali lagi diharapkan lawan akan buntu berdepan puluhan ribu penyokong Harimau Malaya sebagaimana aksi babak pertama di pentas final edisi 2014 sebelum kelalaian barisan pemain ketika itu membolehkan Thailand mendapatkan gol di saat akhir.

Sudah terbukti Malaysia mampu melakukan yang lebih di laman sendiri namun perlu dielakkan kesilapan mudah agar Thailand tidak membawa pulang sebarang bekalan ‘away’ gol ke Bangkok.

Berdasarkan statistik, skuad negara berada di kedudukan kedua pasukan yang memiliki paling banyak percubaan di Piala AFF kali ini iaitu sebanyak 66 percubaan. Safawi Rasid adalah ‘raja’ percubaan ke gol dengan 13 percubaan.

Namun, Malaysia perlu fokus mempertajamkan penyudah kerana walaupun Thailand tidak berada di dalam senarai 5 pasukan yang memiliki paling banyak percubaan namun mereka adalah pasukan yang merekodkan jaringan terbanyak setakat ini.

Ranking dan layak ke Piala Asia 2019 bukanlah kayu pengukur sebenar kekuatan anak buah Milovan Rajevac kerana prestasi pada malam akan jadi penentu keputusan di akhir perlawanan.

Ayuh Harimau Malaya, bangkitlah, mengaumlah di Bukit Jalil!

Kongsikan dengan kami harapan dan kata-kata sokongan anda kepada Harimau Malaya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN