Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Memahami Klausa ‘Kecemasan’ Lanjutan Kontrak Setahun David De Gea Di Man. United

Beberapa laporan di England termasuk The Guardian melaporkan, Man. United akan mengaktifkan klausa lanjutan kontrak pada kontrak De Gea.

United sebelum ini menawarkan kontrak jangka panjang dengan gaji £275,000 seminggu dan ianya ditolak. Dilaporkan De Gea meminta gaji sekitar £350,000 untuk menyamai Alexis Sanchez sebagai penerima gaji tertinggi di dalam kelab.

PSG yang memantau perkembangan kontrak De Gea dilaporkan sudah memberikan isyarat mereka sanggup membayar gaji itu yang membolehkan De Gea penjaga gol dengan pendapatan paling lumayan.

Dilema Man. United adalah struktur gaji kelab mereka yang terlampau tinggi. Mereka kini lebih setengah juga pound sterling di hadapan Man. City.

Kontrak semasa De Gea akan berakhir pada Jun 2019. Jika beliau tidak menandatangani sebarang kontrak lanjutan, beliau akan menjadi ejen bebas pada Januari ini.

Apa itu ejen bebas?

Ejen bebas bermaksud pemain bebas menentukan nasib mereka sendiri – termasuk bercakap dengan mana-mana kelab berkenaan kontrak mereka. Status ejen bebas di Eropah wujud pada 6 bulan terakhir kontrak. Ianya dipanggil peraturan Bosman.

Baca juga: Sejarah Ringkas Peraturan Ejen Bebas Ataupun Bosman Dalam Bola Sepak

Dalam dunia bola sepak moden hari ini, pemain cuba mengejar bonus atas tandatangan (singing bonus) ketika mereka menjadi pemain percuma ataupun ejen bebas. Alexis Sanchez dilaporkan mendapat sekitar £6 juta.

Ideanya adalah, kelab baru akan cuba memujuk pemain untuk memberikan persetujuan pra kontrak dengan mereka ketika 6 bulan terakhir dengan kelab lama mereka.

Dalam kes Alexis Sanchez, mereka membayar £6.7 juta sebagai bonus tandatangan ditambah pakej gaji yang tinggi.

Ini kerana Man. United mengambil kira, jika mereka menandatangani pemain sama kualiti dengan Sanchez (yang ketika itu sedang dalam prestasi terbaik di Arsenal) – mereka perlu membelanjakan sekurang-kurangnya £65-£70 juta dalam kadar perpindahan semasa.

Jadi, pemberian gaji yang besar serta bonus itu adalah daya tarikan utama kepada pemain untuk tidak melanjutkan kontrak dengan kelab lama dan menyertai kelab baharu mereka. Kelab akan cuba untuk mengelakkan pemain mereka jadi percuma ataupun dibayar pada harga lebih rendah daripada valuasi.

Dahulu Fabregas pernah melanjutkan kontrak dengan Arsenal dan dilaporkan sebagai salah satu syarat untuk beliau dijual ke Barcelona. Arsenal merasakan mereka perlu mendapat angka jualan yang tinggi daripada pemain itu. Fabregas bersetuju dan selepas itu Barcelona perlu membayar angka yang besar.

Manchester United mahu De Gea kekal

Tiada keraguan lagi, Man. United mahukan De Gea kekal. Namun kedua-dua pihak masih belum mencapai persetujuan.

Jika pun mereka terpaksa melepaskan De Gea, Man. United pastinya tak rela melepaskan pemain itu secara percuma.

Mourinho melabel De Gea penjaga gol terbaik dunia ketika ini. Lantas Mourinho menganggap De Gea sangat penting untuk kelab seperti Man. United.

Klausa lanjutan kontrak setahun

Untungnya, Man. United ada satu klausa khas ataupun klausa kecemasan ataupun klausa panik – di mana mereka ada menyelitkan klausa lanjutan kontrak selama setahun untuk beberapa pemain mereka.

Sebelum ini mereka mengaktifkan klausa yang sama terkandung dalam kontrak Ashley Young.

Ini selepas Man. United mengambil kira saiz skuad (squad depth) mereka yang memerlukan pemain seperti Young untuk kekal. Klausa ini akan membuatkan Man. United perlu menambah gaji semasa yang ada pada pemain.

Klausa ini biasanya diberikan bonus khas ataupun kenaikan gaji. Pakej lumayan ini yang membuatkan pemain bersetuju memasukkannya di dalam kontrak mereka.

Daripada laporan Daily Mail, walaupun kontrak ini dilihat agak berat sebelah – apabila hanya kelab yang boleh mengaktifkannya. Namun begitu para pemain tidak secara mandatori perlu menerimanya.

Berbeza dengan klausa perlepasan yang berat sebelah kepada pemain. Kelab langsung tak ada kuasa apabila pemain mengaktifkannya.

Sebaliknya klausa lanjutan kontrak pada pemain-pemain Man. United ini, kelab hanya ada kuasa mengaktifkannya tetapi pemain tetap ada hak untuk menolak. Kata akhir untuk klausa ini adalah atas persetujuan bersama.

Oleh sebab itu, Juan Mata dan Ander Herrera juga ada klausa ini dalam kontrak mereka. Kedua-dua pemain itu sudah dikatakan sudah dimaklumkan Man. United mahu mengaktifkan kontrak itu. Namun kedua-dua mereka masih belum mempersetujuinya.

Juan Mata menyatakan beliau akan membuat keputusan pada Januari ini, kerana ada beberapa perkara untuk dipertimbangkan. Beliau tidak menolak untuk kekal di Man. United.

Dalam kes Juan Mata, ianya berbeza dengan De Gea. Klausa lanjutan kontrak De Gea diaktifkan kerana kelab masih gagal mendapatkan tandatangan De Gea bagi kontrak jangka panjang. Untuk Juan Mata, beliau mungkin merasakan beliau hanya diperlukan setahun sahaja.

Mungkin Mata menunggu tawaran kontrak lebih panjang daripada Man. United ataupun kelab lain?

Beberapa pemain lain yang turut ada klausa ini ialah Anthony Martial, Antonio Valencia, Chris Smalling, Phil Jones, Matteo Darmian, Andreas Pereira dan James Wilson.

MANCHESTER, ENGLAND – OCTOBER 06: Anthony Martial of Manchester United celebrates after his team’s third goal during the Premier League match between Manchester United and Newcastle United at Old Trafford on October 6, 2018 in Manchester, United Kingdom. (Photo by Clive Brunskill/Getty Images)

Kelebihan klausa lanjutan ini

Dari sudut ekonomi, Man. United mengelak pemain ini daripada percuma ataupun dijual pada harga panik.

Apabila mereka berjaya melanjutkan kontrak pemain ini, mereka akan akan cuba menggunakan tempoh yang ada untuk memujuk pemain menandatangani kontrak lanjutan jangka panjang.

Namun harus diingat, kontrak lanjutan ini hanyalah setahun dan harga De Gea dalam baki kontrak kurang setahun tetap akan lebih rendah daripada angka yang mereka harapkan.

Misalnya, Thibaut Courtois yang masih ada baki kontra setahun dengan Chelsea terpaksa dijual hanya £35 juta walaupun beliau diiktiraf penjaga gol terbaik Piala Dunia 2018 dan Penjaga Gol Terbaik Dunia dalam FIFA Best 2018.

Jose Mourinho menyuarakan keyakinan beliau bahawa De Gea akan menandatangani kontrak jangka panjang di Man. United.

MANCHESTER, ENGLAND – MARCH 08: (EXCLUSIVE COVERAGE) David de Gea, Marouane Fellaini and Luke Shaw of Manchester United in action during a first team training session at Aon Training Complex on March 8, 2015 in Manchester, England. (Photo by John Peters/Man Utd via Getty Images)

Seterusnya, klausa lanjutan ini membolehkan kelab menampung saiz skuad mereka. Misalnya dalam kes Ashley Young, Man. United kekurangan bek sisi yang cukup berkualiti. Young akan menjadi tambahan penting terutama sekali sebagai pemain simpanan.

Rumusan

Manchester United memasukkan satu klausa ‘kecemasan’ untuk memastikan mereka tidak hilang pemain penting secara percuma selepas kegagalan Ed Woodward menyelesaikan isu kontrak pemain lebih awal.

Selepas ini mereka akan bertarung dengan masa selepas ini untuk meyakinkan De Gea menandatangani kontrak jangka panjang.

Klausa ini jekas bukan jaminan De Gea akan kekal lama di kelab tersebut. Sebab itu ramai pengurus akan menjual pemain yang kontrak mereka kurang 2 tahun ataupun setahun kerana risau tidak mendapat apa-apa wang daripada mereka.

Selain itu beberapa kelab besar termasuk PSG dan Juventus dilaporkan berminat mendapatkan beliau. Ianya mungkin tarikan yang boleh membuatkan De Gea keluar daripada Old Trafford.

Walaubagaimanapun, Ander Herrera percaya De Gea akan kekal lama di Man. United kerana faktor penyokong. De Gea selesa dengan layanan penyokong Man. United ke atasnya. Beliau antara pemain kesayangan peminat Manchester United.

Mourinho pastinya akan cuba membentangkan projek jangka panjang beliau untuk menarik perhatian De Gea agar dia kekal lama.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!