Argentina diikat oleh Iceland. Seperti Iceland, Panama juga membuat penampilan sulung di dalam pusingan akhir Piala Dunia pada edisi kali ini.
Kejutan telah benar berlaku di Piala Dunia. Jerman ditewaskan oleh Mexico, dan Brazil diikat oleh Switzerland. Panama memiliki segala motivasi untuk melakukan perkara yang sama ketika berhadapan dengan Belgium pada malam ini
Antara realiti dan harapan
Di atas kertas, ia bagaikan langit dan bumi. Di dalam kedudukan dunia FIFA, Panama berada di kedudukan ke-55 dunia. Manakala Belgium gah di kedudukan ke-3, dengan hanya Jerman dan Brazil berada di atas mereka.
Namun pengendali Panama, Hernan Dario Gomez bukanlah individu yang naif. Malah Gomez sangat jujur akan peluang pasukan kendaliannya di Rusia.
Kejujuran Gomez dilihat sehingga beliau tidak menyembunyikan kesebelasan utama yang akan diturunkan untuk berhadapan dengan Belgium.
Ketika ditanya sama ada Panama mampu melakukan kejutan seperti mana yang dilakukan Iceland terhadap Argentina, pengendali berbangsa Colombia ini menyusun ayat dengan fakta dan rapi.
“Iceland memaksa Croatia beraksi di play-off. Mereka beraksi dengan baik di Euro 2016 juga. Kemudian Iceland beraksi menentang Argentina yang tidak berada pada tahap yang sama dengan Belgium.”
“Maksud saya perlawanan di antara Iceland dan Argentina tidak menjadi tumpuan seperti perlawanan Belgium dan Panama.”
Walaupun berpijak kepada realiti, jawapan tersebut jelas Panama bukan hadir ke Rusia semata-mata untuk melengkapkan 32 pasukan di Piala Dunia.
Mengakui apapun boleh terjadi di dalam bola sepak, kejutan ke atas Belgium bukan perkara normal, tetapi satu pencapaian buat negara Amerika Tengah tersebut.
Generasi emas Belgium
Kali terakhir Belgium benar-benar menyerlah di Piala Dunia ialah pada 1986. Mengejutkan Argentina di perlawanan pembukaan, 4 tahun sebelumnya, kemaraan mereka pada 1986 turut dinoktahkan oleh pasukan yang sama di separuh akhir.
Selepas itu cabaran mereka di kejohanan antarabangsa mulai malap. Harapan demi harapan di setiap kejohanan berakhir dengan kekecewaan.
Jika Belgium mahu memberikan impak, ini adalah masanya. Dibarisi dengan skuad yang digelar ‘generasi emas’, Belgium memiliki pemain berkelas dunia di setiap posisi.
Daripada 11 pemain utama yang mungkin memulakan perlawanan pada malam nanti, 7 daripadanya berpengkalan bersama-sama kelab-kelab utama di Liga Perdana Inggeris.
Pasukan ini turut memiliki squad depth yang kuat di setiap posisi, sesuai dengan percaturan Roberto Martinez untuk melakukan penggiliran sekiranya perlu.
Taktikal pasukan
Roberto Martinez dijangka akan menggunakan formasi 3-4-3, untuk memaksimakan pemain kreatif yang dimiliki oleh beliau di dalam pasukan.
Di barisan hadapan, gandingan Eden Hazard, Romelu Lukaku dan Dries Mertens dijangka akan menguasai bahagian serangan.
Mobiliti Kevin De Bruyne dan kerajinan Alex Witsel di bahagian tengah turut ditagih untuk mencipta ruang dan peluang, sambil Belgium turut dijangka akan memberi ancaman dari arah bek sayap secara berterusan dalam perlawanan ini.
Panama adalah sebuah pasukan yang mengamalkan taktikal bertahan. Formasi 5-4-1 sudah cukup untuk menjelaskan Panama mahu membina dua sistem pertahanan, bermula dari bahagian tengah.
Panama adalah sebuah pasukan yang mengamalkan corak permainan direct, dengan Blas Perez sebagai fokal serangan di garis akhir serangan (final third).
Dua pemain sayap akan membuat larian ke bahagian tengah padang, untuk membuat link-up play bersama Perez untuk sebarang kemungkinan serangan ke arah kotak penalti lawan.
Pemain tumpuan
Pemain pertahanan, Fidel Escobar bukan sahaja bertindak membantu pertahanan Panama. Pemain pertahanan tengah ini juga mempunyai rembatan kaki kanan yang deras, dan tidak teragak-agak melakukan percubaan dari jarak jauh.
Roman Torres adalah kapten pasukan. Lebih daripada itu, pemain ini mempunyai work rate yang tinggi untuk memastikan barisan pertahanan mengekalkan bentuk yang sepatutnya.
Bagi Belgium, tumpuan memburu gol pasti disandarkan kepada penyerang Manchester United, Romelu Lukaku.
Sebagai No.9 dan target man, Lukaku boleh mengharapkan kreativiti Eden Hazard dan De Bruyne untuk mencipta peluang dengan lorongan, ataupun mengharapkan bola lintang dari pemain sayap.
Namun Panama akan melakukan kesilapan jika berpendapat hanya perlu mengawal Lukaku. Dries Mertens juga merupakan seorang lagi pemain yang wajar diperhatikan selepas dua musim yang hebat bersama Napoli.
Sebelum sepak mula
Adakah kita akan menyaksikan satu lagi kejutan pada malam ini? Mampukah Panama berdiri gah bersama-sama Iceland?
Atau adakah Belgium akan mengelakkan badi kejutan sepertimana yang dialami oleh Brazil dan Jerman dan menghasilkan keputusan positif?