Previu: Neymar Dan Rakan-Rakan Mahu Elak Badi ‘Heavy Weight’ Tersingkir Menimpa Brazil

Adakah Brazil berada di prestasi terbaik? Sukar untuk menjawab soalan ini. Adakah prestasi Mexico cukup meyakinkan setakat ini? Juga sukar untuk kita memberi jawapan yang tepat.

Sukar untuk meilai tahap prestasi sebenar kedua-dua pasukan setakat ini. Namun sehingga kini, kedua-dua pasukan melakukan apa yang wajar mereka lakukan. Iaitu untuk menang perlawanan yang harus mereka menangi.

Brazil

Selepas menjuarai Kumpulan E, walaupun pada awalnya diikat Switzerland dan memerlukan dua jaringan minit akhir ketika berhadapan Costa Rica, juara dunia lima kali ini memburu slot ke suku akhir buat kali ke-8 berturut-turut dalam kejohanan ini.

Pemain bintang, Neymar hanya menjaringkan 1 gol dalam 3 perlawanan setakat ini.

Namun bagi pengendali Brazil, Tite prestasi pemain penyerang Paris Saint-Germain itu sangat memuaskan walaupun hanya sempat pulih dari kecederaan sebelum kejohanan bermula.

(Photo by Buda Mendes/Getty Images)

“Neymar beraksi dengan baik sekali terutama dalam perlawanan menentang Serbia. Kami sedar segala pengorbanan yang dilakukan beliau untuk kembali ke tahap ini.”

“Neymar juga melaksanakan tugas taktikal dengan cemerlang. Beliau melakukan tugas bertahan, mengikat bek sayap lawan, sentiasa cuba menewaskan lawan dengan larian dan gelecekan, dan sudah tentu juga untuk menjaringkan gol.”

Sekiranya ada kegusaran buat Tite, ianya pasti mengenai bek sayap, Marcelo yang hampir pasti akan direhatkan akibat kecederaan. Felipe Luis dijangkan akan beraksi di posisi tersebut dalam perlawanan ini.

Mexico 

Ketika ditewaskan oleh Sweden 3-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpuan, Juan Carlos Osorio mengakui kesilapan taktikal daripada beliau adalah punca kekalahan tersebut.

Menentang pasukan yang ‘direct’ dan menggunakan kekuatan di bahagian sayap seperti Sweden, Osorio mengakui sistem tiga pertahanan, adalah lebih sesuai untuk mengawal pemain penyerang lawan di dalam kotak penalti.

Namun untuk perlawanan pada malam ini, Osorio dijangka akan mengekalkan taktikal 4-2-3-1 yang digunapakai oleh Mexico sepanjang 3 perlawanan peringkat kumpulan.

(Photo by Hector Vivas/Getty Images)

Satu perkara yang pasti, Osorio tidak mampu untuk berhadapan dengan satu lagi kesilapan taktikal jika impian ke suku akhir sejak kali terakhir dilakukan pada 1986 dicapai kali ini.

“Perlawanan menentang Sweden adalah satu pengajaran. Kekalahan tersebut membuatkan saya harus mengkaji kembali perlawanan tersebut dan akan datang.”

“Menentang Sweden, kami bergelut ketika melakukan pressing. Bahagian pertahanan pasukan turut sering terdedah,” jelas Osorio.

Fakta dan trivia

Berikut adalah perkara yang perlu anda tahu mengenai pertemuan Brazil dan Mexico:

  • Brazil dan Mexico telah bertemu sebanyak 40 kali sebelum ini. Brazil menang 23 dan tewas 10 daripada perlawanan tersebut.
  • Mexico tidak pernah menang dalam mana-mana empat perlawanan menentang Brazil di Piala Dunia (Seri 1, Kalah 4). Mexico turut dibolosi oleh Brazil 11 kali dan tidak menjaringkan sebarang gol ketika berhadapan pasukan Amerika Selatan itu.
  • Perlawanan pada malam ini adalah yang ke-5 membabitkan kedua-dua pasukan. Hanya Brazil vs Sweden (7 kali), Argentina vs Jerman (7 kali), dan Jerman vs Yugoslavia (6 kali) merekodkan pertembungan yang lebih banyak di Piala Dunia.
  • Kali terakhir Brazil gagal ke suku akhir Piala Dunia ialah pada 1990. Sejak daripada itu, Brazil tampil sebagai 8 pasukan terbaik kejohanan.
  • Brazil sedang berusaha untuk memenangi 3 perlawanan berturut-turut di Piala Dunia. Kali terakhir Brazil berbuat demikian ialah pada 2006.
  • Brazil belum pernah kalah dalam 14 perlawanan antarabangsa, dengan 10 kemenangan. Kali terakhir Brazil tewas ialah pada Jun 2017, kalah 1-0 kepada Argentina.
  • Mexico disingkirkan di Piala Dunia di pusingan 16 pasukan untuk 6 edisi Piala Dunia sebelum ini. Hakikatnya, Mexico tidak pernah mara ke suku akhir sekiranya beraksi di luar benua.

Pemain tumpuan

Lupakan sebentar Neymar. Pemain terpenting dalam merangka serangan pasukan Brazil ialah Philipe Coutinho.

Perancang tengah Barcelona ini memiliki 91% ketepatan hantaran, dengan 10 hantaran kunci (key passes), menjaringkan 2 gol setakat ini, dan turut menyumbang kepada bantuan gol.

(Photo by Buda Mendes/Getty Images)

Di bahagian pertahanan, fokus akan lebih terarah kepada kebolehan Casemiro untuk menghalang asakan, Carlos Vela, Hirving Lozano dan Miguel Layun.

Chicharito akan terus menjadi sandaran untuk memburu gol bagi Mexico. Namun demikian, pemain-pemain lain terutamanya Vela yang beraksi di belakang Chicharito juga harus tampil lebih tajam.

Brazil telah menambah baik sistem pertahanan mereka. Namun ini tidak bermakna, Mexico tidak mampu mengancam. Untuk itu, Lozano dan Layun harus lebih efektif, dan mempergunakan bahagian hal-space dengan lebih bijak.

lozano

Bahagian pertahanan adalah bahagian yang harus diberikan tumpuan oleh Osorio dalam perlawanan ini, dengan Herrera mungkin diberikan peraan untuk merantai Coutinho.

Rumusan

Dimulakan dengan Jerman di peringkat kumpulan, Argentina, Portugal dan Sepanyol adalah antara pasukan ‘heavy weight’ yang sudah mengucapkan selamat tinggal kepada Rusia.

Neymar dan Brazil pasti tidak mahu menjadi mangsa seterusnya, tatkala Mexico mahu menjadi sebuah lagi pasukan mengejar kemasyuran mengejutkan gergasi bola sepak Amerika Latin itu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN