Kedua-dua pasukan, Selangor dan PJ City FC dalam misi yang sama – memburu 3 mata pertama saingan Liga Super Malaysia (MSL) bagi musim 2019. Di atas kertas, Selangor miliki kelebihan berbanding PJ City yang merupakan pendatang baharu liga.
Minggu lalu, Selangor yang beraksi di laman sendiri, di Shah Alam terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri apabila pasukan yang jauh lebih muda, Felda United hadir dengan gol penyamaan untuk membolehkan kedua-dua pasukan berkongsi 1 mata.
PJ City pula terpaksa mengharungi satu perlawanan yang sukar – menentang barisan bintang Melaka United di laman lawan. Walaubagaimanapun, di akhir perlawanan, mereka tewas tipis 1-2, sesuatu yang boleh dibanggakan oleh warga baharu MSL itu.
PJ City
Selepas proses penjenamaan semula pasukan, PJ City tampil dengan semangat baharu dengan dibarisi pemain-pemain yang mungkin lebih baik cuma memerlukan sedikit masa untuk serasi.
Ini diakui oleh ketua jurulatih, K. Devan yang menyatakan bahawa masalah keserasian di kalangan pemain mengganggu rentak pasukan ketika menentang Melaka United tempohari.
Begitupun, barisan anak buahnya itu bangkit di babak kedua dan berjaya memperolehi 1 gol saguhati, malah pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan mengakui lega di akhir perlawanan.
Itu boleh dijadikan sebagai motivasi tambahan buat PJ City untuk berdepan satu lagi perlawanan sukar dan kebangkitan yang dijelmakan di babak kedua tempohari pastinya ingin diteruskan dalam aksi kedua menentang naib juara Piala FA 2018, Selangor.
Selangor
Sebagai gergasi bola sepak Malaysia dan dilatih oleh salah seorang pengendali yang boleh dikategorikan antara yang terbaik di Malaysia, Selangor sewajarnya tampil gah pada musim ini.
B. Sathianathan diketahui antara jurulatih terbaik di saingan Liga M dengan telah 3 kali mengondol Anugerah Jurulatih Terbaik di Anugerah Bolasepak Kebangsaan pada 2010, 2012 dan 2017.
Mungkin keputusan seri pada minggu pertama MSL menentang Felda United boleh dimaafkan oleh para penyokong dengan alasan masih tercari-cari rentak tetapi untuk perlawanan ini, Gergasi Merah perlu mem’pasak’ niat mereka dalam saingan liga musim ini.
Pemain tumpuan
PJ City sekali lagi akan mempertaruhkan duo penyerang ‘menara’, Pedro Henrique dan Giancarlo Rodrigues yang memiliki ketinggian 1.95m dan 1.8m – tertinggi dalam saingan Liga M musim ini.
Menurut K. Devan, kelebihan ketinggian yang dimiliki oleh kedua-dua penyerang ini akan membantu PJ City disamping memiliki rekod jaringan yang baik sebelum tiba di Malaysia.
The Phoenix pasti akan gunakan kelebihan duo daripada Brazil ini ketika situasi set-pieces dan ketika menjana serangan – mungkin PJ City akan menggunakan taktikal long pass dengan bola akan terus dilambung ke kawasan defensive third lawan.
Sementara untuk Gergasi Merah, penampilan Rufino Sergovia perlu diberikan lebih perhatian oleh barisan pertahanan PJ City. Musim lalu, penyerang ini telah meledak 19 gol untuk Selangor.
Ketika menentang Felda United tempohari, barisan pemain Selangor dilihat cuba untuk mencarinya dalam proses untuk menghasilkan gol namun segalanya dilihat gagal dan Rufino tenggelam dengan jaringan Antonio German mencuri tajuk berita.
Sebelum sepak mula
PJ City musim lalu melakukan kejutan dalam saingan Piala Malaysia apabila menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) di ‘The Fortress Larkin’ dan ini wajar dijadikan tauladan oleh Selangor.
Walaupun beraksi di Stadium MP Petaling Jaya, ia masih dalam wilayah Gergasi Merah dan pastinya penyokong Selangor akan turun dengan kekuatan penuh untuk menyokong pemain mereka.
Untuk rekod, K. Devan pernah membimbing Selangor dan pastinya ini bakal menjanjikan persaingan sengit antara kedua-dua pasukan.
Siapa yang bakal memenangi perlawanan pada malam ini? Gergasi Merah atau The Pheonix?
Kredit foto: FA Selangor & Melaka United Soccer Association – MUSA