Skuad Tok Gajah dituntut pamerkan aksi cemerlang menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam malam ini untuk memastikan tiga mata menjadi milik mereka sekaligus terus mencabar pendahulu liga super, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh dalam sidang medianya selepas perlawanan menentang PJ City di Kuantan minggu lalu ‘menegur’ pemainnya agar lebih serius jika mahu merebut kejuaraan Liga musim ini.
Manakala skuad PKNS FC juga mahu memburu kemenangan bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam carta Liga Super dan dijangka akan memberikan saingan sengit kepada Pahang.
Dickson Nwakaeme kembali beraksi
Setelah tidak beraksi dalam dua perlawanan akibat kecederaan bulan lalu, ayam tambatan Pahang, Dickson Nwakaeme dijangka berada dalam kesebelasan utama malam ini untuk menguji benteng pertahanan PKNS FC yang merekodkan bolos terendah pada ketika ini.
Setelah dimasukkan sebagai pemain gantian pada perlawanan Liga Super Sabtu lepas, kelincahan Nwakaeme sangat ditagih setelah menjaringkan 4 gol musim ini. Seorang lagi rakan gandingannya dari Brazil, Ze Love hampir pasti menjadi pilihan untuk diturunkan.
“Empat gol Nwakaeme manakala Eduardo yang sudah menjaringkan tiga gol membuktikan sentuhan gol daripada mereka amat ditagih untuk memastikan pasukan beroleh kemenangan. Begitu juga persefahaman dan sokongan daripada semua pemain berada pada tahap terbaik, sekali gus kembali merekodkan kemenangan,” kata pengurus Pahang, Datuk Mohammad Suffian dalam harian metro.
“Selepas gagal mengutip tiga mata di laman sendiri minggu lalu, saya mengharapkan disiplin dan komitmen pemain akan lebih bagus untuk menyekat tuan rumah.
“Namun, pemain tidak boleh memandang mudah kemampuan pemain PKNS biarpun mereka berada di tangga kelima kerana hanya dibezakan enam mata dengan Pahang,” ujarnya.
Rajagobal ada ramuan sekat skuad Tok Gajah
Umum mengetahui apa yang mampu dibawa oleh jurulatih berpengalaman, Datuk Rajagobal ini jika beliau mengendalikan mana-mana pasukan.
Setelah 2 musim membimbing PKNS FC, bekas jurulatih skuad Harimau Malaya itu seolah-olah sudah mempunyai rentak dan resepi yang sesuai buat pasukan ini.
Melihat kepada rekod Liga Super ketika ini, PKNS merekodkan 3 kemenangan, 3 seri dan 2 kekalahan dan menduduki tempat ke lima liga. Kekalahan yang dialami pun hanyalah kekalahan tipis dimana mereka tewas 0-1 di kedua-dua perlawanan iaitu ketika menentang Melaka United dan PJ City FC.
Malah, kelibat penyerang prolifik PKNS FC iaitu Kpah Sherman tidak boleh dipandang enteng setelah pemain skuad kebangsaan Liberia itu menemui sentuhannya dengan menjaringkan 3 gol daripada 6 perlawanan Liga Super.
Selain itu, bekas pemain import Pahang iaitu Chan Vathanaka pasti diberi tumpuan apabila akan beraksi menentang pasukan lamanya dan beliau juga sudah menjaringkan 2 gol berbanding tiada gol langsung ketika mewakili Tok Gajah.
Rekod pertemuan
Sudah 18 kali kedua-dua pasukan ini bertemu dari tahun 2006 dengan Pahang lebih mendominasi dengan 11 kemenangan manakala 2 kali kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri.
Pada musim lepas, Pahang dikejutkan dengan gol kemenangan saat akhir oleh Safee Sali di Shah Alam dalam perlawanan kedua liga. Manakala ketika di Kuantan, Pahang berjaya membalas dendam kekalahan itu apabila menang dengan jaringan tunggal Issey Nakajima.
21 Julai 2018:
Pahang 1-0 PKNS FC (Liga Super)
7 Februari 2018:
PKNS FC 1-0 Pahang (Liga Super)
15 Julai 2017:
PKNS FC 1-3 Pahang (Liga Super)
28 Februari 2017:
Pahang 3-0 PKNS FC (Liga Super)
17 Oktober 2015:
Pahang 1-4 PKNS FC (Piala Malaysia)
Taktikal pasukan
Formasi 4-4-2 menjadi taruhan Pahang dan dijangka mempertaruhkan gandingan Ze Eduardo dengan Dickson Nwakaeme sambil dibantu oleh Norshahrul Idlan Talaha di bahagian serangan.
Pemain tengah skuad kebangsaan, Nor Azam Azih yang sebelum ini tidak beraksi akibat kecederaan dijangka kembali memperkasakan jentera tengah skuad Tok Gajah bersama Safuwan Baharudin, Mohamadou Sumareh dan Saddil Ramdani untuk memberi tekanan kepada PKNS FC.
Pahang dilihat bergantung kepada kekuatan bahagian sayap untuk mengatur serangan ke kubu lawan.
Dua sistem utama yang digunapakai oleh Datuk K. Rajagopal pada musim ini adalah sistem 4-4-2 dan juga 4-1-4-1. Kedua-dua sistem mampu memberi kestabilan kepada PKNS FC. 4-4-2 lebih sesuai sekiranya PKNS FC mahu corak permainan menyerang yang lebih agresif.
Manakala 4-1-4-1 lebih kepada corak permainan berhati-hati, sebelum menggempur lawan menggunakan serangan balas pantas seperti mana yang dipamerkan ketika menundukkan Selangor 4-0, dan mengikat Kedah 0-0 di Alor Star. Kpah Sherman adalah ancaman utama kepada kubu lawan. Namun kebijaksanaan Akram Mahinan yang merencakan serangan dari bawah turut harus diberikan kredit.
Ramalan Semuanya BOLA
Sudah pastinya Pahang tidak rela rekod tanpa kalah mereka lebur malam ini kerana ia boleh menjejaskan usaha mereka untuk mencabar pendahulu liga super, JDT yang masih konsisten sehingga kini.
Perlawanan malam ini bergantung kepada sejauh mana kebijaksanaan kedua-dua pasukan merencanakan taktikal masing-masing. Faktor pengalaman pemain turut akan memainkan peranan yang penting malam ini kerana PKNS dibarisi oleh ramai pemain muda.
Pasukan yang kurang melakukan kesilapan berpeluang cerah untuk muncul sebagai pemenang. Jadi, kami meramalkan perlawanan akan berakhir dengan keputusan seri.
#FMONIFLIX
Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.
Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan sedutan perlawanan minggu-minggu sebelumnya. Teruskan setia bersama kami di Semuanya BOLA!