Terengganu akan turun melayan kunjungan PJ City pada malam ini dengan misi mahu memperbaiki prestasi dan konsistensi pasukan. Manakala PJ City pula dalam misi untuk menjauhi zon penyingkiran.
Prestasi semasa
Terengganu kini berada di tangga ke-7 dengan 12 mata. Manakala PJ City berada di tangga ke-10 dengan 8 mata setakat ini.
Berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pasukan agak bergelut dalam Liga Super. Masing-masing hanya menang sekali dalam 4 perlawanan terakhir.
Namun untuk prestasi dalam semua pertandingan pula – Terengganu lebih baik dengan 3 kemenangan dalam 5 perlawanan terakhir.
PJ City hanya menang sekali daripada 5 perlawanan dan masih tak menang dalam 4 perlawanan terakhir – dengan 3 kekalahan berturut-turut dalam 3 perlawanan terakhir.
Rekod pertemuan
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada 2017 dalam saingan Liga Perdana. Daripada 2 pertemuan ketika itu Terengganu dan PJ City masing-masing menang sekali dengan jumlah skor yang sama iaitu 2-1.
Kerisauan Irfan Bakti
Irfan Bakti terus terbuka mengkritik prestasi pemain beliau sendiri terutama sekali Kipre Tchetche. Ketumpulan di hadapan gol terus menjadi isu yang dibangkitkan. Hanya 11 gol selepas 10 perlawanan ketika ini.
Namun pada pandangan kami, isu serangan ini lebih daripada seorang pemain. Ianya melibatkan isu berpasukan dan taktikal juga harus diambil kira.
PJ City harus kembalikan keyakinan
Mereka perlu kembalikan semula keyakinan yang mereka tunjukkan dalam beberapa perlawanan awal musim ini.
Buat masa ini PJ City sama mata dengan 2 pasukan di zon penyingkiran iaitu Felda United dan KLFA. Isu ketumpulan dan kreativiti di zon serangan adalah lebih mustahak bagi mereka ketika ini.
Ini kerana selepas 10 perlawanan mereka bolos 12 kali. Jauh lebih baik daripada Selangor (19) yang berada di tangga ke-3 dan juga Terengganu sendiri.
Sebelum wisel
Ini adalah perlawanan yang sangat penting terutama sekali untuk Terengganu. PJ City pastinya selesa dengan tag bukan pasukan pilihan.
Adakah serangan kedua-dua pasukan akan diperbaiki pada malam ini? Sama-sama kita nantikan.