Previu MSL 2019: Pertemuan ‘Buku Dengan Ruas’ Malam Ini

Malam ini, juara Piala FA 2018, Pahang dan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berentap di Stadium Darul Makmur, Kuantan yang akan menyaksikan sama ada jurang di antara dua pasukan teratas liga super ini dapat dilebarkan.

Skuad Harimau Selatan berkunjung ke Kuantan dengan berkelebihan dua mata di puncak liga apabila menghimpun 26 mata sementara skuad Tok Gajah di tangga kedua dengan 24 mata.

Ia adalah perlawanan yang paling ditunggu-tunggukan oleh peminat bola sepak tempatan apatah lagi kedua-dua pasukan masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 10 perlawanan Liga Super.

FOTO: Pahang FA

Pahang tekad buru tiga mata penuh

Biarpun memiliki kelebihan beraksi di halaman sendiri, pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh tetap berwaspada terhadap ancaman skuad kendalian Benjamin Mora itu.

Beliau berpendapat peluang Pahang untuk menang adalah 50-50 tetapi tidak mustahil untuk menewaskan bekas juara Piala AFC itu kerana mereka pernah melakukannya di Stadium Larkin ketika dalam saingan Piala FA tahun lalu.

“Bagi saya, peluang untuk menang ke atas JDT adalah 50-50. Tapi, pemain mampu mencapai misi kemenangan jika bermain pada prestasi terbaik.

“Segalanya terpulang kepada persefahaman dan kerjasama sepanjang 90 minit perlawanan untuk menghalang lawan daripada melakukan jaringan.

“Oleh itu, pemain perlu memanfaatkan segala peluang yang ada kerana lawan sudah pasti mahu membawa pulang mata untuk mengukuhkan kedudukan dalam liga,” katanya dalam Berita Harian.

Pahang kemungkinan akan menurunkan ayam tambatan mereka, Dickson Nwakaeme untuk merobek gawang JDT. Namun, mereka kehilangan dua pemain tengah iaitu Azam Azih yang digantung akibat layangan kad merah dan Safuwan Baharuddin yang mengalami kecederaan buku lali.

Rekod jaringan yang paling sedikit dibolosi iaitu dengan enam gol selepas mengharungi 10 perlawanan membuktikan betapa barisan pertahanan mereka boleh dilabelkan sebagai benteng pertahanan terbaik dalam Liga Malaysia ketika ini.

Dollah sudah pastinya menagih benteng yang lebih mantap khususnya bagi aksi bertemu JDT malam ini terutamanya selepas mengambil kira keampuhan jentera serangan JDT.

Kesebelasan utama Pahang ketika menentang PKNS FC. FOTO: Pahang FA

JDT mahu kukuhkan kedudukan di takhta liga

Tidak dinafikan JDT memiliki jentera serangan yang mantap apabila merekodkan 24 gol dalam saingan liga musim ini. Malah, mereka mempunyai rekod yang baik apabila beraksi di Stadium Darul Makmur musim lepas.

Gandingan Gonzalo Cabrera dan Diogo Santos dijangka akan menjadi taruhan JDT memandangkan dua pemain itu sudah meledak 12 gol dalam saingan liga musim ini sekali gus perlu diberi perhatian oleh barisan pertahanan Pahang.

JDT juga merupakan satu satunya wakil dari Malaysia yang beraksi dalam saingan peringkat Asia dan pertambahan jumlah perlawanan menyaksikan mereka bergelut dengan masalah kecergasan ketika saingan domestik turut padat. Mereka beraksi menentang Shandong Luneng pada pertengahan minggu ini.

Benjamin Mora bagaimanapun tidak begitu menyesal apabila tidak menurunkan barisan utama ketika tewas 0-1 kepada kelab China itu di Stadium Larkin kerana fokusnya lebih terarah kepada pertemuan menentang Pahang malam ini.

“Saya tidak menyesal kerana kita ada 27 pemain dalam skuad ini yang boleh berentap dan bermain sebagai satu pasukan.

“Kita tahu situasi ini sukar kerana mahu pemain memberi fokus pada Liga Super, tetapi saya tidak pernah menyesal kerana kita tidak tahu apa pula jadinya jika saya menurunkan pemain lain dalam kesebelasan utama, adakah mereka boleh bermain lebih baik.

“Apa yang saya tahu, kesebelasan utama diturunkan menunjukkan persembahan baik, mereka cuba menyerang dari awal,” katanya dalam Berita Harian.

FOTO: JST

Pemain tumpuan

Dickson Nwakaeme (Pahang)
Setelah tidak beraksi dalam dua perlawanan akibat kecederaan, ayam tambatan Pahang, Dickson Nwakaeme dijangka berada dalam kesebelasan utama malam ini untuk menguji benteng pertahanan JDT. Kelincahan Nwakaeme sangat ditagih oleh Dollah Salleh setelah menjaringkan 4 gol musim ini. Kelebihan fizikal yang ada padanya mampu memberi masalah kepada mana-mana pemain pertahanan lawan.

FOTO: Pahang FA

Diogo Luis Santos (JDT)
Beliau bukanlah seorang pemain yang mudah untuk dikawal apabila berada dalam kotak penalti dan mampu memberi masalah kepada benteng pertahanan Pahang yang diterajui oleh Muslim Ahmad dan Herold Goulon. Bekas penyerang Buriram United ini telah menjaringkan 5 gol dalam saingan Liga Super setakat ini dan mampu menghukum kelekaan pemain lawan. Kemampuannya menyudahkan beberapa peluang di depan pintu gol bergantung kepada kebijaksanaan Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid mengaturkan gerakan ke kubu lawan.

Rekod pertemuan

Berdasarkan rekod pertemuan, skuad Harimau Selatan memiliki kelebihan berbanding skuad Tok Gajah. Daripada 12 pertemuan terakhir sejak tahun 2013, JDT memenangi lapan aksi, seri dua sementara Pahang hanya memenangi dua perlawanan.

Bagaimanapun, Pahang sudah beraksi dalam empat perlawanan di Stadium Darul Makmur setakat ini dan mereka berjaya mengelak daripada sebarang kekalahan di laman sendiri yang menyaksikan mereka meraih dua kemenangan dan dua keputusan seri.

29 September 2018:
Johor DT 2-0 Pahang (Piala Malaysia)

23 September 2018:
Pahang 1-1 Johor DT (Piala Malaysia)

12 Jun 2018:
Pahang 1-2 Johor DT (Liga Super)

8 Jun 2018:
Johor DT 1-0 Pahang (Liga Super)

20 April 2018:
Johor DT 0-3 Pahang (Piala FA)

Ramalan Semuanya BOLA

Kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan masing-masing namun pencaturan jurulatih akan menjadi penentu kepada keputusan perlawanan tersebut. Ianya agak sukar untuk menentukan pasukan mana yang mempunyai peluang cerah untuk menang berdasarkan prestasi terkini mereka.

Isu kecergasan akan menjadi masalah utama JDT kerana mereka mengharungi jadual yang cukup padat minggu ini berbanding Pahang yang mempunyai rehat selama 7 hari. Penulis meramalkan perlawanan akan berakhir dengan keputusan seri.

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.

Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.

Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.

Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan sedutan perlawanan minggu-minggu sebelumnya. Teruskan setia bersama kami di Semuanya BOLA!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN