The Ohana FC Lancar Kempen Bantu Pasukan Bola Sepak SK Lemoi

The Ohana FC

Kelab liga sosial, The Ohana FC meneruskan misi khidmat masyarakat pasukan tersebut apabila melancarkan projek #ProjekKasutBolaOhana selepas berjaya merealisasikan impian #ProjekMotorOhana.

Sasaran projek kedua The Ohana FC ini adalah untuk membantu pasukan bola sepak Sekolah Kebangsaan Lemoi, Cameron Highland.

Sekolah kawasan pedalaman di perkampungan orang asli itu dikhabarkan hanya mempunyai purata 100 orang pelajar sahaja.

Namun, ia langsung tidak menghalang pasukan bola sepak sekolah tersebut untuk meraih kejuaraan di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) 2019.

Sekaligus SK Lemoi akan membawa cabaran daerah Cameron Highland pada peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pahang yang dijadualkan berlangsung selepas Hari Raya Aidilfitri.

Dengan kelengkapan bola sepak yang sangat minimum, set jersi sudah lama dipakai serta lebih menyedihkan kasut bola para pemain juga telah lusuh jelas tidak meruntuhkan semangat mereka.

Sehubungan dengan itu, The Ohana FC mengambil inisiatif dan berhasrat untuk mewujudkan PROJEK KASUT BOLA OHANA di bawah #ProjekOhana dalam melancarkan ‘public funding’ khas dan jalinan kerjasama bersama rakan strategik mereka buat pasukan kecil tetapi berbakat besar ini.

Ia bertujuan bagi membantu kelangsungan mereka di dalam bermain bola sepak dan seterusnya mengejar cita cita para pemain cilik yang dikenali sebagai The Botaks ini untuk menjadi pemain bolasepak yang berjaya.

Kekurangan tak rentap semangat pemain The Botaks

Objektif dana

#ProjekKasutBolaOhana ini mensasarkan untuk mendapatkan 20 pasang kasut bola dan kasut sukan (larian) baharu buat semua pemain, satu set jersi pasukan serta set latihan dan kelengkapan bola sepak buat SK Lemoi.

Jumlah dana yang diperlukan adalah sebanyak RM5000. Ia juga turut merangkumi kos penghantaran secara terus ke sekolah tersebut.

Kaedah pengumpulan dana & faedah buat penaja

Antara kaedah pengumpulan dana yang dirancangkan untuk #ProjekKasutBolaOhana ini adalah dengan sumbangan daripada orang ramai.

Selain itu, jalinan kerjasama dengan rakan strategik #ProjekOhana dan pemain-pemain bola sepak profesional dalam usaha menjayakan projek ini.

Faedah bakal diterima pihak penaja yang terlibat dengan projek ini ialah kerjasama dan penghargaan sebagai penaja sepanjang musim bersama pasukan The Ohana FC, pendahulu Liga Divisyen 2 Klang Valley League.

Posting dan penghargaan khas menerusi laman sosial peribadi personaliti TV3, Hanif Miswan serta beberapa pemain kebangsaan mengatakan persetujuan bagi menjalinkan kerjasama untuk projek ini.

Selain itu, semua pemain, pengurusan dan penyokong The Ohana FC juga akan membuat penghargaan khas di laman media sosial masing-masing.

Usaha murni The Ohana FC

Ternyata usaha murni The Ohana FC wajar dipuji dan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi merealisasikan impian buat anak kecil yang cintakan bola sepak ini.

Untuk membantu serta mendapatkan sebarang maklumat lanjut, anda boleh terus ke Facebook atau Instagram The Ohana FC!

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN