Perak bakal melayani kunjungan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) pada malam ini dalam aksi Liga Super Malaysia 2019 yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.
Kedudukan dalam Liga Super 2019
Perak yang sekadar mencatatkan satu kemenangan, empat keputusan seri dan satu kekalahan kini menghuni tangga ke-8 setelah mengumpul tujuh mata.
PKNS FC pula pula turun ke Ipoh berbekalkan 11 mata apabila mencipta tiga kemenangan, dua seri dan dua kekalahan untuk menduduki tempat ke-5 Liga Super.
Skuad Yob itu bagaimanapun baru beraksi enam perlawanan berbanding PKNS FC (tujuh perlawanan) selepas aksi menentang Kuala Lumpur tempoh hari ditunda ke 23 April nanti.
Masalah penyudah tumpul hantui Perak
Perjalanan Perak selepas mengharungi enam perlawanan Liga Super bukanlah satu pencapaian yang menggembirakan peminat setia mereka kerana aksi skuad bimbingan Mehmed Durakovic ini masih terdapat beberapa kelemahan ketara.
Hanya satu kemenangan (bertemu Petaling Jaya City FC) yang diraih setakat ini menyerlahkan kepincangan buat skuad juara Piala Malaysia 2018 itu.
Dalam pada itu, empat keputusan seri dicatatkan menjadikan Perak sebagai pasukan yang paling banyak merakamkan keputusan seri.
Aspek penyudah tumpul jentera serangan sudah pasti menjadi topik hangat apabila Perak hanya mampu menjaringkan empat gol daripada enam perlawanan dan dua daripada jaringan tersebut berpunca daripada sepakan penalti.
Namun, kerisauan itu mungkin sedikit terubat apabila Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mula menemui sentuhan jaringan ketika membantu Perak menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam saingan Shopee Piala FA.
Rekod musim lalu jadi taruhan PKNS FC
PKNS FC terlepas peluang untuk berada di kelompok tiga pasukan teratas pada minggu lalu selepas dikejutkan Petaling Jaya City FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Melihatkan kepada enam pertemuan kedua-dua pasukan pada musim lalu, skuad dengan jolokan ‘Semut Merah’ itu lebih berkelebihan berbanding tuan rumah apabila mencatatkan tiga kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan.
Lebih manis, PKNS FC berjaya dua kali mengikat Perak di Stadium Perak (2-2 dan 0-0) manakala menang 2-0 ketika perlawanan tanpa penonton yang berlangsung di Stadium TLDM, Lumut.
Andai melihatkan rekod baik di tempat lawan tersebut, PKNS FC jelas tidak akan memberikan laluan yang mudah buat Perak pada malam ini.
Ia ditambah dengan moral para pemain yang meningkat selepas berjaya menundukkan Melaka United 3-2 dalam kempen Piala FA.
Firdaus Saiyadi & Kpah Sherman
Tidak dapat dinafikan Firdaus Saiyadi akan sentiasa menjadi tumpuan dan tunjang kepada kekuatan Perak.
Beliau yang diletakkan oleh Mehmed Durakovic di posisi tengah (kebiasaannya diletakkan sebagai pemain sayap kanan) pada pertemuan menentang Negeri Sembilan turut memberikan sumbangan yang berkesan buat pasukan.
Kem PKNS FC pula menyandarkan harapan kepada awang import di bahagian serangan, Kpah Sherman.
Walaupun hanya mampu mencipta dua jaringan dalam saingan liga setakat ini, kelincahan pemain kelahiran Liberia itu pasti akan menghadirkan gerun buat gandingan pertahanan tengah Perak, Shahrul Mohd Saad dan Zac Anderson.
Rekod pertemuan (2 tahun terakhir)
Liga Super 2017
Perak 0-3 PKNS FC (Stadium Shah Alam)
Perak 2-0 PKNS FC (Stadium Perak)
Liga Super 2018
Perak 0-2 PKNS FC (Stadium TLDM)
Perak 1-4 PKNS FC (Stadium Shah Alam)
Suku Akhir Piala FA 2018
Perak 1-2 PKNS FC (Stadium Shah Alam)
Perak 2-2 PKNS FC (Stadium Perak)
Suku Akhir Piala Malaysia 2018
Perak 0-0 PKNS FC (Stadium Perak)
Perak 2-0 PKNS FC (Stadium Shah Alam)
Ramalan Semuanya BOLA
Aksi menarik bakal disaksikan di Stadium Perak malam ini dengan kedua-dua pasukan akan menerapkan corak permainan menyerang sejak dari awal permainan.
Perak yang mengintai kemenangan kedua saingan liga seharusnya memanfaatkan peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri bagi mengutip tiga mata penuh.
Namun, Shahrul Saad dan rakan sepasukan perlu berwaspada dengan ancaman PKNS FC yang turut menyimpan impian menggunung untuk meraih kemenangan di Ipoh.
#FMONIFLIX
Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.
Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!
Kredit foto: Perak TBG & PKNS FC