Seharusnya ini menjadi perlawanan tumpuan pada minggu ini walaupun Selangor tidak berada dalam kondisi terbaik untuk berdepan Pahang – tewas besar kepada PKNS FC minggu lalu.
Ia pertembungan klasik antara kedua-dua pasukan kerana perseteruan mereka sejak dahulu menjadikan perlawanan ini sangat ditunggu-tunggu oleh penyokong kedua-dua pasukan.
Pahang berdepan tugas sukar untuk memastikan Selangor tidak mengecewakan mereka disamping mengekalkan momentum di kedudukan puncak liga untuk terus mengekori rapat Kedah.
Kali terakhir Selangor tewas dengan margin 4 gol adalah pada April 2018 apabila tewas 0-4 kepada Kedah. Jadi, menarik untuk disaksikan bagaimana Gergasi Merah mahu bangkit semula.
Rekod di Darul Makmur tidak memihak Pahang
Kemenangan meyakinkan ketika menentang Terengganu gagal diteruskan pada minggu lalu apabila terikat dengan keputusan seri 1-1 menentang Melaka United. Menentang Selangor yang dalam krisis prestasi diharap akan melonjak moral mereka semula.
Walaubagaimanapun, rekod mereka di Darul Makmur ketika menentang Selangor tidaklah begitu meyakinkan apabila hanya menang sekali dalam 5 pertembungan terkini – sesuatu yang perlu difikirkan solusinya oleh Dollah Salleh untuk aksi minggu ini.
Selangor tagih impak segera pemain baharu
Ini adalah permulaan liga terburuk setakat 3 musim buat Gergasi Merah selepas hanya meraih 2 mata dalam 3 perlawanan liga. Seri dalam dua aksi pertama, Selangor tumbang pula 0-4 kepada musuh terdekat mereka PKNS FC minggu lalu.
B. Satianathan telah membawa masuk pada hari terakhir jendela perpindahan tiga pemain untuk memperbaiki situasi pasukan. Impak segera pastinya ditagih daripada mereka bertiga – Khyril Muhymeen, Fandi Othman dan pastinya Sandro da Silva.
Dickson Nwakaeme dan Rufino Segovia
3 gol selepas 3 perlawanan mengembalikan Dickson Nwakaeme sebagai penyerang berbahaya di dalam kancah Liga M semula selepas 3 musim meninggalkan bumi Malaysia.
Masih tidak hilang sentuhan tajamnya, pasti malam ini tumpuan akan terarah kepadanya untuk terus menjadi peledak utama Tok Gajah disamping dibantu oleh kelincahan Saddil Ramdani di sayap.
Pertahanan Pahang juga tampil kukuh musim ini dengan kehadiran pertahanan tinggi lampai, Herold Goulon yang turut tidak ketinggalan menjadi penyumbang dua gol buat Pahang ketika ini.
Sementara peledak terbanyak liga musim lalu, Rufino Segovia pula masih sunyi dalam tiga perlawanan awal liga musim ini walaupun sudah menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti.
Dengan ketiadaan Antonio German yang digugurkan, Rufino dijangkakan dapat mencari semula rentaknya dengan bantuan Halim Saari, Faiz Nasir dan kemungkinan Khyril Muhymeen.
Sebagai penggantian terus kepada Wan Zack Haikal, Khyril Muhymeen yang sebelum ini telah meledak dua gol bersama Perlis dijangka akan diturunkan untuk bergandingan bersama Rufino.
Rekod dan statistik
Pahang (M-M-S)
- Menang 3-1 v Kuala Lumpur (A)
- Menang 3-0 v Terengganu (H)
- Seri 1-1 v Melaka United (A)
Selangor (S-S-K)
- Seri 1-1 Felda United (H)
- Seri 1-1 PJ City FC (A)
- Kalah 0-4 PKNS FC (H)
Taktikal pasukan
Pahang akan kehilangan khidmat Azam Azih yang dilayangkan kad merah minggu lalu dan dijangkakan akan ada sedikit perubahan formasi yang telah digunakan sebelum ini untuk membolehkan pengganti Azam beroperasi dengan baik.
Jika formasi 4-4-2 digunakan ketika bertemu Melaka United, dijangkakan formasi 4-3-3 pula akan menjadi teras Tok Gajah pada malam ini dengan menyenaraikan semula penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha ke dalam kesebelasan utama.
Bolos 4 gol menyaksikan Selangor juga sebenarnya berdepan masalah di benteng dan Satianathan perlu mencari penyelesaian kepada masalah tersebut kerana akan Pahang tampil dengan barisan penyerang berbahaya – terutamanya di laman sendiri.
Sedikit perubahan kepada senarai pemain dijangkakan dengan kehadiran rekrut terbaru seperti Fandi Othman dan Khyril Muhymeen – Selangor akan pasti menggunakan terus khidmat mereka. Kelibat Sandro masih belum kelihatan di kem Selangor.
Ramalan Semuanya BOLA
Pahang akan merekodkan kemenangan untuk pertembungan klasik antara kedua-dua pasukan ini. Ini disebabkan Selangor bukanlah pasukan yang berada di tahap terbaik pada ketika ini dan masalah ini dijangka akan berterusan pada aksi malam ini.
Bukan mudah untuk bangkit daripada kekalahan besar tanpa persediaan yang rapi dan jika Gergasi Merah berjaya meraih 1 mata dalam perlawanan ini, ia boleh dianggap sebagai kejayaan buat mereka selepas minggu mengecewakan tempohari.
Antara Pahang dan Selangor, siapa akan memenangi perlawanan pada malam ini? Kongsikan pendapat anda bersama kami.
#FMONIFLIX
Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun. Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!