Previu MSL 2019: Kredibiliti PJ City Bakal Diuji Pendahulu Liga, Kedah

PJ City FC kembali ke Stadium MBPJ dengan penuh bersemangat untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri selepas berjaya menewaskan PKNP FC dalam aksi minggu lalu – PJ City bangkit dua kali untuk mengatasi PKNP FC dengan keputusan 3-2.

Kedah pula kembali ber’awaydays’ selepas beraksi cemerlang di hadapan penyokong sendiri buat kali pertama. Kedah menang bergaya 4-0 ke atas Felda United seterusnya melonjak pasukan itu ke puncak unifi Liga Super Malaysia (MSL) 2019.

Berikut adalah previu menjelang aksi ke-4 MSL 2019 pada malam ini antara PJ City menentang Kedah.

Gandingan penyerang ‘menara’ PJ City FC

Gandingan dua penyerang tinggi lampai, Pedro Henrique dan Giancarlo Lopez akan menjadi sandaran pengendali PJ City, K. Devan. Mereka telah berjaya memacu The Phoenix untuk meraih kemenangan sulung dalam aksi ketiga minggu lalu.

Kedua-dua pemain ini merupakan gandingan penyerang yang tertinggi di saingan liga musim ini iaitu 1.95 meter dan 1.8 meter malah Pedro juga telah menyumbang dua gol buat PJ City.

Foto: PJ City

Pendatang baharu liga ini tampak tidak kekok untuk berada di kalangan pasukan pertengahan liga apabila telah meraih 4 mata daripada 3 perlawanan – 1 menang, 1 seri dan 1 kalah. Menentang Kedah bakal melihat sejauh mana kredibiliti PJ City.

Walaubagaimanapun, tuan rumah dilihat sedikit goyah di benteng dengan 5 bolos dan pertemuan menentang Kedah ini bakal menguji lagi kemampuan benteng mereka kerana pasukan pelawat itu memiliki jentera serangan terbaik di liga setakat ini.

Kedah miliki benteng kukuh

Bolos 1 gol dalam 3 perlawanan, benteng Helang Merah adalah yang terbaik di liga setakat ini. Gandingan antara Renan Alves dan Shakir Hamzah berjaya memberi nafas baharu buat pertahanan Kedah yang bolos 49 gol daripada 30 perlawanan musim lalu.

Selain itu, Kedah juga tidak ‘malu’ di hadapan gol apabila 7 gol berjaya dihasilkan menjadikan Kedah adalah antara dua pasukan yang memiliki jentera serangan terbaik di liga setakat ini – selain Pahang. Kedah tampil dengan aura tersendiri pada musim ini.

Jonathan Bauman menjaringkan 1 gol ketika menentang PKNP dalam aksi unifi Liga Super 2019 (Foto: KFA)

Benteng pertahanan dan jentera serangan yang ampuh adalah elemen menarik yang telah ditampikan oleh skuad kendalian Aidil Sharin dan berdepan dengan pasukan yang telah bolos 5 gol dalam 3 aksi, Kedah perlu manfaat setiap peluang yang terhidang.

Minggu lalu menentang satu lagi pendatang baharu liga musim ini, Felda United, Kedah turun mempamerkan watak sebagai pencabar kejuaraan liga dengan aksi permainan yang kemas dan teratur, pantas serta berbisa. Kedah berhasil meledak 4 gol.

R. Barathkumar dan Zaquan Adha

Namanya tiba-tiba naik di awal musim ini bersama PJ City, namun R. Barathkumar bukanlah asing bagi penyokong PJ City ataupun musim lalu dikenali sebagai MIFA FC dalam saingan Liga Premier – terlibat dalam kesebelasan utama 19 daripada 20 perlawanan.

Ketika menentang Melaka United, walaupun tewas, Barathkumar berjaya menghasilkan gol yang cantik menewaskan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat. Pemain tengah ini juga telah meledak satu lagi gol ketika menentang PKNP FC.

Selain itu, The Phoenix juga memiliki seorang lagi pemain tengah yang sangat rajin di atas padang iaitu Bae Beom-geun selain penjaring yang telah meledak dua gol setakat ini, Pedro Henrique.

Untuk Kedah, setelah tumpuan seringkali diberikan kepada penyerang import, Jonathan Bauman, pastinya pada minggu ini tumpuan akan beralih sedikit kepada penyerang tempatan yang juga merupakan kapten skuad kebangsaan, Zaquan Adha.

Ini kerana, selepas berjaya menempat diri dalam kesebelasan utama untuk ketiga-tiga perlawanan, Zaquan kembali menemui sentuhan jaringan minggu lalu dengan 1 gol. Pastinya ini bakal melonjak moral dan prestasi pemain berusia 33 tahun itu.


Selain itu, tumpuan juga wajar diberikan kepada kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar yang cukup berbahaya dalam situasi set pieces, malah telah membuat 1 assist pada perlawanan tempohari.

Rekod dan statistik

PJ City FC (K-S-M)

  • Kalah 1-2 v Melaka United (A)
  • Seri 1-1 v Selangor (H)
  • Menang 3-2 v PKNP FC (A)

Kedah (M-S-M)

  • Menang 2-0 v PKNP FC (A)
  • Seri 1-1 v Perak (A)
  • Menang 4-0 v Felda United (H)

Ini merupakan kali kedua PJ City akan beraksi di halaman sendiri selepas cemerlang mengikat Gergasi Merah dengan keputusan 1-1 pada minggu ke-2 liga tempohari. Pastinya mereka inginkan kemenangan pula untuk perlawanan kali ini.

Kedah pula yang masih dengan rekod tanpa kalah selepas 3 aksi pastinya mahu mengekalkan rekod baik tersebut menjelang aksi ke-4 liga malam ini. Rekod di tempat lawan musim lalu kurang memberangsangkan buat Helang Merah – kalah 3 dan seri 3 kali.

Disamping itu, kedua-dua pasukan pernah bertemu dua kali dalam aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia 2018 dengan skuad Helang Merah telah menang tipis 3-2 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman sebelum diikat 2-2 di Stadium MBPJ.

Taktikal pasukan

Skuad kendalian jurulatih berpengalaman, K. Devan ini beraksi dengan sangat baik dalam 3 perlawanan setakat ini. Tewas tipis kepada pasukan dibarisi bintang, Melaka United di laman lawan menggambarkan yang PJ City wajar diberikan perhatian musim ini.

Devan dilihat menggunakan formasi 3-4-3 dan 4-4-1-1 dengan gemar melancarkan serangan daripada bahagian sayap ke kubu lawan menerusi hantaran-hantaran lintang mencari penyerang import tinggi lampai mereka – Pedro dan Giancarlo.

Dijangkakan akan berlaku sedikit perubahan terutamanya di bahagian bawah yang longgar. Besar kemungkinan pemain tengah bertahan yang baharu, Serginho bakal diberikan penampilan pertamanya. Safee Sali bakal memulakan aksi di bangku simpanan.

Sementara Kedah dilihat tidak akan membuat sebarang perubahan pemain mahupun taktikal kerana keserasian dan momentum yang telah dibentuk setakat ini daripada pemain kesebelasan utama sedang berada di tahap yang sangat baik – cukup ampuh.

Aidil Sharin pasti akan menggunakan formasi biasanya 4-3-3 atau 4-2-3-1 dengan Baddrol Bakhtiar dan pemain muda meningkat naik, Fadzrul Danel akan berada di ‘jantung’ skuad Helang Merah untuk bertahan dan juga merencana gerakan ke benteng lawan.

Fadzrul Danel
Foto: KFA

Begitupun, tidak dapat dipastikan mengenai status terkini kecergasan penyerang import, Fernando Rodriguez yang dilihat menjalani sesi berasingan bersama Azamuddin Akil dan Syawal Nordin ketika sesi latihan pasukan baru-baru ini.

Ramalan Semuanya BOLA

Walaupun Kedah sedang berada di prestasi terbaik mereka, cabaran yang bakal dihadirkan oleh PJ City juga boleh diberikan perhatian untuk perlawanan malam ini – mereka mempamerkan mental yang kuat apabila bangkit untuk menang aksi di Manjung.

Disamping itu, The Phoenix juga berjaya memberi tentangan sengit kepada dua pasukan kuat iaitu Melaka United dan Selangor. Begitupun, menentang Kedah, PJ City perlu memikirkan bagaimana mahu merobek tembok dan benteng kukuh Helang Merah itu.

Dengan situasi cuaca yang tidak menentu ketika ini yang adakala hujan pada lewat petang, dijangkakan keadaan padang di MBPJ akan memberikan masalah kepada pergerakan bola, malah boleh mengganggu rentak perlawanan sekiranya padang becak.

Jika benar kondisi padang tidak mengizinkan, kedua-dua pasukan perlu mencari solusi bagi menjadikan perlawanan ini berbaloi untuk disaksikan oleh para penyokong yang akan hadir ke stadium.

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.

Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun. Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.

Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN