Quantcast

LIGA MALAYSIA

Previu MSL 2019: JDT Mahu Pastikan Pahang Tumbang Di Larkin

Pertembungan di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang sentiasa menjanjikan saingan yang sengit apatah lagi kedua-dua pasukan kini sedang menghuni kedudukan dua teratas dalam saingan Liga Super musim ini.

Selepas 12 perlawanan, skuad Tok Gajah mengumpulkan 25 mata ketinggalan 5 mata dibelakang JDT yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini. Perlawanan kedua di Stadium Larkin malam ini bakal menentukan jurang mata diantara kedua-dua pasukan ini.

Pada aksi dua minggu lalu di Kuantan, JDT berjaya beroleh keputusan seri, 1-1 walaupun beraksi dengan sepuluh pemain. Malah, skuad kendalian Benjamin Mora itu kini berada ditahap terbaik selepas mengejutkan kelab gergasi Jepun, Kashima Antlers dalam saingan AFC Champions League minggu lalu.

Pahang pula baru sahaja menyingkirkan Terengganu FC, 4-0 untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala FA dan tekad memburu tiga mata penuh malam ini untuk merapatkan jurang dengan pendahulu liga.

Ia adalah perlawanan yang paling ditunggu-tunggukan oleh peminat bola sepak tempatan kerana ia merupakan ‘turning point’ yang menentukan pasukan mana bakal bergelar juara Liga Super musim ini.

FOTO: JST

JDT tekad kekalkan prestasi konsisten

Tidak dinafikan juara liga super 5 kali itu memiliki barisan pemain yang mantap dan mempunyai rekod yang baik di halaman sendiri. Meskipun jarak mata dalam liga di antara pasukan itu dengan pencabar terdekat sudah begitu jauh, mereka tetap memburu 3 mata penuh bagi memastikan kejuaraan Liga Super berada dalam genggaman.

“Saya memberi sepenuh tumpuan bagi persiapan menentang Pahang dan saya anggap ia perlawanan ‘El Classico’ tatkala JDT mahu menjarakkan kedudukan mata untuk kekal di tangga teratas, manakala Pahang pasti mahu mencalar rekod tanpa kalah kami.

“Justeru pertembungan menentang Pahang ibarat final bagi saya dan rakan sepasukan, kemenangan akan membolehkan kami berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan liga,” kata pemain import JDT, Mauricio Nascimento.

Seorang lagi pemain JDT, Aidil Zafuan tidak mahu rakan sepasukannya mengambil mudah terhadap perlawanan ini dan menganggap semua perlawanan ibarat perlawanan terakhir baginya.

“Walaupun kami kini berada di atas dengan jarak lima mata, kami tetap mahu memburu kemenangan dalam perlawanan bertemu pasukan Pahang malam ini.

“Ini kerana kami mahu menjarakkan lagi kedudukan kami dan kami tidak mahu berhempas pulas pada penghujung liga nanti. Pasukan Pahang merupakan ‘turning point’ untuk kami lebih konsisten dan lebih selesa mendahului liga,” katanya melalui kenyataan di laman facebook JOHOR Southern Tigers.

Barisan pemain JDT ketika menentang Kashima Antlers. Foto: JST

Tugas sukar sedang menanti skuad Tok Gajah

Sementara itu, ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mahu anak buahnya berhati-hati dengan corak taktikal yang bakal digunakan oleh skuad Harimau Selatan pada perlawanan malam ini.

“Bertandang ke gelanggang mereka (JDT), sudah pasti menjadi cabaran yang sangat besar kepada kami. Saya sudah maklum kepada semua pemain supaya memberikan fokus sepenuhnya dan bermain dengan penuh bersemangat.

“Kunjungan ke Larkin adalah tugas berat dan memandangkan kita ketinggalan lima mata, sudah tentu kita mahukan kemenangan selepas sekadar seri 1-1 pada pusingan pertama Liga Super sebelum ini.

“Saya harap kemenangan ke atas TFC Jumaat lalu menjadi pencetus semangat kepada pemain menunjukkan prestasi konsisten mereka,” katanya dalam Harian Metro.

Skuad Tok Gajah dijangka akan menurunkan barisan terkuat selepas kembalinya pemain tengah pasukan itu, Safuwan Baharuddin yang tidak beraksi pada perlawanan menentang JDT di Kuantan.

Kesebelasan utama Pahang ketika menentang PKNS FC. FOTO: Pahang FA

Pemain tumpuan

Diogo Luis Santos (JDT)
Beliau bukanlah seorang pemain yang mudah untuk dikawal apabila berada dalam kotak penalti dan mampu memberi masalah kepada benteng pertahanan Pahang yang diterajui oleh Muslim Ahmad dan Herold Goulon. Bekas penyerang Buriram United ini telah menjaringkan 7 gol dalam saingan Liga Super setakat ini dan mampu menghukum kelekaan pemain lawan. Kemampuannya menyudahkan beberapa peluang di depan pintu gol bergantung kepada kebijaksanaan Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid mengaturkan gerakan ke kubu lawan.

Dickson Nwakaeme (Pahang)
Setelah tidak beraksi dalam dua perlawanan Liga Super minggu lalu akibat kecederaan, ayam tambatan Pahang, Dickson Nwakaeme kini sudah pulih sepenuhnya dan dijangka berada dalam kesebelasan utama malam ini untuk menguji benteng pertahanan JDT. Kelincahan Nwakaeme pasti ditagih oleh Dollah Salleh setelah menjaringkan dua gol ketika menentang Terengganu FC beberapa hari lepas. Kelebihan fizikal yang ada padanya mampu memberi masalah kepada mana-mana pemain pertahanan lawan.

FOTO: Pahang FA

Rekod pertemuan

Berdasarkan rekod pertemuan, skuad Harimau Selatan memiliki kelebihan berbanding skuad Tok Gajah. Daripada 13 pertemuan terakhir sejak tahun 2013, JDT memenangi lapan aksi, seri tiga sementara Pahang hanya memenangi dua perlawanan.

Bagaimanapun, JDT memiliki rekod kebal di halaman sendiri dan masih belum tewas sejak tahun 2013. Pahang juga pernah menewaskan JDT di Larkin pada musim lepas ketika dalam saingan Piala FA.

29 September 2018:
Johor DT 2-0 Pahang (Piala Malaysia)

23 September 2018:
Pahang 1-1 Johor DT (Piala Malaysia)

12 Jun 2018:
Pahang 1-2 Johor DT (Liga Super)

8 Jun 2018:
Johor DT 1-0 Pahang (Liga Super)

20 April 2018:
Johor DT 0-3 Pahang (Piala FA)

Ramalan Semuanya BOLA

Kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan masing-masing namun pencaturan jurulatih akan menjadi penentu kepada keputusan perlawanan tersebut.

Di atas kertas, kelebihan jelas memihak kepada pasukan JDT kerana mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri disamping memiliki rekod kebal di Stadium Larkin.

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.

Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.

Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.

Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan sedutan perlawanan minggu-minggu sebelumnya. Teruskan setia bersama kami di Semuanya BOLA!