Pertembungan derbi lembah klang di antara Kuala Lumpur menentang Selangor malam ini sangat menarik kerana ia bakal menentukan hala tuju pasukan mereka yang masih bergelut untuk meraih kemenangan pertama musim ini.
Perlawanan ini juga akan menentukan nasib pengendali Kuala Lumpur, Yusri Che Lah yang berada dalam bahaya tatkala Selangor mengambil langkah untuk mengekalkan khidmat B. Satiananthan sebagai ketua jurulatih sehingga akhir musim tanpa mengira keputusan perlawanan malam ini.
Kuala Lumpur tekad hapuskan rekod tanpa menang
Selepas 4 perlawanan Liga Super, skuad warga kota masih gagal mencatat sebarang kemenangan dan kini menghuni kedudukan tercorot dalam carta liga super.
Walaupun masih mempunyai baki satu perlawanan menentang Perak yang ditangguhkan, kedudukan mereka tetap berada dalam bahaya dan berpeluang tersingkir ke saingan Liga Premier 2020 jika mengekalkan rekod tanpa menang dalam 6 perlawanan Liga Super berturut-turut.
Pengendali skuad itu, Yusri Che Lah minggu lepas membayangkan akan mempertaruhkan gandingan dua penyerang import, Guilherme De Paula dan Sylvano Comvalius untuk merobek gawang gol Selangor yang dikawal oleh Khairul Azhan. Kedua-dua penyerang tersebut memegang status sebagai bekas penjaring terbanyak Liga Malaysia dan Liga Indonesia.
Namun begitu, mereka perlu segera memperbaiki benteng pertahanan yang setakat ini telah bolos 10 gol dan memikirkan cara untuk merantai kemaraan penyerang berbisa Selangor, Rufino Segovia jika mahu meraih kemenangan pertama musim ini.
Buat masa ini, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) masih memberi kepercayaan kepada Yusri walaupun ada khabar angin yang mengatakan aksi menentang Selangor, malam ini sebagai peluang terakhir buat pengendali kelahiran Perlis berkenaan.
Ironinya, aksi getir itu melibatkan jurulatih yang pernah membimbingnya ketika bersama skuad kebangsaan suatu ketika dulu.
Selangor mahu perbaiki kedudukan Liga Super
Selepas mengharungi 5 perlawanan Liga Super, skuad gergasi merah hanya mampu meraih 3 mata hasil daripada 3 keputusan seri dan 2 kekalahan. Prestasi tersebut mengundang pelbagai kritikan dan kecaman daripada penyokong mereka sendiri.
Berada dalam kedudukan ketiga tercorot Liga Super bukanlah gambaran sebenar terhadap transformasi skuad itu selepas diambil alih oleh pengurusan baharu.
Justeru itu, pengendali Selangor, Satiananthan menuntut anak buahnya segera bangkit raih kemenangan pertama musim ini untuk mengembalikan semula keyakinan penyokong setia mereka.
Seperti Kuala Lumpur, Selangor juga mempunyai rekod buruk di bahagian pertahanan apabila bolos 11 gol selepas 5 perlawanan dan merupakan pasukan kedua Liga Super paling banyak bolos musim ini. Kelemahan itu perlu diatasi dengan segera jika mahu terus mencabar kelompok teratas Liga Super.
Rekod pertemuan
Berdasarkan rekod, Kuala Lumpur hanya menang sekali dalam 5 pertemuan mereka dengan Selangor dalam semua pertandingan. Selangor telah menjaringkan 9 gol sepanjang 5 pertemuan tersebut.
15 Julai 2018:
Selangor 3-3 Kuala Lumpur (Liga Super)
21 April 2018:
Selangor 0-3 Kuala Lumpur (Piala FA)
7 April 2018:
Kuala Lumpur 0-3 Selangor (Piala FA)
4 Februari 2018:
Kuala Lumpur 0-2 Selangor (Liga Super)
20 Ogos 2016:
Kuala Lumpur 1-1 Selangor (Piala Malaysia)
Taktikal pasukan
Yusri Che Lah dijangka akan mengekalkan formasi 4-3-3 dengan Sylvano Comvalius kembali memperkuatkan jentera serangan berganding dengan Guilherme De Paula dan Indra Putra Mahayuddin.
Dalam perlawanan ini, kebijaksanaan Ryutaro Karube dan Paulo Josue di bahagian tengah sangat ditagih bagi membantu bahagian serangan Kuala Lumpur menguji benteng pertahanan Selangor.
Pengalaman beraksi dalam skuad kebangsaan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Irfan Zakaria dan Luke Woodland untuk mengekang kemaraan jentera serangan Selangor yang dilihat lebih gemar menyerang melalui sayap kanan dan kiri.
Satiananthan juga seperti biasa akan menggunakan Rufino Segovia sebagai ‘target man’ dengan formasi 4-2-3-1 sambil dibantu oleh Sandro Mendonca yang membuat penampilan pertama ketika aksi menentang JDT minggu lalu. Bahagian tengah Selangor akan ditugaskan untuk ‘menghantar’ bola kepada Rufino Segovia.
Meskipun prestasi benteng pertahanan Selangor dikritik hebat oleh penyokong mereka, Satia tetap akan mengekalkan barisan yang sama diketuai oleh Taylor Regan dan Michal Nguyen manakala Syahmi Safari dan Nurridzuan mengawal pertahanan kanan dan kiri.
Ramalan Semuanya BOLA
Setiap kali bercerita tentang perlawanan derbi, sudah pastinya ianya akan menjadi sengit dan perlawanan akan berlangsung dalam suasana yang penuh kontroversi sepanjang 90 minit.
Di media sosial pula dipenuhi dengan banter antara penyokong. Itulah yang mejadikan derbi sebagai satu perkara yang ada kepuasan tersendiri dalam bola sepak.
Untuk perlawanan malam ini, penulis meramalkan pasukan yang menjaringkan lebih banyak gol akan muncul sebagai pemenang kerana dua-dua pasukan ini mempunyai rekod buruk di bahagian pertahanan musim ini.
#FMONIFLIX
Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.
Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan sedutan perlawanan minggu-minggu sebelumnya. Teruskan setia bersama kami di Semuanya BOLA!