Quantcast

LIGA MALAYSIA

Previu MSL 2019: Adakah Perak Mampu Leburkan Rentetan 37 Perlawanan Tanpa Kalah JDT?

Perak pernah melakukannya pada musim 2017 apabila meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam 25 perlawanan. Adakah kali ini, sekali lagi mereka mampu melakukannya?

Harimau Selatan sudah mengesahkan gelaran juara Liga Super Malaysia (MSL) 2019 pada minggu lalu. Tiada lagi tekanan buat mereka menuju ke Ipoh untuk perlawanan minggu ini.

Dengan gelaran juara sudah dimiliki JDT, kini tumpuan akan beralih kepada persaingan untuk merebut kedudukan naib juara liga yang dilihat masih mampu direbut oleh hampir 6 pasukan.

Perak termasuk dalam perebutan ini dan pastinya mereka mahu mengekalkan status pasukan kedua terkuat sebagaimana musim lalu yang menyaksikan mereka berjaya menduduki posisi kedua, dipisahkan hanya 1 mata dengan PKNS FC di kedudukan ke-3.

Perak mampu lebur rekod tanpa kalah JDT?

Mara ke pentas final Piala FA menjadikan The Bos Gaurus sangat bermotivasi apatah lagi beraksi di laman sendiri menentang sang juara. Begitupun, berdepan dengan jadual padat iaitu beraksi dalam dua pertandingan memungkinkan Perak kepenatan.

FOTO: Perak TBG

Dengan Mehmed Durakovic diketahui sukar mengubah senarai kesebelasan utamanya, pasti ada dikalangan pemainnya sudah mula berdepan isu kecergasan. Dalam aksi separuh akhir Piala FA tempohari, mereka juga kehilangan khidmat 3 pemain.

Pada Februari 2017, Perak meleburkan rekod 25 perlawanan tanpa kalah JDT dan kini seakan-akan peluang itu tiba lagi apabila Harimau Selatan juga masih gah dengan rekod tanpa kalah. Adakah Perak mampu mengulanginya?

Rentetan 37 perlawanan tanpa kalah JDT

Kali terakhir JDT tewas adalah pada Februari tahun lalu, apabila tunduk mengejut kepada Kuala Lumpur 0-1 dalam perlawanan ketiga liga di halaman lawan hasil jaringan Paulo Josue. Kemudian, JDT melalui 37 perlawanan liga tanpa sebarang kekalahan.

JDT pastinya mahu menjuarai liga tanpa nota kekalahan dan dengan berbaki 4 perlawanan, ia mampu direalisasikan jika mereka kekal fokus dengan misi untuk mengulangai pencapaian seperti pada musim 2016 – juara liga tanpa sebarang kekalahan.

Tanpa Gonzalo Cabrera yang digantung perlawanan dan kejuaraan liga sudah berada di tangan, Luciano Figueroa dijangkakan akan merehatkan beberapa pemainnya namun berdepan musuh ketat ini, mustahil untuk berlaku perubahan besar buat mereka.

Gambar: Rizanizam/Asiana

Brendan Gan & Akhyar Rashid

Brendan Gan adalah pemain yang senantiasa tiba di saat The Bos Gaurus sangat-sangat menantikan dan memerlukan seorang hero sebagaimana yang berlaku pada pentas final Piala Malaysia musim lalu dan juga dalam aksi separuh akhir Piala FA baru-baru ini.

Berdepan musuh sukar seperti JDT, pemain seperti Brendan Gan mampu melakukan magisnya sekali lagi bagi membantu Perak mencalarkan rekod baik JDT musim ini. Dan jangan dilupakan kemampuan pemain seperti J. Partiban, Firdaus Saiyadi dan Careca.

Sementara itu di kem Harimau Selatan, ketiadaan Gonzalo Cabrera sudah pasti akan membuka ruang buat Akhyar Rashid tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan dan semua tahu bagaimana keserasiannya bersama seorang lagi pemain muda, Safawi Rasid.

Benteng Perak masih perlu berjaga-jaga dengan impak yang bakal dibawa oleh pemain ligat seperti Akhyar Rashid biarpun mereka pastinya lega apabila lawan tidak boleh membawa peledak 9 gol JDT itu. Ketiadaan Gonzalo Cabrera bukan masalah buat JDT.

Akhyar Rashid

FOTO: Johor Southern Tigers

Sebelum sepak mula

Perak dan JDT, masing-masing ada misi mereka yang tersendiri dan pasti tiada yang mahu kalah dalam pertembungan ini. Aksi pertama mereka di Larkin pada Februari lalu berakhir dengan kemenangan tipis 1-0 kepada JDT hasil jaringan Gonzalo Cabrera.

The Bos Gaurus berpeluang memintas Pahang dan Selangor jika kedua-dua pasukan gagal meraih sebarang mata pada malam ini namun kedua-duanya berdepan dua pasukan tercorot liga. Adakah Perak akan beralih ke kedudukan ketiga di belakang Kedah?

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.

Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun. Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.

Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!