Previu MSL 2018: Ramon Marcote Sandang Tugas Berat, Jadikan Kedah Pesaing Dominan

Jika cabaran Kedah yang diperkatakan, sukar untuk kita tidak mengaitkan dengan kehadiran Ramon Marcote sebagai pengendali skuad Lang Merah pada musim hadapan.

Sebelum itu, mari kita singkap pencapaian mereka pada musim lalu. Kedah bermula dengan agak baik apabila menjulang Piala Sumbangsih di Larkin, menewaskan JDT melalui penentuan sepakan penalti.

Momentum kejayaan kemudiannya diteruskan di saingan Piala FA, apabila skuad Lang Merah menewaskan Pahang di aksi final. Kemudiannya di saingan Piala Malaysia, Kedah di bawah bimbingan Nidzam Adzha Yusof, tewas kepada JDT di aksi akhir.

Namun gambaran keseluruhan prestasi Kedah boleh dirumuskan di aksi saingan Liga Super.

Bermula sebagai pencabar utama untuk memecahkan dominasi JDT, prestasi Kedah sedikit merosot di akhir saingan, sehingga terpaksa berpuas hati untuk menduduki tangga ke-4 MSL 2017.

Secara keseluruhan, Kedah adalah salah satu pasukan yang konsisten di dalam memberi cabaran di saingan Liga Malaysia. Tetapi cukup dominankah mereka untuk mencabar pencapaian seperti JDT?

Marcote galas harapan penyokong

Ramon Marcote bukanlah watak asing bagi penyokong dan pasukan Kedah. Beliau pernah berkhidmat bersama pasukan di utara tanah air tersebut bersama-sama dengan Tan Cheng Hoe, sebagai jurulatih kecergasan.

Bersama-sama coach Tan yang kini merupakan pengendali skuad senior Harimau Malaya, Marcote membina pasukan Kedah dengan corak permainan bola sepak yang menghiburkan berasaskan penguasaan bola dan hantaran-hantaran pendek.

Selepas Tan Cheng Hoe dilantik sebagai pengendali skuad negara pada tahun lalu, prestasi skuad Kedah mulai kurang konsisten, dan kini Marcote kembali ke Kedah untuk bergandingan dengan Nidzam Adzha untuk mengembalikan sentuhan taktikal yang didambakan penyokong.

Marcote sedang mengendalikan sesi latihan Kedah. Foto: Facebook KFA

Barisan import baharu

Musim lalu Kedah dibarisi oleh Ken Ilso Larsen (penyerang), Sandro da Silva Mendonca (tengah menyerang), Liridon Krasniqi (tengah bertahan), dan juga Zac Anderson (pertahanan tengah).

Untuk saingan Liga Malaysia 2018, hanya Sandro dan Liridon dikekalkan dan sehingga kini dua muka baru telah tiba untuk bersama menggalas cabaran Kedah menjelang sepak mula Liga Super 2018 pada Februari akan datang.

Untuk slot Asia, Kedah menyandarkan harapan kepada bekas pemain Malaga yang pernah beraksi di La Liga, Alvaro Silva di bahagian pertahanan.

Manakala seorang lagi awang import ialah bekas pemain kelab Ponferradina dalam Segunda Division B Sepanyol, Pablo Pallares.

Berdasarkan pemain import yang dibawa oleh Marcote untuk menggalas cabaran Kedah pada musim akan datang, jelas percaturan pengendali kelahiran Sepanyol itu untuk pasukan kendaliannya ialah berasaskan ‘ball possession’ (penguasaan bola) dan falsafah corak permainan Sepanyol.

Ini adalah bagi memastikan skuad 2018 mampu meningkatkan lagi corak serangan pantas yang diperlukan Kedah berdasarkan persaingan yang kian sengit dalam menghadapi saingan musim baharu.

Isu pertahanan dan ‘zonal marking’ yang rapuh

Berdasarkan prestasi pada musim lalu, Kedah mempunyai isu yang jelas di bahagian pertahanan. Kekalahan 4-2 di tangan Sarawak dalam saingan Liga Super di Kuching mendedahkan kepincangan yang ketara di bahagian itu.

Kedah dijangka mengekalkan barisan pemain pertahanan seperti Rizal Ghazali, Syazwan Tajudin, dan Khairul Helmi sebagai tunjang di bahagian pertahanan.

Kemasukan Alvaro Silva diharap mampu membantu Marcote untuk memperkemaskan bahagian pertahanan pada musim akan datang.

Manakala di posisi penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal dijangka akan terus diberikan kepercayaan sebagai penjaga gol utama pasukan.

Kepentingan Liridon dan serangan Kedah 

Tanpa menafikan sumbangan pemain lain, kita tidak boleh menafikan kejayaan pasukan Kedah sejak beberapa musim kebelakangan ini, adalah kerana sumbangan pemain import berdarah Kosovo-Albania, Liridon Krasniqi.

Selain daripada kemampuan melakukan pintasan untuk menghalang serangan lawan, Liridon merupakan fokal permulaan serangan Kedah, sering kali bergandingan dengan Amirul Hisyam membentuk gandingan pivot berkembar.

Ketika berada di fasa serangan, pemain ini juga mempunyai kelebihan teknikal yang baik untuk membawa bola ke hadapan, bertukar-tukar hantaran dengan Syazwan Zaino, Baddrol Bakhtiar dan juga Silva Mendonca untuk mengancam kubu lawan.

Kekuatan fizikal dan ketinggian yang dimiliki juga merupakan aset Liridon untuk membantu serangan dan juga bahagian pertahanan ketika memerlukan.

Sekiranya Pablo Pallares mampu beraksi dan menghasilkan jumlah jaringan yang sama atau lebih baik, seperti mana yang dilakukan oleh pemain import terdahulu iaitu Ken Ilso, maka Kedah memiliki jentera penggempur yang sangat berbahaya pada musim hadapan.

Pembangunan bakat muda sejajar kejayaan di atas padang

Satu perkara yang menarik mengenai pasukan Kedah ialah keupayaan mereka untuk menghasilkan barisan pemain muda untuk masa hadapan.

Ifwat Akmal (20 tahun), Farhan Roslan (20 tahun), Ariff Farhan (20 tahun) adalah contoh pemain muda yang mula memberikan impak pada musim lalu.

Begitu juga dengan nama-nama lain di dalam skuad Piala Presiden dan Piala Belia yang lain seperti Akhyar Rashid yang beraksi cemerlang setakat ini bersama skuad B-23 negara di kejohanan AFC B23 di China.

Nama-nama lain seperti Muhamad Kamil Akmal, Muhammad Zhafir, Muhammad Fikhri dan Mohamad Hidhir yang beraksi cemerlang sepanjang jelajah Pra Musim dalam kejohanan Piala Super Suramadu 2018, wajar diberi perhatian.

Cabaran Roman Marcote sebenarnya bukan sekadar untuk mengubah taktikal pasukan Kedah semata-mata agar kompetitif di saingan musim hadapan.

Lebih daripada itu ialah bagaimana untuk beliau memberi peluang kepada bakat muda di Kedah untuk diketengahkan agar mampu menjadi tunjang kepada pasukan di masa hadapan.

Rumusan

Musim 2018 adalah musim yang menarik bagi pasukan Kedah. Jika mereka berjaya mengatasi beberapa isu pada musim lalu; baik di luar dan di dalam padang, maka Kedah mempunyai potensi untuk bersaing secara dominan di kancah Liga Malaysia.

Setakat ini semua perancangan tampak berada di landasan yang tepat bagi mereka.

Selain daripada berjaya mendapatkan jurulatih yang dipercayai mampu memacu pasukan ke hadapan, Kedah turut berjaya mengekalkan pemain import Liridon Krasniqi, membawa masuk 2 pemain import yang menepati profil pasukan, serta barisan masa hadapan yang berpotensi.

Buat pasukan Kedah, kami di Semuanya BOLA mengucapkan selamat maju jaya untuk saingan Liga Malaysia 2018!

Nota editor: Kredit bagi foto adalah hak milik Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), selain dinyatakan sebaliknya.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN