Previu MSL 2018: ‘King’ Gobal Kumpul Laskar Semut Merah, Sasar Takluk Lembah Klang

Jika derbi Lembah Klang yang dibicarakan, sudah pasti pemikiran kita secara tidak langsung akan memperkatakan perlawanan membabitkan Kuala Lumpur dan Selangor, yang pernah menghangatkan kancah saingan Liga Malaysia pada satu masa dahulu.

Musim Liga Malaysia 2018 bukan sahaja menyaksikan kembalinya Kuala Lumpur untuk memburu status ‘ Raja Lembah Klang’, selain menghadirkan impak di saingan Liga Super.

PKNS FC turut kelihatan tampil lebih bersedia untuk memberi saingan serius kepada dua pasukan utama yang berpengkalan di Lembah Klang pada musim ini.

Sekilas musim lalu

Musim lalu adalah musim pertama PKNS FC beraksi di saingan Liga Super setelah mendominasi 100Plus Liga Premier pada musim sebelumnya bersama Melaka United.

Pasukan ini hadir dengan status under dog dengan cita-cita besar. Mereka mahu membuktikan kenapa mereka perlu lebih dihormati terutama di Lembah Klang.

Namun demikian semuanya tidak menjadi buat skuad yang dikenali sebagai ‘Red Ants’ ini apabila merehatkan Ketua Jurulatih, E. Elavarasan pada 6 Julai lalu, sebelum digantikan dengan Sven Gartung, yang merupakan jurulatih akademi Merah Kuning.

Khidmat Sven Gartung kemudiannya tidak dikekalkan dan meninggalkan kem PKNS pada penghujung November lalu.

Musim lalu, PKNS FC menamatkan saingan Liga Super 2017 di kedudukan ke-7, dan terkandas awal di pusingan awal pertandingan PIala FA dan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Persiapan awal

Langkah pertama PKNS FC bagi menghadapi saingan pada musim ini ialah dengan mengumumkan perlantikan Datuk K. Rajagopal sebagai pengendali skuad Semut Merah.

19 muka lama digugurkan termasuk 4 pemain import pada musim sebelumnya digugurkan bermakna PKNS FC mahu lebih serius untuk menghadapi saingan pada musim ini.

Bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2018, PKNS FC telah memikat penyerang skuad negara B23 tahun, Jafri Firdaus Chew dari Pulau Pinang.

Begitu juga dengan beberapa pemain berpengalaman yang lain seperti Qayyum Marjoni (Kelantan), Nurridzuan Abu Hassan (Pahang), K. Reuben (Penang), Faizat Ghazli (Penang), dan juga Zarif Irfan (Selangor).

Salah satu bahagian yang sering memberi masalah bagi PKNS FC pada musim lalu ialah konsistensi aksi penjaga gol. Untuk rekod, PKNS FC adalah pasukan ketiga tertinggi yang mempunyai bolos terbanyak di saingan Liga Super 2017, walaupun mengakhiri musim di tangga ke-7.

Untuk itu, K. Rajagopal tidak membuang masa pantas menyambar Shahril Saa’ri dari Sarawak yang menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara sepanjang beberapa musim bersama Sarawak.

Barisan pemain import

Untuk menguatkan cabaran, setakat ini K. Rajagopal turut telah memilih 4 pemain asing untuk membawa saingan PKNS FC pada musim hadapan.

Bagi slot ASEAN, Rajagopal telah memikat pemain sayap skuad kebangsaan Singapura, Faris Ramli. Pemain berusia 25 tahun ini telah tampil di dalam 37 perlawanan dan telah menjaringkan 5 gol di peringkat antarabangsa untuk Singapura setakat ini.

Selain daripada Faris, seorang lagi pemain tengah ialah Romel Morales dari Colombia, dan dibawa masuk melalui kelab Banfield di Argentina. Morales adalah seorang pemain tengah menyerang dan juga merupakan anggota skuad B-20 Colombia.

Seorang lagi pemain Argentina di dalam skuad Rajagopal bagi menghadapi saingan pada musim hadapan ialah pemain tengah, Jonathan Acosta.


Manakala kejayaan PKNS FC memikat bekas pemain pertahanan Kedah pada musim lalu, Zac Anderson turut mengejutkan ramai pihak, namun ia adalah isyarat jelas PKNS FC mulai mengumpul barisan pemain yang berupaya memberi saingan kompetitif pada musim hadapan.

Berdasarkan situasi semasa, PKNS FC dijangka akan membawa masuk seorang penyerang import dalam masa terdekat sebelum sepak mula Liga Malaysia Februari hadapan.

Sasaran Liga Malaysia 2018

Pencapaian terbaik PKNS FC di kancah bola sepak Malaysia hadir pada 2016, apabila mereka berjaya layak ke perlawanan akhir Piala FA pada musim tersebut walaupun pernah bergelar juara Liga Premier pada 2011.

Namun demikian mereka dikecewakan oleh kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim dengan jaringan 2-1 dalam perlawanan tersebut, walaupun terlebih dahulu mendahului lawan.

Kudrat penyerang veteran seperti Safee Sali turut masih menjadi taruhan.

Setelah gagal pada musim lalu, PKNS FC pada musim ini berhasrat untuk memenangi salah satu piala yang dipertandingkan di peringkat domestik, dan mengakhiri saingan liga minima di kedudukan ke-5.

“Saya rasa kebanyakan pasukan akan meletakkan sasaran sama iaitu satu piala dan lima teratas liga.

“Tahun lalu kami sekadar mengakhiri saingan ketujuh dan tidak meraih sebarang piala, jadi diharapkan dengan beberapa rombakan sasaran ini dapat dicapai,” ujar Mahfizul Rusydin Abdul Rashid yang merupakan pengurus kepada PKNS FC.

Kredit: PKNS FC, Facebook.

Ketua Jurulatih, K. Rajagopal turut senada dan turut memberi kenyataan yang sama di majlis perlantikan beliau pada November lalu sebagai pengendali PKNS FC.

“Ini masa yang sesuai untuk saya kembali berbakti kepada bekas majikan dan tanpa berfikir panjang, saya bersetuju menerima tawaran menjadi jurulatih pasukan ini yang pernah saya bimbing (dari 1990-1998)”.

“Kita kena bersikap realistik kerana berada pada kedudukan ketujuh Liga Super musim ini, jadi saya mahu lebih baik daripada itu dan kalau boleh, kita beri saingan lebih sengit supaya lebih dihormati pihak lawan,” jelasnya.

Rumusan

Dari segi barisan pemain, kita harus akui Datuk K. Rajagopal telah mengumpul skuad yang ampuh pada musim ini. Pihak pengurusan juga menggariskan sasaran yang realistik serta wajar.

Mampukah PKNS FC bangkit menjadi pasukan terbaik daripada Lembah Klang pada musim ini?

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN