Previu MSL 2017: Selangor Bakal Alami Musim Sukar?

Previu MSL 2017 kali ini kami menumpukan kepada juara 2 kali Liga Super – Selangor

Dalam setiap pra musim, sesebuah pasukan sudah pasti akan memiliki skuad bayangan yang akan beraksi pada musim hadapan. Jika tidak ada skuad bayangan pada baki kurang 2 bulan saingan, maknanya pasukan dalam masalah.

SOS Selangor

Selangor memang dalam kecemasan. Segalanya mulai nampak kritikal setelah FAS mencadangkan agar 2 pasukan iaitu Selangor FA dan PKNS FC digabungkan sebagai satu pasukan.

Alasannya, untuk membesarkan pasukan dan mengurangkan kos operasi. Ramai penyokong membantah idea karut ini kerana PKNS FC bukan kelab yang dicipta semalam, ia adalah kelab yang sudah bertapak di Malaysia berdeka-dekad lamanya.

PKNS antara pembekal bakat luar biasa, bukan sahaja kepada Selangor malah kepada Malaysia. Isu yang berlarutan ini seakan-akan tidak berjaya.

Pada 20 Disember 2015, jawatankuasa pengurusan tertinggi FAS melalui Timbalan Presiden, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad mengumumkan mereka kemungkinan besar akan menarik diri jika gagal mendapatkan dana RM15 juta untuk menampun kos operasi pasukan.

Jumlah yang sama dinyatakan oleh KAFA dalam sidang media dengan motif yang sama, cuma bezanya, KAFA tidak memakai blaus yang menggambarkan mereka orang kaya.

Kenapa tidak ada dana?

1. Penyokong

Selangor antara pasukan yang memiliki fan base yang sangat besar. Lembah Klang adalah kawasan yang memiliki kepadatan penduduk yang paling tinggi di Malaysia.

Tapi sebelum ini pihak pengurusan gagal untuk menjadikan penyokong sebagai sebahagian daripada kelab. Penyokong yang datang ke stadium atas nama orang Selangor.

Semangat pemilikan bersama untuk pasukan ini boleh dikatakan atas dasar tanggungjawab sosial. Aku orang Selangor, jadi ini pasukan bola sepak aku.

Di Selatan tanah air, mereka mencuba sedaya upaya menjadikan nama pasukan mereka sebagai jenama untuk penyokong mereka.

Di Selangor, pihak pengurusan hanya tahu menyeru penyokong datang ke stadium bila hari perlawanan. Mana aktiviti sosial ataupun riadah dengan penyokong?

Mana program ala propaganda menaikkan semangat penyokong agar berbangga dengan pasukan Selangor?

FAS ego dan menganggap mereka adalah satu institusi yang penyokong akan datang kepada pasukan Selangor. Sepatutnya dalam bola sepak ia adalah dua hala.

Penyokong adalah rakan kongsi no.1 dalam bola sepak. Sebab itu penyokong bukan ‘customers’ mereka adalah klien. Customers dia membeli barang dan membandingkan nilai barang dengan harga tiket.

Ok, aku bayar RM10.00, main teruk, aku tidak boleh kritik. Tapi kalau rakan kongsi, mereka akan ada hak bersuara walaupun perlaburan mereka hanya RM10.00. Layanan ke atas rakan kongsi berbeza dengan layanan ke atas pelanggan.

2. Penaja

Selangor adalah negeri yang menjadi pusat kepada perdagangan domestik dan antarabangsa. Apabila bercerita tentang kegagalan mencari penaja, ia adalah sesuatu yang kritikal, sebab ia Selangor bukan Sabah, Sarawak ataupun Perlis.

Di Semuanya BOLA, kami pernah mendengar perkongsian daripada rakan kami bagaimana dia menguruskan isu partnership dengan kelab-kelab EPL.

Beliau menceritakan pengalaman beliau bertemu dengan pihak Manchester United. Dalam perkongsian tersebut, dia menceritakan bagaimana kelab sebesar Manchester United melayan setiap rakan kongsi mereka yang berpotensi untuk menjadi penaja mereka.

Di Manchester United, mereka melayan setiap bakal rakan kongsi mereka dengan dengan layanan kelas pertama. Mereka memberikan layanan yang cukup mantap kepada bakal rakan kongsi mereka seawal di hotel penginapan lagi hinggalah ke mesyuarat di pejabat kelab.

Mereka membuat bakal rakan kongsi mereka berasa dekat dengan kelab Manchester United itu sendiri. Dengan cara begini, bakal rakan kongsi tersebut akan berasa kehadiran mereka diterima oleh pihak kelab kerana sudah dilayan seperti sebahagian dari kelab Manchester United itu sendiri.

Adakah cara ini dilakukan oleh FAS untuk menarik minat penaja-penaja untuk menaja pasukan Selangor?

Menurut setiausaha agung FAS Rosman Ibrahim, FAS kini sedang berunding dengan 8 pihak yang berpotensi untuk menaja pasukan Selangor musim ini.

Kami berharap pihak FAS dapat menggunakan cara seperti Manchester United lakukan untuk menawan hati sebanyak mungkin penaja untuk menaja pasukan Selangor.

Prospek 2017

Sejak musim lalu ketika K. Gunalan mengambil alih pasukan, beliau telah memberikan peluang kepada beberapa pemain dari skuad Piala Presiden untuk beraksi bersama dengan skuad senior.

K. Kannan dan Faizzudin Abidin merupakan antara nama-nama dari skuad Piala Presiden yang diberikan peluang untuk beraksi dengan skuad senior.

Kami boleh katakan Selangor berpijak pada bumi yang nyata menjelang musim 2017.

Mereka sedar mereka tiada bajet yang besar, jadi mereka mengalihkan pandangan mereka ke skuad Piala Presiden memandangkan Selangor merupakan antara pasukan yang sering melahirkan pemain muda berpotensi tinggi.

Namun kami berharap Selangor tidak terlalu meletakkan skuad yang terlalu muda dan kurang berpengalaman.

Hal ini kerana ia boleh menyebabkan skuad Selangor akan menghabiskan masa yang banyak hanya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan liga kerana lambakan pemain kurang berpengalaman di dalam skuad.

Kami meletakkan harapan yang tinggi kepada Adam Nor Azlin di dalam hal ini. Sebagai pemain paling senior dalam kalangan pemain muda, kami berharap beliau mampu bangkit dan menjadi pemain yang lebih lengkap berbanding musim sebelumnya.

Siapa sangka, Adam mungkin menjadi penyelesaian kepada kekurangan penyerang di negara kita di masa hadapan?

Kredit gambar: Selangor FA

Ramalan kami?

Untuk musim 2017, sasaran Selangor untuk sekadar mengatasi penyingkiran adalah realisitik jika diikutkan dengan keadaan pasukan yang melalui proses major transition.

Kami juga merasakan kedudukan pertengahan liga sekitar tangga ke-6 hingga ke-8 adalah realistik andai Selangor berjaya beraksi dengan baik tanpa sebarang masalah?

Perlukah Selangor mensasarkan piala musim ini? Jika untuk mendapatkan kembali moral pasukan dan keyakinan penyokong, adalah sesuai untuk Selangor mensasarkan kejuaraan di Piala FA Malaysia atau Piala Malaysia.

Semoga berjaya, Gergasi Merah!

Baca juga: Previu MSL 2017: Sarawak Lebih Realisitik Dan Beri Peluang Kepada Bakat Muda

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN