Kelantan Terus Bersaing
Pasukan Kelantan sah akan bersaing dalam Liga Malaysia musim hadapan setelah Tan Sri Annuar Musa menerusi Alhamra Group dan syarikat RedOne telah bersetuju untuk menjadi penaja utama pasukan Kelantan.
Antara perkara yang digariskan Tan Sri Annuar Musa adalah kembalinya warna merah sebagai warna utama pasukan. Ini merupakan sesuatu yang positif dan menggembirakan penyokong Kelantan selepas satu musim di-merahjambu-kan.
Agenda Seterusnya
KAFA dikatakan telah mengurangkan perbelanjaan pasukan sekitar 40% dan mereka menyatakan pasukan Kelantan adalah pasukan yang berbelanja paling rendah.
Namun Kelantan tetap dengan agenda pencarian pemain import. Sebelum itu, Tan Sri Annuar Musa memuat naik status di media sosial bahawa mereka tidak rela beraksi tanpa import.
Ianya kerana ia akan menjadikan pasukan mereka pasukan lemah. Status tersebut mendapat respon bercampur baur daripada peminat Kelantan.
Ramai yang merasakan Kelantan harus belajar daripada kegagalan pengurusan kewangan sebelum ini. Sebelum ini pasukan Kelantan berhadapan dengan krisis gaji pemain dan bekas jurulatih.
Kami berharap masalah itu dapat diselesaikan segera dan tidak berulang di masa yang akan datang.
Mereka harus fokus kepada usaha menjana pendapatan dari dari perlaburan pasukan terlebih dahulu. Pada masa yang sama, skuad Piala Presiden Kelantan ramai yang berbakat dan harus diberikan peluang.
Kepulangan Ghaddar?
Antara nama yang dicadangkan oleh Tan Sri Annuar Musa adalah Muhammad Ghaddar. Bekas pemain import yang ditamatkan kontrak oleh KAFA kerana alasan membawa anasir tidak sihat ke dalam pasukan mereka sebelum ini.
Pemain ini dikatakan ada masalah disiplin walaupun di dalam padang beliau menyumbangkan aksi yang konsisten.
Adakah pemain seperti Ghaddar akan memberikan output yang baik? Dan adakah relevan untuk menandatangani pemain 33 tahun ini?
Adakah ini salah satu langkah untuk memenangi hati penyokong kerana Ghaddar jelas pemain pilihan penyokong pada era kegemilangan Kelantan sebelum ini.
Dan realitinya pemain ini sekarang sudah 33 tahun. Ia seperti satu perjudian(gamble). Dalam era emas Kelantan sebelum ini, kualiti skuad Kelantan sangat baik.
Ia salah satu sebab Ghaddar cemerlang. Norshahrul berada dalam kemuncak prestasi ketika bergandingan dengan beliau.
Namun jika Ghaddar ditandatangani atas faktor gaji yang boleh ditanggung oleh KAFA, mungkin beliau pilihan tepat kerana sudah serba-serbi tahu tentang bola sepak Malaysia terutamanya Kelantan.
Prospek Musim 2017
Kami menjangkakan pasukan ini perlu membina satu pasukan berbanding dengan terlalu mencari bintang yang ‘mahal’ di pasaran luar.
Sebelum ini pasukan seperti Lions XII pernah menjuarai Liga Super dengan tenaga anak muda. Mereka hanya ditambah dengan beberapa pemain berpengalaman.
Ia bukanlah bermaksud, Kelantan boleh mensasarkan kejuaraan Liga Super sekaligus. Namun kisah Lions XII membuktikan pasukan yang kuat dengan taktikal yang jelas mampu memberikan pulangan yang baik.
Mereka pun tidak membentuk pasukan dalam masa semusim untuk berjaya.
Kami juga mengharapkan agar Kelantan mengurangkan transaksi terlalu kerap dalam slot pemain import. Sebelum ini, hampir setiap jendela perpindahan mereka menukar import.
Seterusnya adalah isu pertukaran jurulatih yang terlalu kerap dengan alasan gagal menepati KPI. Kelantan nampaknya pasukan yang ber-KPI terlalu tinggi.
Ia mempengaruhi stabiliti pasukan. Pada masa yang sama, ia melibatkan kos. Jadi. pilihlah pemain import yang anda tahu banyak tentang permainan mereka.
Jika ia melalui sistem trial, lakukan pemilihan dengan cermat. Lihat rekod kecergasan dan analisis aksi pemain tersebut berdasarkan beberapa faktor kunci yang penting.
Teruskan perjuanganmu The Red Warriors!
Baca juga: Previu MSL 2017 : Weigang Membentuk Skuad Perak Yang Lebih Matang Dan Seimbang!