Quantcast
Andres Escobar, Hidup Dan Mati Kerana Bola Sepak!
KAJIAN & FAKTA

Andres Escobar, Hidup Dan Mati Kerana Bola Sepak!

Monday, 9 Jan 2017

Bagi peminat bola sepak awal 90-an dan yang mengikuti Piala Dunia 1994, nama Andres Escobar terlalu dekat di hati mereka.

Beliau adalah pertahanan berbakat pasukan bola sepak kebangsaan Colombia yang dianggap sebagai antara generasi emas Colombia.

Pasukan yang memuatkan nama nama seperti Oscar Cordoba, Carlos Velderama, Alexis Mendoza, Anthony Avila, Faustino Asprilla, Mondragon, Rincon dan ramai lagi. Anda boleh rujuk senarai penuh mereka di sini.

Namun karier manis Andres Escobar berakhir dengan pembunuhan tragik. Kematian Andres Escobar dikaitkan dengan sindiket dadah yang kekalahan pertaruhan.

Misteri sama ada jaringan sendiri beliau itu disengajakan ataupun tidak turut berlegar di minda peminat. Namun Escobar yang dikenali sebagai Gentleman Of Football atau ‘El Caballero del Futbol’.

Hal ini menyebabkan sukar untuk mengaitkan jaringan sendiri itu adalah disengajakan. Ia lebih kepada nasib malang.

Piala Dunia 1994 USA

Ia adalah temasya yang serba moden. Colombia adalah calon pilihan untuk menjuarai Piala Dunia 1994. Ramai peminat bola sepak menganggap mereka cuma melengkapkan syarat untuk beraksi di peringkat kumpulan.

Sebelum itu mereka menang 5-0 ke atas ke atas Argentina yang dibarisi Maradona dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia di Buenos Aires.

Perlawanan pertama menentang Romania, mereka tewas mengejutkan mereka 3-1. Mana perginya istilah hanya pelengkap jadual yang dicanang?

Selepas kekalahan itu, adik kepada Fernando Herrera telah terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Colombia. Ia agak pelik, dan Herrera mahu balik ke Colombia.

Namun Escobar berjaya memujuk pemain itu untuk meneruskan perjuangan di USA.

Insiden Jaringan Sendiri vs. USA

Colombia turun dengan penuh tekanan selepas dikejutkan dalam perlawanan pertama.  Colombia dominan dan menguasai perlawanan.

Pada minit ke-35, menerusi satu serangan balas, John Harkes melakukan hantaran lintang kepada Earnie Stewart yang berada di dalam kawasan penalti.

Escobar cuba untuk memintas hantaran tersebut. Malangnya kaki kanan Escobar tertolak masuk ke dalam gol sendiri. Ia memberikan Amerika Syarikat gol pendahuluan.

Amerika Syarikat menang 2-1. Menurut kakak beliau, Maria Escobar:

“Pada ketika itu, anak saya yang berusia sembilan tahun berkata, ‘Mama, mereka akan bunuh Andres’.”

“Saya menjawab, tidak sayang, orang baik tidak akan dibunuh kerana kesilapan. Semua orang Colombia sayangkan Andres.”

Balik Awal!

Kekalahan di tangan Amerika Syarikat bermakna Colombia wajib menang ke atas Switzerland, dan berharap Romania kalah. Colombia menang 2-0 ke atas Switzerland.

Akan tetapi Romania juga turut menang ke atas Amerika Syarikat. Colombia pulang awal! Prestasi menghampakan Colombia dikatakan menjadi perhatian kartel dadah.

Banyak ancaman bunuh dibuat ke atas mereka sejak perlawanan pertama lagi. Jurulatih mereka, Francisco Maturana mengakui pernah diancam untuk tidak menurunkan Gabriel Gomez.

Jika tidak satu pasukan akan dibunuh selepas kekalahan kepada Romania.

Sindiket Perjudian Dan Kartel Dadah

Di Colombia pula terdapat sindiket pertaruhan besar besaran sama ada yang bertaruh Colombia menang atapun kalah. Mereka meletakkan pertaruhan yang sangat besar untuk pasukan kebangsaan mereka.

Satu kumpulan mengancam akan membunuh pemain Colombia jika berjaya mara ke peringkat kalah mati. Sebaliknya satu lagi kumpulan sindiket mengugut sebaliknya. Mara mati, terkandas pun mati.

Jurulatih Colombia menyatakan kem pasukan mereka sangat tertekan dengan ancaman-ancaman tersebut.

Kepulangan Tragis Escobar 

Andres Escobar kembali ke kampung halaman di Medellin, Colombia. Andres memang seorang yang ‘homesick’.

Keluarga dan rakan beliau sudah memberikan amaran agar beliau tidak balik ke kampung kerana ada ancaman bunuh.

Beliau tahu akan risiko itu, namun beliau yakin orang Medellin masih sayangkan beliau seperti biasa. Beliau juga dikatakan dalam proses untuk mengahwini tunang beliau Pamela Cascardo yang merupakan doktor gigi di Medellin.

Mereka sudah bercinta selama 5 tahun dan merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat. Andres Escobar turut bercadanag untuk membawa Pamela berpindah ke Itali selepas menerima tawaran daripada AC Milan.

Sebelum itu banyak kelab Eropah mahukan khidmat beliau namun Escobar memilih untuk tidak berjauhan daripada keluarganya. Sejak kecil lagi, dia kehilangan emaknya yang mengidap kanser.

Kakaknya, Maria Escobar memeberitahu, itulah sebab kenapa Andres serius dengan bola sepak. Ia adalah satu-satunya perkara yang membuatkan Andres melupakan seketika kesedihannya ke atas emaknya.

Andres seorang yang berdisiplin sama ada di sekolah mahupun di gelanggang bola sepak.

Tragedi El Indio

Pada malam pertama dia di kampung pada 2 Julai 1994, Escobar dan rakan-rakannya meluangkan masa bersama di kelab malam ‘El Indio.’

Ketika di sana, Escobar telah dibahan oleh adik beradik Gallon, iaitu anggota kartel dadah Colombia kerana untuk gol sendiri.

Escobar beredar meninggalkan bar dengan rakan-rakannya pada kira-kira 3 pagi. Tetapi mereka mengejar Escobar sehingga ke parkir keretanya. Andres Escobar berperang mulut dengan mereka

Escobar mempertahankan dirinya dari dicemuh dan berkata dia tidak bersalah. Insiden itu tidak disengajakan. Namun keadaan semakin panas dan Gallon mengarahkan pengawal peribadi mereka untuk menembak Escobar.

12 das tembakan kedengaran dalam beberapa saat. Andres Escobar ditembak mati di tempat duduk belakang keretanya.

Setiap tembakan diiringi dengan jeritan Gol! Gol! Gol! seolah-olah satu penghinaan terhadap insiden jaringan sendiri Escobar di Piala Dunia.

Tempat Escobar Ditembak

Kematian Escobar ini dilihat sebagai tindak balas oleh kaki judi yang kehilangan besar wang pertaruhan mereka untuk Colombia di Piala Dunia.

Walau bagaimanapun, seorang gangster Colombia yang terkenal dengan nama “Popeye” berkata kematian Escobar disebabkan oleh perbalahan di dalam pub dan tiada kaitan dengan pertaruhan.

Kontroversi Pengadilan Kematian Escobar

Motif di sebalik pembunuhan Escobar kekal misteri. 2 orang saksi memberikan nombor pendaftaran kereta pembunuh Escobar yang dikaitkan dengan kumpulan beradik Gallon.

Jhon Jairo Velasquez Vasquez, antara pegawai penguatkuasa yang bertugas menyiasat kes Pablo Escobar dalam dokumentari Escobar berkata:

“Saya pernah ditawarkan $3 juta  untuk memujuk pegawai pendakwa raya supaya memberi tumpuan siasatan kepada seorang pengawal peribadi mereka sahaja.”

Humberto Castro Munoz akhirnya mengaku membunuh Escobar. Dia dijatuhkan penjara 43 tahun penjara. Namun agak kontroversi apabila dia dibebaskan hanya selepas 11 tahun dipenjar kerana berkelakuan baik.

Nama adik beradik Gallon telah dibersihkan daripada kes ini. Ianya mengundang reaksi pelbagai pihak tentang intergriti pihak berkuasa dalam menyiasat dan menyelesaikan kes ini.

Ramai penyokong bola sepak menaikkan sepanduk setiap kali perlawanan bola sepak menuntut keadilan untuk Escobar.

Pada Copa America 2016, dalam perlawanan Colombia menentang USA, penyokong kedua-dua pasukan memperingati Andres Escobar.

Keluarga Escobar

Sehingga ke hari ini keluarga Escobar yakin kematian Andres Escobar kerana pertaruhan. Adik beradik Gallon adalah pemilik syarikat perjudian yang besar di Colombia.

Namun malangnya segala tuduhan ke atas mereka sudah ditutup oleh mahkamah.

Pasukan kebangsaan Colombia ketika itu berhadapan dengan kehancuran. Herrera berhadapan masalah depression. Asprilla dan Valderrama mengumumkan tidak mahu bermain dengan pasukan kebangsaan.

Ramai pemain lain turut menolak untuk bermain untuk Colombia selepas apa yang berlaku kepada Andres Escobar.

Escobar menjadi antara pemain yang paling diingati dalam sejarah Colombia. Tugu Andres Escobar dibina di Medellin.

Selepas peristiwa pembunuhan beliau, banyak tempat di Colombia melarang bar dan pub beroperasi lebih dari pukul 12 malam.

Ia antara kehilangan pemain berbakat besar dengan cara cukup tragis. Ia kekal dikenang sebagai peristiwa hitam dalam sejarah bola sepak dunia.

Kerana bola sepak Andres Escobar ‘hidup’ selepas kehilangan ibunya. Kerana bola sepak juga beliau pergi.

Baca juga: Mengenang Lagenda Gheorge Hagi, ‘Maradona’ Dari Carpathians

Topik Berkaitan

Kategori Artikel


Kongsi



Berita Bola Yang Menarik