Previu: Misi Hidup Mati Argentina, Croatia Menanti Dengan Penuh Ancaman

Argentina

Argentina bakal turun pada perlawanan kedua saingan kumpulan D dengan tekanan bagi mencari kemenangan sulung apabila akan menentang Croatia di Nizhny Novgorod Stadium awal pagi nanti.

Hal ini kerana pasukan yang akan ditemui skuad bimbingan Jorge Sampaoli itu bukanlah calang-calang pasukan.

Croatia kini menghuni tangga teratas selepas menumpaskan Nigeria 2-0 pada perlawanan pertama.

Argentina pula sekadar berpuas hati untuk terikat 1-1 menentang Iceland yang turut menyaksikan Lionel Messi gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-64.

Argentina gemar laluan berliku? 

Keputusan seri pada perlawanan pertama bukanlah satu situasi yang mampu membuatkan Sampaoli dan anak buahnya tersenyum tatkala Argentina dilabel sebagai antara pasukan pilihan pada edisi kali ini.

Skuad Argentina. Foto: gettyimages

Hanya kemenangan menentang Croatia pagi nanti dapat mencerahkan kembali peluang skuad Albiceleste untuk mengintai peluang mara ke pusingan seterusnya.

Laluan berliku dengan skuad Argentina bukanlah perkara asing kerana ketika kempen pusingan kelayakan untuk ke Rusia turut menyaksikan Argentina memerlukan sehingga perlawanan terakhir bagi mengesahkan slot ke Piala Dunia 2018.

Croatia yakin dengan kemampuan sendiri

Skuad yang dibarisi nama-nama besar dalam kancah bola sepak Eropah seperti Luka Modric, Mario Mandzukic, Matteo Kovacic, Ivan Rakitic dan Ivan Perisic itu mampu untuk memberikan kesukaran buat Argentina pagi nanti.

Tambahan pula, kemenangan sulung yang diraih bakal menjadi tonik berguna buat anak didik Zlatko Dalic dalam mempersiapkan jentera pasukan yang lebih ampuh.

Skuad Croatia. Foto: gettyimages

Pemain tengah Real Madrid, Matteo Kovacic turut melaungkan keyakinan menjelang pertemuan yang dijangka menarik itu.

”Kami tidak perlu terlalu takut bagi berhadapan dengan Argentina. Kami adalah lebih baik daripada mereka, kecuali Messi dan kami perlu berkelakuan baik dan melihat kepada diri sendiri, tidak kepada orang lain.”

Pemain tumpuan

Walaupun dikritik hebat kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti tempoh hari, Lionel Messi tetap menjadi pilihan sebagai pemain yang akan menonjol pada perlawanan ini..

Kerja keras yang ditunjukkannya pada perlawanan bertemu Iceland wajar dipuji.

Lionel Messi berjaya memperoleh tiga percubaan tepat ke arah pintu gol lawan serta mencipta tiga ‘key passes’ buat rakan sepasukan.

Seperti kebiasaan skill individu dengan keyakinan melakukan gelecekan akan menjadi senjata mutlak buat beliau bagi mencari jaringan.

Mungkin perlawanan ini mampu menjadi landasan tepat buat Messi untuk membuktikan beliau adalah ‘GOAT’ yang sebenar.

Bagi kem Croatia pula, Luka Modric dilihat mampu untuk menjadi enjin yang menggerakkan pasukan dengan lebih jitu.

Berbanding Messi, pemain tengah Real Madrid itu tidak mensia-siakan peluang sepakan penalti yang dimilikinya (menentang Nigeria) apabila dengan tenang menolak masuk bola pada minit ke-71.

Kapten Croatia itu berjaya menghasilkan 54 hantaran tepat sepanjang perlawanan.

Modric perlu lebih meningkatkan prestasinya untuk membekalkan lorongan dan umpanan yang lebih baik buat Mario Manzukic di bahagian serangan.

Sebelum sepak mula

Sememangnya aksi kedua-dua pasukan awal pagi nanti bakal menyajikan aksi yang menarik untuk disaksikan para peminat bola sepak dunia.

Argentina yang bergelut bagi mencari kemenangan di bumi Rusia tidak akan membiarkan perjuangan mereka terhenti di peringkat kumpulan sahaja.

Namun, mereka perlu sedar ancaman yang bakal ditampilkan Croatia pada perlawanan ini tidak semudah yang disangka.

Barisan pemain Croatia yang kelihatan begitu yakin dengan kemampuan dimiliki mampu untuk membuatkan Jorge Sampaoli dan anak buahnya menggigit jari.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN