Previu: Mampukah Tunisia Cipta Kejutan Bertemu Skuad ‘Kurang Pengalaman’ England?

Tunisia

Satu lagi aksi dalam kumpulan G akan berlangsung awal pagi nanti apabila Tunisia bakal menanti cabaran England di Volgograd Arena, Rusia.

Kelibat pasukan England dalam mana-mana kejohanan besar pasti menjadi tumpuan banyak pihak.

Reputasi negara yang mempunyai liga bola sepak paling popular di dunia itu menjadi sebab utama publisiti yang diterima walaupun tidak banyak pencapaian hebat dikecapi terutamanya dalam saingan Piala Dunia.

Sementara itu, Tunisia dilihat berdepan tugas sukar untuk sekurang-kurangnya melepasi peringkat kumpulan buat pertama kali selepas empat kali gagal melakukannya sebelum ini pada edisi 1978, 1998, 2002 dan 2006.

Skuad muda England

Pengurus England, Gareth Southgate meletakkan kepercayaan terhadap barisan muda pada edisi kali ini.

Hanya tiga orang pemain yang berusia lebih dari 30 tahun sahaja menjadi pilihan iaitu Gary Cahill, Ashley Young dan Jamie Vardy.

Pemain pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold yang berusia 19 tahun adalah pemain termuda dalam skuad England.

Senarai pemain dikeluarkan pengendali berusia 47 tahun itu juga menjadikan England sebagai satu-satunya pasukan yang dibarisi barisan pemain yang hanya beraksi dari satu liga (Liga Perdana Inggeris) sahaja.

Satu keadaan memperlihatkan Gareth Southgate mahu mengadunkan ramuan kekuatan aspek teknikal dimiliki para pemain untuk mewujudkan corak permainan yang berbeza buat England.

Pasukan ranking tertinggi dalam kalangan negara Afrika

Lawan yang bakal ditemui England pada perlawanan pertama ini bukanlah calang-calang pasukan.

Tunisia kini merupakan pasukan yang menghuni tangga ke-21 ranking bola sepak dunia.

Skuad yang dibimbing Nabil Maaloul itu berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 dengan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan kelayakan yang turut sama disertai DR Congo, Libya dan Guinea.

Pemain tumpuan

Kem England sudah pasti meletakkan harapan besar buat ketua pasukan, Hary Kane bagi mencetak seberapa banyak jaringan pada perlawanan ini.

Kreativiti bagi membina serangan yang dilancarkan Raheem Sterling dan Dele Alli juga bakal menjadi faktor utama buat Kane dalam usaha menambah koleksi jaringan beliau di pentas antarabangsa.

Ketika ini, Harry Kane telah mencetak 13 jaringan dalam 24 penampilannya bersama skuad kebangsaan England.

Rekod jaringannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris turut memperlihatkan ancaman berbahaya buat barisan pertahanan Tunisia pada perlawanan awal pagi nanti.

Harry Kane
Tunisia
Wahbi Khazri

Pemain yang pernah beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Wahbi Khazri dilihat mampu menjadi sandaran utama buat Tunisia pada perlawanan ini.

Pengalamannya beraksi untuk Sunderland menentang pasukan-pasukan hebat di England sedikit sebanyak memberikan ruang buat Khazri memberikan kesukaran buat England.

Namun, beliau yang tidak beraksi sejak April lalu sudah pasti akan mengalami kekurangan ‘match fitness’ yang sangat diperlukan.

Statistik kedua-dua pasukan

Pertemuan kedua-dua pasukan pada perlawanan pembukaan di Piala Dunia 1998 Perancis telah memihak England dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Alan Shearer dan Paul Scholes.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Opta, England tidak pernah tewas ditangan mana-mana pasukan dari benua Afrika dengan mencatatkan tiga kemenangan dan tiga keputusan seri.

Daripada enam aksi tersebut, England juga tidak dibolosi dalam lima perlawanan.

Tunisia pula hanya mencatatkan satu kemenangan dalam 12 perlawanan yang dihadapi mereka dalam saingan Piala Dunia sejak tahun 1978.

Kemenangan tersebut diraih selepas berjaya menundukkan Mexico dengan keputusan 3-1.

Tunisia juga hanya mampu mengelakkan gawang mereka dari dibolosi pada pertembungan dengan Jerman Barat, juga pada edisi 1978.

Selain daripada perlawanan tersebut, gawang mereka akan seringkali dibolosi pasukan lawan.

Sebelum sepak mula

Bukan mudah buat England untuk memperoleh tiga mata penuh walaupun dilihat sebagai pasukan pilihan tatkala Tunisia juga kelihatan begitu selesa ketika perlawanan persahabatan.

Mereka hanya tewas 1-0 ditangan Sepanyol dan mencatatkan keputusan seri 2-2 bertemu Turki.

Serangan balas pantas bakal menjadi kunci buat Tunisia dalam usaha mencipta kejutan keatas para bintang di Liga Perdana Inggeris itu.

Bagi England, barisan yang dikatakan kurang berpengalaman kali ini sudah pasti mahu membuktikan pemilihan mereka adalah satu keputusan yang tepat daripada Southgate.

Selepas beberapa pasukan pilihan mempamerkan aksi kurang meyakinkan pada perlawanan sulung mereka, England diharapkan dapat menyajikan persembahan lebih baik.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN