4 perlawanan unifi Liga Super 2018 yang berlangsung semalam sememangnya menjanjikan aksi yang mendebarkan. Malam ini, dua lagi perlawanan yang tidak kurang hebatnya bakal sekali lagi meningkatkan adrenalin jutaan peminat bola sepak di Malaysia.
Selain pertemuan derbi Lembah Klang (Kuala Lumpur lawan Selangor), satu lagi pertemuan melibatkan pencabar kejuaraan liga musim ini antara yang mencuri tumpuan.
Rekod pertemuan
Perlawanan pembuka tirai melibatkan kedua-dua pasukan memang sangat sinonim di mana perlawanan pertama Liga Super musim pertama (2004) turut mempertemukan kedua-dua pasukan.
Musim lalu, Pahang dan Perak turut bertemu dalam perlawanan pembuka tirai di mana keputusan terikat 1-1 di Ipoh dan keputusan yang sama direkodkan di Kuantan dalam aksi pusingan kedua.
29 perlawanan Liga Super telah dilalui buat kedua-dua pasukan sejak tahun 2004. 9 perlawanan telah berjaya dimenangi Pahang manakala Perak menang 13 kali sekaligus meletakkan Perak mendominasi siri perlawanan sejak 2004.
Pemain tumpuan
Sudah pasti tumpuan terarah kepada jentera import baharu buat kedua-dua pasukan. Chan Vathanaka, Alex Morais, Sergio Unrein, Misagh Bahadoran dan Wander Luiz merupakan pemain import baharu yang bakal melakukan ‘debut’ dalam Liga Malaysia.
Sementara itu, kelibat pemain-pemain import yang sudah sebati dengan rentak bola sepak tempatan seperti Mohamadou Sumareh, Safuwan Baharudin, Leandro Dos Santos, Robert Cornthwaite dan Gilmar Da Silva juga akan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu.
Selain itu, 2 tonggak pasukan kebangsaan dalam kejohanan AFC bawah 23 tahun iaitu Norazam Azih dan Matthew Davies bakal menjadi sandaran buat skuad kendalian Dollah Salleh untuk mendapatkan 3 mata berharga malam ini.
Cabaran Perak tidak boleh dipandang enteng dan skuad The Bos Gaurus dilihat bakal menyengat di bahagian tengah dengan kemasukan pemain baharu seperti Brendan Gan dan Nor Hakim Hassan yang bakal membuat penampilan pertama bersama pasukan.
Sebelum wisel
Musim lalu meletakkan Pahang berada dalam prestasi yang agak gemilang di mana skuad Tok Gajah berjaya menamatkan saingan liga di tangga kedua. Manakala bagi skuad kendalian Mehmet Durakovic, pencapaian musim lalu adalah memberangsangkan terutama dalam saingan Piala Malaysia.
Berbekalkan reputasi kedua-dua pasukan pada musim lalu serta adunan beberapa pemain import dan tempatan yang di bawa masuk, kedua-dua pasukan dilihat memiliki kekuatan seimbang di setiap posisi. Satu permainan menarik dijangka akan dipersembahkan kedua-dua pasukan malam ini.
Sekiranya andaian ini diambil kira, keputusan seri adalah selayaknya. Ini ditambah dengan rekod buat kedua-dua pasukan yang sering mencatatkan keputusan seri termasuklah pada perlawanan pertama Liga Super musim 2004 di mana kedua-dua pasukan terikat 0-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Foto: Media PBNP