Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Previu: Iran Intai Peluang Mara Buat Pertama Kali, Mampu Jinakkan Portugal

Iran dan Portugal bakal berentap pada perlawanan terakhir kumpulan B awal pagi nanti untuk merebut slot ke peringkat kalah mati dalam aksi yang berlangsung di Mardovia Arena, Saransk.

Kedua-dua pasukan masih berpeluang untuk mara dan keputusan pada perlawanan ini cukup menarik untuk disaksikan pengakhirannya.

Portugal kini mengutip empat mata selepas mencatatkan satu kemenangan dan satu seri manakala Iran dengan tiga mata hasil kemenangan pada perlawanan sulung bertemu Maghribi serta tewas 1-0 bertemu Sepanyol.

 Iran mahu lakar sejarah

SAINT PETERSBURG, RUSSIA – JUNE 15: The Iran team pose for a photo prior to the 2018 FIFA World Cup Russia group B match between Morocco and Iran at Saint Petersburg Stadium on June 15, 2018 in Saint Petersburg, Russia. (Photo by Richard Heathcote/Getty Images)

Wakil dari Asia itu sebelum ini sudah empat kali merasai pengalaman beraksi di Piala Dunia, namun kesemuanya hanya bertahan di saingan kumpulan sahaja.

Tampil buat kali kelima, skuad bimbingan Carlos Queiroz itu kini merintis laluan bagi mencipta sejarah baharu buat mereka.

Mungkin terlalu tinggi harapan diletakkan tetapi memerlukan perlawanan terakhir untuk mengetahui nasib pasukan Iran adalah satu pencapaian yang membanggakan.

Ternyata Iran bukanlah sebuah pasukan belasahan jika mahu dibandingkan reputasi mereka dengan pasukan lain.

Juara Eropah pilihan untuk menang 

MOSCOW, RUSSIA – June 20: The starting lineup of Portugal before the 2018 FIFA World Cup Russia group B match between Portugal and Morocco at Luzhniki Stadium on June 20, 2018 in Moscow, Russia.(Photo by Maddie Meyer/Getty Images)

Portugal tidak mempamerkan aksi yang begitu meyakinkan pada edisi kali ini, keadaan yang sama ketika menjuarai Piala Eropah 2016.

Menjelang aksi bertemu Iran, skuad bimbingan Fernando Santos ini dilihat mampu untuk menjadi pasukan pilihan bagi memenangi perlawanan.

Kehadiran pemain-pemain berpengalaman seperti Cristiano Ronaldo, Ricardo Quaresma, Pepe, Joao Moutinho, Jose Fonte dan ramai lagi menjadi faktor utama Portugal menjadi pilihan pada perlawanan pagi nanti.

Sama seperti Sepanyol, Portugal turut mengintai peluang bagi kembali melayakkan diri ke peringkat kalah mati selepas gagal pada edisi 2014 di Brazil.

Pemain tumpuan

Penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand akan menjadi pemain paling sibuk pada perlawanan ini terutamanya bagi menantikan percubaan dari Cristiano Ronaldo.

Penulis memilih kedua-dua individu ini sebagai pemain yang bakal menjadi tumpuan pada perlawanan ini.

Kehebatan Cristiano Ronaldo tidak dapat dinafikan lagi dengan ledakan hatrik ketika bertemu Sepanyol dan jaringan tunggal kemenangan menewaskan Maghribi pada perlawanan kedua.

Larian deras serta penyudah berbisa yang dimiliki pemain bintang berusia 33 tahun ini mampu untuk memberikan kejayaan buat Portugal.

Namun, jangan dilupakan juga ketangkasan Alireza Beiranvand.

Beliau bertindak cemerlang dengan menafikan beberapa percubaan berbahaya pada perlawanan bertemu Maghribi.

Alireza juga mempamerkan aksi meyakinkan sewaktu perlawanan menentang Sepanyol namun terpaksa kecewa gawangnya dibolosi oleh Diego Costa dalam satu keadaan yang tidak disangka-sangka olehnya.

Sebelum sepak mula

Dengan kedua-dua pasukan masih belum mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati dan masih berpeluang, satu perlawanan menarik pasti akan disajikan Iran dan Portugal.

Iran dengan misi mahu mencipta sejarah untuk layak buat pertama kali ke pusingan seterusnya manakala Portugal mahu menebus kekecewaan di Brazil.

Portugal dilihat sebagai pilihan utama namun dalam bola sepak, segalanya bakal terjadi.

Tidak mustahil juga buat Iran untuk menundukkan Portugal tatkala aksi juara Eropah itu belum menunjukkan tahap terbaik mereka.

Pilihan anda pada perlawanan ini?