Previu Final UEFA Champions League 2016: Casemiro Pemain Real Paling Berbahaya Kata Simeone

Awal pagi Ahad, 29 Mei 2016 jam 2.45 pagi nanti, Real Madrid akan berdepan Atletico Madrid dalam perlawanan akhir UEFA Champions League musim 2015/2016.

Perlawanan ini adalah ulangan kepada perlawanan akhir UEFA Champions League 2013/2014, di mana Real Madrid menewaskan Atletico 4-1 dalam masa tambahan, setelah terikat 1-1 dalam 90 minit.

Walaupun di atas kertas Real Madrid bakal dipilih sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini, namun di bawah kendalian Diego Simeone, Atletico muncul pasukan paling liat ditewaskan dalam kejohanan ini.

Dalam laluannya ke final, Atletico telah menumbangkan juara bertahan, Barcelona dan juara edisi 2013, Bayern Munich.

Perlawanan akhir ini sekali lagi membuktikan bahawa Sepanyol paling banyak menghasilkan finalis UEFA Champions League berbanding liga-liga utama Eropah lain. Dalam 10 final yang terakhir, kelab Sepanyol menjadi finalis dalam 5 daripadanya.

Real Madrid: Kami mesti berlari, berlari, berlari dan berlari

Tekanan darah tinggi peminat Real Madrid pasti melonjak naik pada Khamis lepas apabila media melaporkan Cristiano Ronaldo terpaksa berhenti berlatih selepas menerima kecederaan di bahagian pehanya.

Bagaimanapun dalam sidang media semalam (Jumaat), Zinedine Zidane melaporkan Ronaldo bakal bermula dalam kesebelasan utama meskipun ada sedikit rasa tak selesa di pehanya.

“Dia ada rasa tak selesa sedikit (di pehanya), tetapi ia akan hilang bila anda bermain dalam final Champions League,” kata Zidane.

Kesemua pemain Real dapat diturunkan kecuali Raphael Varane.

Zidane turut memberi peringatan kepada pemain-pemainnya dalam sidang media semalam, untuk ‘berlari, berlari, berlari dan berlari bila kehilangan bola’.

Ia adalah satu petanda bahawa seperti Atletico, Real juga akan melakukan intense pressing pada awal pagi esok.

Perlu diingat pada musim ini, Real masih lagi gagal menewaskan Atletico. Ketika diurus Rafa Benitez, mereka seri 1-1 di Vicente Calderon. Apabila Zidane mengambil alih, Real tewas 0-1 di Santiago Bernabeu.

Atletico Madrid: Siapa kuasai bahagian tengah, dialah pemenang

Bagi Diego Simeone, beliau tidak mempunyai sebarang masalah kecederaan dan penggantungan pemain.

Berbeza dengan final 2014 di mana beliau menghadapi beberapa masalah kecederaan (Arda Turan dan Diego Costa), final kali ini Simeone dapat menurunkan kesebelasan utama terbaiknya.

Dalam sidang media semalam, dua kali Simeone menyebut nama Casemiro – bukannya Ronaldo, Bale atau Benzema – sebagai pemain Real yang paling berbahaya.

“Casemiro memboleh mereka bertahan dengan lebih baik jika mereka kehilangan bola. Pasukan mana yang menang pertarungan di tengah, dialah yang akan bergelar juara.”

Sebagai persiapannya untuk menguasai bahagian tengah, Simeone dijangka akan menurunkan Augusto Fenandez yang lebih defensif berbanding Yannick Carrasco.

Tonggak utama Atletico

Diego Godin merupakan antara 5 pemain Atletico (selain Juanfran, Gabi, Koke dan Felipe Luis) yang pernah bermain dalam final edisi 2014.

Bersama Jan Oblak, penjaga gol yang yang menyamai rekod penjaga gol Deportivo La Coruna pada musim 1993/1994, Paco Liano yang hanya bolos 18 gol sepanjang musim La Liga, Godin dijangka akan mengharungi malam yang sibuk.

Seperti biasa, Atletico akan menyerap serangan Real dengan unit defensif yang kompak dan padat sebelum melancarkan serangan balas untuk mendapatkan gol.

Oleh itu Antoine Griezmann, penyerang sayap yang ditukarkan posisinya oleh Simeone kepada penyerang tengah, akan menjadi seorang lagi tonggak penting Atletico pada awal pagi esok.

Dengan 32 gol yang dijaringnya pada musim ini, Sergio Ramos dan rakan-rakan perlu berhati-hati dengan ancaman serangan balas Griezmann.

Tonggak utama Real

Bercakap mengenai tonggak utama Real Madrid tanpa Cristiano Ronaldo bagaikan bercakap mengenai kemerdekaan Malaysia tanpa Tunku Abdul Rahman.

Dengan 51 gol (16 daripadanya dalam Champions League) yang dijaringkannya pada musim ini, Ronaldo adalah pemain pertama yang akan muncul dalam fikiran pemain Atletico apabila mereka hilang bola pada awal pagi esok.

Di bahagian tengah, Simeone mungkin menyebut nama Casemiro dua kali dalam sidang media sebagai pemain Real paling berbahaya. Tetapi pengaruh Toni Kroos juga perlu diambil kira.

Untuk memecah unit pertahanan Atletico yang kompak dan padat, Real dijangka akan melakukan banyak switch of play melalui Kroos (dan Modric).

Di sayap kiri, Marcelo dijangka akan memberi banyak masalah kepada Juanfran melalui skil gelecekan dan larian overlapping beliau.

Satu foul yang dilepaskan oleh Juanfran untuk menghentikan Marcelo, bermakna peluang bagi Ronaldo, Bale atau Kroos untuk menjaringkan gol menerusi sepakan percuma.

Kemungkinan kesebelasan utama:

Real Madrid (4-3-3)

Keylor Navas, Dani Carvajal, Sergio Ramos, Pepe, Marcelo, Casemiro, Toni Kroos, Luka Modric, Gareth Bale, Cristiano Ronaldo, Karim Benzema.

Atletico Madrid (4-4-2)

Jan Oblak, Juanfran, Diego Godin, Jose Gimenez, Felipe Luis, Gabi, Augusto Fernandez, Saul Niguez, Koke, Antoinne Griezmann, Fernando Torres.

Ramalan keputusan:

Real Madrid 0-1 Atletico Madrid

Baca juga: 4 Isu Taktikal Yang Perlu Diselesaikan Bayern Munich Untuk Menewaskan Atletico Madrid

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN