Tanpa England yang gagal layak, UEFA EURO 2008 di Austria dan Switzerland kelihatan lebih sunyi daripada biasa. Publisiti daripada media England berkurangan berbanding EURO 2004.
[adrotate group=”2″]
Kegagalan Steve McClaren melayakkan England ke EURO 2008 membuatkan ribuan peminat bola sepak England lebih rela menghabiskan musim panas mereka di Ibiza dan Mallorca berbanding Austria dan Switzerland.
Bagaimanapun pada 4 Jun 2008, 4 hari menjelang perlawanan kumpulan B antara Jerman menentang Poland di Hypo-Arena, Klagenfurt, media Poland berjaya membuatkan EURO 2008 lebih ‘panas’ daripada biasa.
Pada hari tersebut, akhbar tabloid Poland, Super Express, mengeluarkan montaj gambar ketua jurulatih Poland pada ketika itu, Leo Beenhakker memegang kepada Michael Ballack dan Joachim Loew yang dipenggal dengan tajuk – ‘Leo, berikan kami kepala mereka’.
Gambar dan tajuk akhbar Poland ini mengundang kontroversi dan kemarahan di Jerman. Ahli Parlimen Jerman memanggil gambar tersebut ‘satu skandal’ dan mengharapkan kerajaan Poland akan menhambil tindakan sewajarnya.
Malah Leo Beenhakker sendiri memanggil gambar tersebut ‘gila, kotor dan kejam’ dan terpaksa memohon maaf kepada rakyat Jerman.
Ramai orang mempersoalkan keputusan editor akhbar Poland tersebut yang membenarkan gambar tersebut keluar. Tetapi pada perspektif penyokong Poland, ia adalah gambaran betapa terdesaknya mereka mahu pasukan kebangsaan mereka menewaskan Jerman.
Sejak hari pertama penubuhan pasukan kebangsaan mereka, Poland tak pernah menewaskan Jerman (Jerman Barat sebelum runtuhnya Tembok Berlin pada 1989).
Dan pada 8 Jun 2008 di Hypo-Arena, rekod tersebut berpanjangan apabila Poland tewas 0-2 kepada Jerman.
Paling menyakitkan hati penyokong Poland, kedua-dua gol tersebut dijaringkan oleh Lukas Podolski – pemain Jerman kelahiran Poland.
Pada Khamis, 16 Jun 2016 nanti, Poland dan Jerman bakal ‘berperang’ sekali lagi dalam satu kumpulan yang sama.
Turut bersama Jerman dan Poland di kumpulan C EURO 2016 nanti adalah Ukraine dan Ireland Utara.
Bagaimana mereka layak?
1. Jerman
Jerman pasca-Piala Dunia 2014 menunjukkan sedikit kerapuhan di bahagian pertahanan selepas Phillip Lahm mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa.
Meskipun menjuarai kumpulan dalam pusingan kelayakan dan muncul pasukan yang mencatat purata penguasaan bola paling tinggi (72%), Jerman hilang sedikit aura kebal mereka apabila pernah tewas 0-2 kepada Poland dan 0-1 kepada Republik Ireland.
2. Poland
Berada dalam kumpulan kelayakan yang sama dengan Jerman, Poland boleh berbangga dengan 3 pencapaian mereka sebagai naib juara kumpulan:
- tewas hanya sekali (1-3 kepada Jerman di Frankfurt) sepanjang 10 perlawanan kelayakan
- menang ke atas Jerman buat kali pertama dalam sejarah ketika menewaskan Jerman 2-0 di halaman sendiri
- menewaskan pencabar terdekat, Republik Ireland 2-1 dalam perlawanan terakhir kumpulan
3. Ireland Utara
Jika anda mencari ‘the next Greece’ yang berpotensi mengecewakan banyak pasukan gergasi dalam EURO 2016 nanti, Ireland Utara adalah pasukan yang anda perlu lihat secara dekat.
Ironiknya ketika dalam pusingan kelayakan, Ireland Utara berada dalam satu kumpulan dengan Greece.
Sebagai sebuah pasukan yang defensif, Ireland Utara memanfaatkan kelebihan serangan set-pieces mereka untuk menjaringkan gol. Dengan 9 gol, mereka muncul pasukan paling banyak menjaringkan gol set-pieces dalam kelayakan.
Selepas 10 perlawanan kumpulan, Ireland Utara menjuarai kumpulan dengan hanya 1 kekalahan (0-2 kepada Romania).
4. Ukraine
Dengan menduduki tangga ke-3 kumpulan C di belakang Sepanyol dan Slovakia, Ukraine perlu menang perlawanan play-off menentang Slovenia untuk layak ke EURO 2016. Apa yang anda perlu tahu adalah penyokong Ukraine bencikan play-off.
Ini kerana dalam 5 play-off utama terakhir mereka (contohnya play-off kelayakan Piala Dunia 2014), mereka tewas semuanya. Bagaimanapun nasib mereka berubah kali ini apabila Andriy Yarmolenko memberi inspirasi untuk menewaskan Slovenia.
EURO 2016 adalah kali pertama Ukraine layak secara merit selepas layak ke edisi 2012 atas tiket sebagai penganjur kejohanan bersama Poland.
Siapa pemain tumpuan?
Jerman – Thomas Mueller (Bayern Munich)
Dengan 9 gol dalam 9 perlawanan, Thomas Mueller adalah penjaring terbanyak Jerman ketika peringkat kelayakan EURO 2016.
Baru berusia 26 tahun, sukar untuk dipercayai beliau sebenarnya sudah mempunyai 70 caps antarabangsa, menjuarai Piala Dunia 2014 dan muncul penjaring terbanyak ketika Piala Dunia 2010.
Poland – Robert Lewandowski (Bayern Munich)
Dengan 13 gol daripada hanya 10 perlawanan ketika peringkat kelayakan EURO 2016, tak hairanlah Robert Lewandowski kini dicop sebagai target man terbaik di dunia.
Ketika beliau berdepan kemarau gol semasa mewakili Poland (sedangkan beliau tidak berdepan masalah menjaringkan 4 gol menentang Real Madrid), ketua jurulatih Poland mengambil keputusan untuk menjadikannya kapten sebagai cara untuk menamatkan kemarau tersebut.
Tindakan ketua jurulatih Poland tersebut menjadi. Rupa-rupanya Lewandowski merupakan jenis pemain yang bermain lebih bagus apabila diberi lebih banyak tanggungjawab.
Ireland Utara – Paddy McNair (Manchester United)
Dengan 7 gol ketika peringkat kelayakan EURO 2016, Kyle Lafferty mungkin menjadi pemain tumpuan Ireland Utara pada musim panas nanti. Namun peningkatan yang ditunjukkan Paddy McNair di posisi defensive midfielder skuad Ireland Utara juga perlu diberi pujian.
Peminat Manchester United mungkin mengenalinya sebagai pertahanan tengah muda yang sedang meningkat naik. Tetapi penyokong Ireland Utara melihatnya sebagai pemain yang lebih bagus berbanding Chris Baird di posisi baru di midfield.
Ukraine – Andriy Yarmolenko (Dynamo Kiev)
Dengan adanya Yevhen Konoplyanka dan Andriy Yarmolenko, Ukraine mempunyai pemain sayap kanan dan kiri yang berpotensi menjaringkan gol sebaik penyerang.
Kerap dikaitkan dengan kelab England sejak musim lepas, Yarmolenko berpotensi merealisasikan impiannya bermain di England dengan membantu Ukraine melepasi kumpulan sukar ini.
Siapa yang bakal mara?
Meskipun kami ada sedikit keraguan terhadap aura kekebalan pertahanan Jerman, mereka masih mempunyai banyak kualiti untuk layak dengan mudah dari kumpulan ini.
Ini meninggalkan Ukraine, Poland dan Ireland Utara untuk merebut – paling banyak – 2 slot seterusnya sebagai naib juara kumpulan dan antara pasukan tempat ke-3 terbaik dalam kejohanan.
Ireland Utara akan mengambil inspirasi Greece pada edisi 2004 untuk mencipta kejutan. Poland pula mempunyai banyak pemain berkualiti di semua bahagian.
Ini meninggalkan Ukraine sebagai pasukan yang bakal pulang awal dari kumpulan ini.
Baca juga: Previu EURO 2016: Permusuhan Wales-England Dalam Ragbi Bakal Menular Ke Kumpulan B