“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”- Saidina Ali R.A
Itulah kata-kata dari salah seorang Khulafa Ar-Rasyidin mengenai generasi akan datang.
Namun jika kita berbicara dalam konteks sukan pula, untuk melihat kejayaan bola sepak negara itu, penilaian harus ditujukan kepada pemain generasi tersebut. Ini termasuklah pencapaian kelab di pertandingan tertinggi dan persaingan di liga itu sendiri.
Ini yang berlaku kepada pasukan bola sepak Sepanyol apabila mereka mencipta sejarah tersendiri dengan muncul juara Piala Dunia pada tahun 2010 buat pertama kali dalam sejarah mereka dan dua kali berturut-turut merangkul gelaran EURO pada tahun 2008 dan 2012.
Ketika itu boleh dikatakan ia adalah era generasi emas bermula pada 2008 sehingga 2012. Ketika itu, skuad La Roja begitu cemerlang dalam kejohanan utama dunia.
Setiap pemain yang dipanggil akan berjuang demi lencana di dada dan sanggup berkorban untuk negara. Rekod tersebut sudah tentu sukar untuk diulangi oleh negara lain dalam sama singkat.
Namun begitu, ia bukan hadir dengan mudah sebaliknya prestasi kelab dan pemain memainkan peranan sangat penting.
Bukan itu sahaja, pencapaian kelab dari Sepanyol di kejohanan UEFA Champion League (UCL) serta Europa League (UEL) juga begitu mengagumkan.
Zaman tersebut, majoriti pemain dari Barcelona dan Real Madrid menjadi tonggak utama dalam kejayaan pasukan Sepanyol.
Mereka seteru di La Liga ketika mewakili kelab namun bersatu hati disaat membawa nama negara.
Kelab dari negara tersebut mampu memberi saingan ke atas lawan mereka dan paling kurang akan mara ke pusingan kedua. Pada era itu, Barcelona antara pasukan terkuat dan dari situ juga timbul istilah permainan tiki-taka.
Selain dua gergasi tersebut, Sevilla, Espanyol, Altico Madrid, dan Villareal turut cemerlang di peringkat UEL. Maka tidak hairan kenapa Sepanyol pada era itu begitu kuat sehingga sukar untuk dikalahkan.
Disebabkan itu, jika Malaysia ingin menjadi seperti Sepanyol, kelab yang layak ke peringkat Asia perlu menampilkan aksi terbaik dan bukan sekadar memenuhkan kuota sahaja.
Setakat ini, kita terlalu bergantung kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk membantu dari segi kutipan mata AFC MA Ranking. Kerana kecermelangan Harimau Selatan, kelab lain mendapat nikmatnya juga untuk beraksi di pentas Asia.
Edisi 2022, boleh dikatakan kejayaan buat kelab bola sepak Malaysia apabila wakil terkuat Malaysia, JDT buat julung kalinya melangkah ke pusingan kedua Liga Juara-juara Asia (ACL) dan Kuala Lumpur City pula mara pentas akhir Piala AFC.
Bila setiap pemain memberi aksi terbaik di peringkat tertinggi bersama kelab, secara tidak langsung negara akan dapat tempiasnya.
Buktinya apabila Malaysia berjaya melangkah ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit dan ke perlawanan akhir di King’s Cup yang diadakan di Thailand.
Lebih membanggakan adalah kejayaan anak-anak buah Kim Pan-gon ketika ini berjaya melangkah ke separuh akhir dengan skuad yang beliau ada.
Majoriti pemain dalam pasukan itu adalah pemain baharu namun atas semangat juang, mereka buktikan pemilihan Kim adalah sesuatu yang tepat.
Ini menunjukkan Liga Malaysia berada di landasan terbaik apabila kita berjaya melahirkan lebih ramai pemain dan paling penting mempunyai jiwa berperang bersama Malaysia.
Tahun ini adalah tahun penting buat Malaysia kerana kita ada kejohanan Piala Asia 2023 awal tahun hadapan dan dengan aksi terbaik skuad Piala AFF 2022, jurulatih dari Korea Selatan mempunyai lebih banyak pilihan pemain.
Kita mengharapkan juga akan ada lebih ramai bakat baharu muncul supaya skuad Harimau Malaya akan betul-betul berada di tahap terbaik dan bersedia andai kata ada beberapa pemain tercedera atau ada penyakit ‘misteri’ sehingga tidak dapat mewakili Malaysia.