Penjaga gol kelab Ligue 1, Rennes, Edouard Mendy bakal menjadi aset baharu buat Chelsea apabila dikatakan akan terbang ke London untuk pemeriksaan kesihatan.
Akhirnya, Kepa Arrizabalaga sudah mempunyai pencabar kuat untuk posisi nombor 1 Chelsea. Atau mungkin penggantinya? Kegagalannya untuk menjadi dinding kebal The Blues musim lalu – 54 bolos, menyaksikan posisi beliau semakin tergugat.
Bagaimana prestasi Mendy vs Kepa
Menyertai Rennes pada musim lalu, Edouard Mendy merupakan penjaga gol yang sangat boleh diharapkan walaupun memiliki pertahanan yang agak rapuh. Sebelum ini, beliau bermain untuk Stade de Reims selama tiga musim.
Beliau turut membantu Stade de Reims meraih promosi ke Ligue 1 pada penghujung musim 2017/18 disamping mula beraksi di peringkat antarabangsa bersama Senegal ketika itu, walaupun merupakan seorang pemain kelahiran Perancis.
Di Ligue 1, Mendy merekodkan bolos kedua terendah iaitu 0.8 gol tiap perlawanan di belakang penggantinya di Stade de Reims, Predrag Rajkovic. Untuk cleansheet pula, beliau memegang rekod yang baik dengan sembilan kali tidak bolos.
Selain itu, Mendy turut merekodkan peratus menyelamat antara tertinggi di Ligue 1, 78.4 peratus berbanding Kepa, hanya 54.5 peratus. Beliau juga lebih hebat di udara, menghalang 10.2 peratus hantaran lintang berbanding 7.2 peratus oleh Kepa.
Sedang di kemuncak karier
Di saat Kepa seperti sudah terlupa bagaimana untuk menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi, Mendy dilihat sangat boleh diharapkan oleh Rennes selama dua musim. Beliau ketika ini sedang berada di kemuncak kariernya pada usia 28 tahun.
Peningkatannya di Ligue 1 sangat mendadak walaupun hanya menandatangani kontrak profesional pada musim 2015. Para penyokong tentunya teruja untuk melihat bagaimana prestasinya bersama Chelsea pula selepas ini.
Begitupun, Kepa masih memiliki peluang membuktikan khidmatnya masih bernilai di Stamford Bridge apabila Mendy mungkin akan terlepas beberapa aksi awal Premier League akibat kuarantin wajib selepas sudah memuktamadkan perpindahannya.
Chelsea dilaporkan menawarkan kepada Rennes £18 juta untuk khidmat Mendy, namun menurut wartawan tersohor, Fabrizio Romano, The Blues mengeluarkan belanja sehingga £25 juta. Ia jauh lebih rendah berbanding sasaran sebelum ini.
Penutup
Ya, tentunya masih belum ada pengumuman rasmi mengenai penyertaan Mendy ke Chelsea, namun segalanya sudah hampir untuk diselesaikan – hanya menanti pemeriksaan kesihatan. Beliau juga dilaporkan sudah tiada di sesi latihan Rennes.
Chelsea sekali lagi menjadi tumpuan dalam jendela perpindahan musim ini dengan khabar penyertaan Mendy ini. Adakah penjaga gol yang dicalonkan sendiri oleh Petr Cech ini bakal menjadi lagenda sepertinya di Stamford Bridge?
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES