Baru-baru ini timbul khabar angin di media sosial mengenai pemain Perak masih belum menerima gaji selama dua bulan termasuk ganjaran kemenangan Piala Malaysia yang dijanjikan oleh kerajaan negeri tahun lepas.
Berita Harian hari ini melaporkan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan skuad Bos Gaurus sedang mengalami masalah tunggakan gaji seperti yang dihebohkan.
Pasukan Perak FA dilaporkan masih lagi mempunyai masalah tunggakan gaji. Sehingga kini, dikhabarkan bonus Piala Malaysia tidak diterima oleh para pemain. pic.twitter.com/hKSXGcAaOb
— Gosip Liga M (@GosipLigaM) February 8, 2019
Mengulas mengenai khabar angin yang tersebar itu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata setakat ini imbuhan yang dijanjikan pihaknya kepada pasukan berkenaan sudah dilangsaikan kecuali membabitkan tanah.
“Setahu saya, hanya isu tanah sahaja yang masih berhutang dan belum diselesaikan. Hal ini kerana ia mengambil sedikit masa dan saya beri jaminan tentu akan dapat tanah yang kerajaan negeri janjikan kepada pemain selepas usaha mereka merangkul kejuaraan Piala Malaysia tahun lalu,” katanya dalam Berita Harian tersebut.
Tahun lepas Kerajaan Perak mengumumkan insentif sebanyak RM10,000 dan satu lot tapak rumah kepada setiap pemain serta pegawai pasukan bola sepak Perak selepas kejayaan memenangi Piala Malaysia.
Skuad kendalian Mehmet Durakovic itu menewaskan Terengganu FC di perlawanan akhir di Stadium Shah Alam sekaligus menamatkan penantian selama 18 tahun.
Ahmad Faizal menafikan dengan sekeras-kerasnya terhadap laporan di media sosial yang mendakwa pemain skuad Bos Gaurus mempunyaai tunggakan gaji dengan PAFA.
“Kecoh apabila terdapat laporan di media sosial yang mendakwa gaji pemain tak jalan. Ada pihak yang laporkan pada saya mengenai dakwaan isteri salah seorang pemain Perak yang meminta duit pada suaminya dan pemain itu memaklumkan gaji belum diterima.
“Itu yang kecoh. Tapi hakikatya dia (pemain) tak nak beri duit pada isterinya,” katanya.