Presiden KAFA, Puan Hajah Bibi Ramjani Ilias Khan akan menilai persembahan pemain Kelantan FA ketika perlawanan terakhir Liga Super 2017 (menentang Melaka United) pada 28 Oktober 2017 ini sebelum menawarkan sambungan kontrak kepada mereka.
“Segala urusan penyambungan kontrak akan dilakukan selepas perlawanan menentang Melaka United pada 28hb ini. Kita juga ada beberapa pemain yang mempunyai baki kontrak tetapi sudah dirisik oleh pasukan lain,” kata Bibi Ramjani.
Bercakap dalam sidang media bersama wakil Utusan Online, Bibi Ramjani turut mengumumkan beberapa pelan jangka masa panjang beliau untuk KAFA.
Antaranya adalah pelan penjenamaan semula Kelantan FA yang ketika ini dikenali sebagai The Red Warrior. Ketika ditanya lebih lanjut sama ada nama The Red Warriors akan kekal dalam rancangan penjenamaan tersebut, Bibi Ramjani menjelaskan:
“The Red Warriors adalah nama anak syarikat KAFA. Sudah pasti ia tak dapat dipisahkan ibarat ibu dan anak. Ketika ini perbincangan dan perancangan sedang dijalankan. Saya akan umumkan segalanya apabila semua urusannya selesai kelak.”
Perlawanan genting menentang Melaka United
Ketika ini Kelantan sedang terperosok di zon penyingkiran Liga Super dengan 19 mata daripada 21 perlawanan.
Dengan 2 pasukan akan terhumban ke Liga Perdana 2018, Kelantan wajib menang menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat pada Sabtu ini untuk memastikan survival mereka dalam Liga Super. Kalah bukan satu pilihan.
2 lagi pasukan yang turut berada dalam bahaya penyingkiran adalah Sarawak (1 mata di hadapan Kelantan) dan T-Team (3 mata di hadapan Kelantan). Kedua-dua pasukan ini akan berentap sesama sendiri di Stadium Negeri Kuching – juga pada 28 Oktober 2017 nanti.
Dengan Pulau Pinang sah tersingkir, satu slot penyingkiran akan menunggu sama ada Kelantan, T-Team dan Sarawak.
Secara asasnya, Kelantan mempunyai 3 kemungkinan senario pada hari Sabtu ini:
- Jika Kelantan dan Sarawak menang, T-Team akan tersingkir ke Liga Premier 2018
- Jika Kelantan dan T-Team menang, Sarawak akan tersingkir ke Liga Premier 2018
- Jika Kelantan seri, mereka perlu mengharapkan T-Team menumpaskan Sarawak untuk kekal dalam Liga Super 2018
Kerajaan negeri kembali bekerjasama
Dalam pada masa yang sama, Bibi Ramjani turut mendedahkan berita gembira hasil pertemuan beliau dengan wakil kerajaan negeri baru-baru ini.
“Jawatankuasa KAFA dengan Kerajaan Negeri akan diaktifkan semula sebagai tanda sokongan kerajaan negeri terhadap KAFA dan bola sepak Kelantan,” umum usahawan wanita yang juga pengasas Desa Murni Batik Sdn Bhd ini.
Beliau turut mengambil berat keperluan KAFA untuk membangunkan bakat akar umbi bola sepak Kelantan dengan mengumumkan pengaktifan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) bagi program pembangunan bola sepak daerah.
Dalam sidang media sama juga, Bibi Ramjani mendedahkan beliau meminati Manchester United kerana Cristiano Ronaldo dan mengagumi kepimpinan Tengku Mahkota Johor. Beliau turut menyeru peminat bola sepak supaya memberi masa kepada baginda untuk melakukan kerjanya.
“Seperti membina atau membaiki rumah, tugas tersebut tak boleh siap dalam masa singkat. Apatah lagi mengambilalih pengurusan,” katanya. “Saya juga turut memohon agar peminat bola sepak Kelantan memberi saya masa untuk membuat perubahan.”