Paris Saint Germain (PSG) boleh dianggap sebagai kurang bijak jika pelaburan besar sehingga mencecah €400 juta pada musim panas yang lalu hanya mendatangkan kejayaan di Ligue 1.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Perancis, Noel Le Graet dalam satu kenyataan yang dipetik melalui ESPN FC.
Pada musim panas yang lalu, kelab dari Perancis tersebut memecahkan rekod nilai perpindahan apabila membawa bintang dari Brazil, Neymar pada harga €222 juta, dan juga pemain sensasi Perancis Kylian Mbappe yang dibawa secara pinjaman dan bakal melibatkan transaksi sekitar €180 juta.
Buat masa ini PSG berada di kedudukan teratas Ligue 1 dengan kelebihan 9 mata dan berada di landasan tepat untuk bergelar juara Perancis pada musim ini.
Musim lalu, PSG terpaksa akur dengan kehebatan Monaco yang mengejutkan bola sepak Perancis untuk merangkul gelaran Ligue 1.
Namun demikian, kekalahan 3-1 kepada Bayern Munich baru-baru ini menimbulkan persoalan baru sehingga memaksa CEO dan juga pengerusi kelab, Nasser Al Khelaifi menegur prestasi terkini skuad bimbingan Unai Emery tersebut.
Malah sebelum tewas kepada Bayern Munich dalam pertandingan UEFA Champions League tersebut, rekod tanpa kalah PSG turut dicalar oleh Strasbourg pada hujung minggu yang lalu apabila tewas 2-1 kepada lawan mereka itu.
Perkara ini lantas mencetuskan persoalan sama ada segala pelaburan oleh PSG sebelum ini mampu membeli pulangan dan kejayaan yang mereka harapkan.
La Graet menjelaskan bahawa pemilik PSG yang bernaung di bawah syarikat Qatar Sports Investments mungkin akan menyesal kerana melabur secara membuta tuli, yang pada asalnya bertujuan untuk menjadi juara di peringkat eropah.
“PSG mempunyai ramai pemain yang hebat. Saya yakin mereka akan belajar dari pengalaman ini. Ligue 1 perlukan PSG. Saya selalu mengatakan ia sebagai satu jenaka.” ”
“Tetapi jelas jika PSG membawa pemain-pemain tersebut sekadar untuk bergelar juara Ligue 1, maka ia adalah langkah pelaburan yang bodoh.”
“Anda tidak perlu berbelanja sebegitu mewah untuk merangkul kejuaraan di Perancis. Mujurlah PSG mampu menjadi juara Kumpulan B pertandingan UEFA Champions League.”
Pada musim lalu PSG disingkirkan oleh Barcelona di peringkat pusingan 16 pasukan terakhir. PSG menewaskan Barcelona 4-0 di halaman sendiri, sebelum kebangkitan luar biasa Barcelona di Nou Camp, menafikan kemaraan mereka.