Presiden FAS Mahu Kevin Ramalingam Letak Jawatan, Dan Berikan Penyata Kewangan MFL

Semalam, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Dato Posa Majais mengadakan sidang media khas – menggesa agar CEO Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam untuk meletakkan jawatan.

Posa tidak berpuas hati dengan cara Kevin Ramalingam mengenakan pemotongan geran.

Posa berkata: “Isu semasa yang telah diumumkan oleh saudara Kevin Ramalingam, CEO kepada MFL – Saya rasa pengumuman itu dilakukan pada masa yang tidak berapa sesuai.”

“Ini kerana, sedangkan apa yang berlaku, sepanjang tahun ini banyak pasukan yang tidak berpuas hati.”

“Banyak pasukan yang merungut. Pasukan-pasukan yang bertanding di Liga Malaysia ini tidak semua pasukan tersebut memiliki kewangan yang mencukupi – sebaliknya kebanyakan pasukan dalam kedudukan kewangan yang tidak mengizinkan.”

Posa juga menuduh Kevin menutup kelemahan MFL dan mengalihkannya kepada isu remeh.

“Jadi kita kesal dengan kenyataan Kevin, yang seolah-olah mahu menutup kelemahan sendiri dan juga kelemahan MFL. Kerana mahu menutup isu geran-geran pasukan, beliau alih, timbulkan kepada isu yang tidak berapa penting,” tambah beliau lagi.

“Berkaitan dengan penghantaran dokumen laporan kewangan, ianya boleh dilakukan kemudian. Bank pun turut bagi notis. Ini tidak! Ianya boleh dilakukan dengan budi bicara dan rundingan.”

“Jadi, beliau seolah-olah mahu menutup isu kelemahan MFL – seolah-olah beliau tidak mahu bayar geran tersebut.”

“Melalui apa yang saya dengar MFL berhadapan dengan masalah kewangan, sehingga ada berita menyatakan ada pasukan yang tidak dibayar insurans.”

“Jadi MFL yang diterajui Kevin, sebelum beliau menyalahkan orang lain, sila cermin [kelemahan] diri sendiri dahulu.”

“Jika kita minta laporan kewangan MFL, rasanya ianya lebih parah daripada pasukan-pasukan yang bertanding. Itu yang saya rasa.”

“Berkenaan dengan geran itu, kita pun tidak terkejar-kejar geran itu sangat. Tetapi, janganlah ambil tindakan tergesa-gesa, pakai budi bicara. Beliau boleh ambil tindakan dengan cara rundingan dan budi bicara.”

“Kerana nak tutup isu geran dan memotong geran 50% itu, isu yang ditimbulkan itu kecil sahaja jika dibandingkan dengan masalah yang dihadapi MFL. Jadi beliau mahu tutup kelemahan mereka sendiri.”

“Kita juga hairan, kenapa bos dia membisu berkenaan dengan isu geran selama ini. Oleh kerana kelemahan di pihak pengurusan tertinggi MFL – saya menggesa saudara Kevin untuk meletakkan jawatan dalam kadar yang segera. Gantikan dengan orang yang lebih layak untuk jawatan CEO.”

“Seterusnya, untuk bos beliau yang selama ini membisu. Jika tidak mahu memikul tanggungjawab dan tidak mahu mengeluarkan wang sendiri untuk MFL – undur diri sahajalah secara terhormat.”

“Saya bercakap hari ini hanya untuk mewakili pasukan Sarawak [bukan negeri lain] yang merupakan salah sebuah rakan kongsi MFL. Jadi kita berhak mengeluarkan pendapat dan cadangan.”

“Rasanya selama ini, pandangan daripada rakan kongsi MFL tidak pernah didengari.”

“Kepada Kevin, selalunya kita hubungi beliau – tidak pernah berjawab. Kadangkala beliau tidak menghubungi kita kembali. Beliau selalu mengarahkan orang bawahan beliau untuk menghubungi saya kembali.”

“Satu contoh, minggu lalu, selepas mesyuarat MFL, tak akanlah satu minit beliau tidak boleh meluangkan masa berjumpa dengan saya di luar – selepas saya menunggu sejam di luar. Tak akanlah seorang CEO MFL memandang kita seperti sampah – seminit pun tidak boleh berjumpa.”

“Selepas itu ajak kita bermesyuarat di kedai kopi di luar. Tidak akan layan saya seperti itu.”

Posa: Kevin bodoh sombong

Selain itu, Dato Posa agak marah dengan Kevin Ramalingam yang dilabel beliau sebagai bodoh sombong.

Beliau berkata:  “Oleh itu saya kesal dengan cara sombong bodoh beliau. Senang kata beliau seorang sombong bodoh. Kita dengan kitman pun tak pernah layan seperti itu. Tapi saya bukan nak meninggikan jawatan. Tetapi tak sepatutnya ahli gabungan dilayan sedemikian – macam sampah.”

“Saya ulangi lagi, minta beliau [Kevin] letak jawatan segera. Bos beliau juga begitu, jika rasa hanya membisu dan tidak boleh pikul tanggungjawab ini, sila undur diri cara terhormat.”

“Lebih baik [bagi] orang lain yang mampu dan sanggup bekorban.”

“Hal ini kerana bola ini tidak boleh dipisahkan daripada pengurusan dan kewangan. Sebagus mana pengurusan jika tiada wang, melingkup masuk ke longkang juga. Walau sehebat mana profesor [sekalipun] menguruskan MFL ini, jika kewangan lemah, tetap boleh bungkus juga. Senang cakap.”

“Jadi, kita kasihan juga dengan pasukan lain yang menghadapi masalah yang sama, contohnya macam Perlis, Kelantan.”

“Misalnya Perlis, masalah Perlis ini kecil sahaja. Jika ianya dibantu, dengan budi bicara, Perlis tidak akan sampai terbatal penyertaan mereka.”

“Jika MFL guna budi bicara, Perlis boleh diselamatkan daripada awal lagi. Namun sebaliknya, jangan kata nak diselamatkan, malah Perlis dihentam dan dilayan sebegitu rupa.”

“Masalah Perlis awalnya sekitar RM200-RM300 ribu sahaja. Namun apabila lama-lama benda itu tidak dibantu, akhirnya hancur. Jadi kita simpati dengan Perlis.”

“Sama juga yang terjadi dengan pasukan lain yang menghadapi masalah yang sama.”

“Tetapi kita di pasukan Sarawak, kita bukan nak kejar sangat geran itu – geran itu berapa sahaja?”

“Tetapi untuk tindakan yang lain – gunalah budi bicara.”

“Bola ini tidak boleh dipisahkan dengan kewangan. Namun Kevin, boleh guna budi bicara beliau untuk membantu sedikit Perlis. Kenapa pasukan Polis [PDRM FA] dibantu, Melaka dibantu, kenapa pasukan lain tidak dibantu?”

“Jadi walaupun kita bukan bercakap atas pasukan orang lain, namun kita simpati atas apa yang berlaku sekarang ini.”

“Jadi, sebelum MFL jadi carca merba, lebih baik Kevin letak jawatan sekarang, dalam keadaan segera. Yang lain itu, kalau rasa tak sanggup, tak ada pengorbanan, tak ada rasa tanggungjawab, lebih baik undur diri secara terhormat. Itu sahaja.”

“Apa yang berlaku sekarang adalah kerana kegagalan pengurusan tertinggi – apabila penaja tarik diri. Bagi kita, apa yang berlaku sebelum ini adalah indah khabar dari rupa.”

“Sebagai rakan kongsi dalam MFL, selain menggesa Kevin letak jawatan, kita juga mahu meminta salinan laporan kewangan MFL – tahun lepas dan tahun ini. Kita ingin tahu dan berhak tahu. Sebab kita nak tahu siapa yang menyumbang? Betul ke tidak ada yang menaja?”

“Bukan kita nak tuduh sesiapa, tidak! Sebagai rakan kongsi kita berhak meminta salinan laporan kewangan MFL. Sebelum ini beliau sentiasa menuding jari ke arah pasukan yang bertanding. Tetapi kita sebagai rakan kongsi, kita juga mahu salinan dan laporan perbelanjaan MFL. Itu sahaja.”

Wartawan kemudian bertanya: bukankah sudah diberikan rayuan dan peluang?

Posa tetap dengan pendirian beliau bahawa Kevin Ramalingam sengaja mengalihkan perhatian umum daripada isu MFL itu sendiri.

Beliau menambah lagi: “Yang kita tidak puas hati, beliau timbulkan isu ini pada masa yang tidak sesuai. Sepatutnya isu kelewatan itu, saya rasa MFL sendiri berhadapan dengan perkara yang sama juga. Jadi kenapa nak salahkan pasukan bertanding?”

“MFL sendiri berhadapan dengan masalah yang lebih besar. Itu pandangan saya.”

“Contohnya, saya mendengar khabar pada 2-3 minggu lepas, banyak insurans pasukan yang bertanding tidak dibayar.”

“Bermakna, pasukan-pasukan yang bertanding selama ini – ada sebahagiannya tiada insurans. Jadi, apa akan terjadi jika berlaku kecederaan ataupun kemalangan kepada para pemain? Namun kita di Sarawak FA sudah membayar insurans kita sendiri. Tiada isu.”

“Tetapi yang kita dengar daripada pasukan lain, apabila geran itu tiada, MFL berhadapan masalah kewangan – insurans pasukan pun mereka tak bayar. Itu yang kita dapat tahulah. Ada pasukan sehingga hari ini [sekitar] 7-8 pasukan yang tidak dilindungi insurans.”

“Amalan sebelum ini, kalau tidak silap, MFL ataupun FAM sebelum ini yang akan akan membayar insurans ini dan dipotong melalui geran. Ada pasukan lain beranggapan insurans itu sudah dibayar, tetapi nampaknya, apabila MFL berhadapan masalah kewangan, maka banyaklah pasukan yang tidak dilindungi insurans.

“Jadi, sebelum benda ini membarah, adalah lebih baik beliau [Kevin Ramalingam] meletak jawatan.”

“Gesaan letak jawatan ini adalah daripada saya dan pasukan Sarawak bukannya mewakili suara pasukan lain. Kevin Ramalingam ini seorang yang pandai tetapi beliau tidak bijak dalam menangani apa yang berlaku.”

“Sepatutnya banyak lagi cara beliau boleh guna untuk selesaikan masalah ini, bukannya menutup kelemahan sendiri. Kalau saya di tempat beliau, saya sudah letak jawatan.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN