Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd Amin tampil dengan kejutan sebentar tadi apabila beliau menyatakan tidak lagi mempertahankan kedudukannya untuk penggal baharu.
Di media sosial, pelbagai spekulasi timbul mengenai keputusan dibuat Hamidin sambil ada menyatakan ia dibuat atas desakan daripada penyokong bola sepak Harimau Malaya.
Umum mengetahui, Hamidin antara menjadi sasaran peminat bola sepak tempatan ekoran aksi tidak konsisten dipamerkan skuad Malaysia di pentas antarabangsa kebelakangan ini.
Walaupun begitu, beliau menjelaskan asbab sebenar mengapa tidak lagi mempertahankan jawatan itu untuk penggal akan datang dan ia bukan hanya kerana disebabkan desakan peminat.
Menurut Hamidin, keputusan tersebut dibuat kerana untuk memberi ruang kepada ahli gabungan memilih presiden baharu untuk terus memacu organisasi berkenaan pada satu peringkat lebih positif.
Jelas dirinya lagi, keputusan itu sebenarnya bukan suatu yang pelik kerana ia dibuat menerusi proses telah ditetapkan untuk memilih kepimpinan baharu FAM.
“Saya pun sudah enam tahun setengah, saya berasa cukup untuk beri ruang kepada individu lain bagi memimpin dan membawa persatuan yang besar ini ke mercu kejayaan yang lebih baik.
“Itu keputusan saya selepas berbincang dengan keluarga. Jadi saya fikir tiada apa pun yang pelik, presiden dan exco baharu yang akan datang mungkin lebih baik daripada saya dan boleh bawa FAM pergi lebih jauh.
“Tak ada (kaitan dengan desakan penyokong), itu memang keputusan saya. Bukan sekarang, saya sudah lama buat keputusan untuk habiskan penggal ini.
“Penyokong ada hak mereka untuk kritik, itu saya tak boleh nafikan. Tapi cukup untuk saya katakan bahawa ini ruang yang bagus untuk ahli gabungan memilih presiden yang baharu dan mengikut proses,” kata beliau menerusi perkongsian Berita Harian.
Rekod menyaksikan Hamidin telah memegang jawatan tersebut sejak tahun 2018 lagi bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail.
Malah, Hamidin turut menang tanpa bertanding bagi kongres pemilihan pada penggal 2021-2025 dengan meninggalkan pelbagai jasa buat pembangunan bola sepak tanah air.
Antara jasa terbesar, sudah tentu ketika Hamidin memastikan Malaysia melayakkan diri secara merit ke saingan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar dan itu akan dikenang oleh para peminat.