Bekas jurulatih berpengalaman iaitu Irfan Bakti Abu Salim tampil memberi kritikan pedas kepada pengendali baharu Selangor iaitu Katsuhito Kinoshi selepas melihat prestasi dibawa beliau dalam dua perlawanan lalu dihadapi pasukan tersebut.
Terdahulu, Selangor mencatat dua kekalahan berturut-turut untuk saingan AFC Champions League Two (ACL 2), serta di pentas Piala Malaysia musim 2024/2025.
Bermula dengan siri kekalahan mereka kepada Muangthong United, kebangkitan gagal dilakar The Red Giants apabila pasukan itu meneruskan momentum negatif ketika menghadapi cabaran Sri Pahang.
Lebih malang, Selangor gagal untuk meneruskan perjuangan mereka di pentas Piala Malaysia apabila pasukan itu sekadar terkandas di peringkat 16 terbaik sahaja.
Melihat kepada prestasi hambar pasukan tersebut sejak dua perlawanan itu, kritikan mula kedengaran di media sosial apabila pelbagai kesalahan dilemparkan oleh peminat yang tidak berpuas hati akan kualiti ditampilkan Selangor.
Malah, Irfan Bakti sendiri turut hadir memberi pandangan tersendiri mengenai sentuhan awal daripada jurulatih Jepun itu buat Selangor untuk mencapai kejayaan musim ini.
“Resume seseorang jurulatih itu sebenarnya tidak menggambarkan kebolehan seseorang jurulatih itu.
“Nak menguruskan Selangor ini umpama menguruskan Manchester United kerana ini adalah pasukan yang besar, jadi ini bukanlah satu tugas yang mudah.
“Kegagalan layak ke suku akhir itu adalah satu situasi yang malang. Begitu juga dengan ACL2 di mana kita sepatutnya sudah layak jadi apabila ini berlaku, maknanya pelantikan jurulatih baharu itu bukanlah menyelesaikan masalah.
“Saya tak tahu kenapa ini berlaku, mungkin ada pertukaran taktikal atau formasi tetapi kita anggap dia gagal,” kata Irfan menerusi petikan daripada Berita Harian.
Pada masa sama, Irfan turut mengharapkan Selangor kembali bangkit untuk sekurangnya meraih gelaran naib juara di pentas Liga Super kerana hanya persaingan itu dianggap masih terbuka buat The Red Giants.
Malah, dirinya turut kesal selepas Selangor gagal mengekalkan Nidzam Jamil yang dianggap telah mencipta impak besar bersama pasukan itu sejak dirinya mengambil alih pada awal musim.
“Buatlah apa pun, kena bagi harapan dan ikutlah mana-mana jalan pun, Selangor kena juga ambil (dapatkan) nombor dua dalam liga kerana saya tidak nampak pasukan lain yang boleh mencapainya.
“Mungkin ada ruang dan peluang kerana saingan Liga Super pun masih panjang jadi teruskan berusaha. Cuma persoalannya, bolehkah jurulatih ini nak buat benda itu? Jadi pada saya, satu kerugian apabila pasukan kehilangan Nidzam Jamil,” katanya akhir sekali.