Selangor kini jelas dalam keadaan yang agak membimbangkan. Selepas berjaya menamatkan musim lalu dengan status Naib Juara Piala Malaysia, mereka kehilangan beberapa tonggak.
Antara 2 nama yang menjadi sebutan adalah pemergian 2 pemain penting mereka iaitu Hazwan Bakri dan juga Nazmi Faiz.
Kali ini kami menggariskan impak yang ditinggalkan oleh Nazmi Faiz kepada pasukan ini yang kami rasakan lebih berat berbanding dengan kehilangan Hazwan Bakri.
Persoalannya, adakah Selangor perlu mencari pemain dari baka (breed) permainan yang sama ataupun mencari sistem permainan yang baru?
1. Karakter Dan Peranan Nazmi Faiz
Nazmi Faiz adalah pemain yang lebih kepada pemain tengah menyerang. Namun dalam beberapa musim di Selangor, beliau juga banyak beraksi sebagai pemain tengah bertahan.
Pemain ini memiliki rekod pembangunan karier yang agak luar biasa. Jangan lupa! Dia pernah dilamar oleh kelab Biera Mar satu ketika dahulu. Beliau baru berusia 22 tahun dan sedang menuju fasa terakhir untuk ke kemuncak karier.
Di sebalik wajahnya yang agak sejuk, Nazmi Faiz juga agak berdarah panas di dalam padang. Namun beliau sentiasa terbuka untuk mengakui kesilapan diri.
Biasalah, dalam proses beranjak ke alam dewasa. Ia bukanlah perkara yang menjadikan beliau pemain yang teruk secara keseluruhannya.
Berikut Adalah 4 perkara yang harus dipandang berat oleh Selangor buat masa ini daripada kehilangan khidmat Nazmi Faiz.
1. Pengaruh Di Tengah
Dalam bola sepak, pengaruh di kawasan tengah padang memang sangat penting. Meskipun mereka memiliki pemain berjantung 3 seperti Veenod namun Nazmi ada kualiti yang berbeza.
Boleh dikatakan, semua pasukan pencabar kejuaraan memiliki pemain tengah yang berpengaruh. Nazmi bukanlah tipikal pemain tengah box to box.
Kami lebih menilai beliau sebagai pemain tengah pelbagai fungsi. Pemain ini memiliki kemampuan untuk mengawal tempo permainan sama ada mahu mempercepat ataupun melambatkannya. Beliau memiliki adaptasi yang agak baik.
Buktinya, beliau masih memberikan persembahan yang baik meskipun jurulatih dan sistem yang silih berganti. Hanya beberapa siri kecederaan yang mengganggu beliau.
2. Kualiti Hantaran
Nazmi Faiz mungkin penghantar bola terbaik dalam pasukan Selangor dalam beberapa musim. Beliau menjadi sebab kenapa pemain seperti Andik mahupun R. Gopinathan beroperasi lebih baik.
Kekuatan Nazmi adalah pada visi dan variasi hantaran. Beliau boleh melakukan hantaran panjang dan hantaran pendek yang baik.
Pada musim lalu, ketiadaan Nazmi akan menampakkan kekurangan kualiti hantaran yang bervisi. Mereka akan banyak bergantung kepada gerakan yang deras dari tengah.
3. Pemain Yang Adaptive
Musim lalu, boleh dikatakan pasukan Selangor terlalu banyak membuang masa untuk mencari sistem dan taktikal utama.
Namun mereka bernasib baik kerana memiliki pemain yang boleh hidup dalam ekosistem yang berubah-ubah. Antaranya Andik Vermansyah, S. Veenod dan juga Nazmi Faiz.
Jika musim ini mereka berhadapan dengan isu yang serupa, rasanya agak berat untuk Selangor mencari pemain yang adaptive seperi Nazmi di bahagian tengah.
4. Siapa Pengganti?
Ini adalah masalah yang sudah berlaku sejak musim lalu. Mereka tidak memiliki pemain yang benar-benar ada kualiti untuk menggantikan peranan Nazmi sebagai perancang di tengah.
Buat masa ini, transaksi pemain di Selangor agak kurang dan kami masih belum melihat ada potensi penganti beliau untuk pernan itu.
Apabila hal ini berlaku, bermakna, Selangor akan bekerja dengan satu sistem baru tanpa pemain yang boleh merancang dan melancarkan hantaran kunci dari tengah.
Kesimpulan
Ia adalah kehilangan yang agak besar untuk Selangor dari segi pemain berkualiti. Beliau boleh dikatakan ‘core’ kepada operasi Selangor di tengah.
Maksudnya di sini, mereka kehilangan pemain berkualiti untuk membentuk pasukan pada musim hadapan.
Sifir mudah dalam bola sepak adalah, jika anda kehilangan pemain berkualiti, anda harus menggantikannya dengan pemain berkualiti.
Dari segi kesan kepada taktikal, rasanya sukar untuk dibahaskan kerana Selangor sepanjang musim lalu tidak memiliki sistem permainan yang signifikan.
Pada kempen Piala Malaysia nampak mereka semakin baik. Namun kini mereka sudah kehilangan besar pemain-pemain penting mereka.
Oleh itu isu back up plan sangat penting. Ini kerana pihak pengurusan pastinya sudah tahu bila pemain ini tamat kontrak dan peratusan potensi mereka kehilangan pemain ini.
Baca juga : Shunsuke Nakamura: Raja Sepakan Percuma Dari Jepun