Quantcast

BERITA

Polis Sahkan Mayat Ditemui Adalah Emiliano Sala Selepas Pengecaman Dilakukan

Pihak Polis Dorset telah mengesahkan mayat yang dibawa naik dari pesawat malang yang terhempas di Selat Inggeris sebagai penyerang Cardiff City, Emiliano Sala.

Penyerang berusia 28 tahun itu bersama juruterbang, David Ibbotson dilaporkan hilang ketika di dalam penerbangan dari Nantes ke Cardiff, selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik pada 21 Januari lalu.

Pesawat Piper Malibu itu kemudiannya dijumpai di dasar Selat Inggeris pada Ahad lalu – dan satu mayat telah dijumpai dari bangkai pesawat malang itu pada Rabu lalu.

Polis Dorset dalam satu kenyataan pada lewat Khamis berkata: “Mayat tersebut terus dibawa ke Perlabuhan Portland pada hari ini, 7 Februari 2019, dan disahkan oleh pihak koroner sebagai pemain bola sepak profesional, Emiliano Sala.

“Keluarga Emliano Sala dan juruterbang, David Ibbotson telah dimaklumkan mengenai penemuan ini dan sekumpulan anggota yang telah dilatih khas akan terus bersama mereka untuk melalui saat sukar ini.”

“Segala ingatan kami akan terus bersama mereka di saat sukar ini.”

Penyerang kelahiran Argentina itu baru sahaja melengkapkan perpindahan bernilai £15 juta untuk menyertai Cardiff City dari Nantes, sebelum kembali untuk kunjungan singkat ke Perancis.

Namun penerbangan kembali pemain itu ke Wales dilaporkan hilang sebelum bangkai pesawat dijumpai kira-kira 21 batu dari pesisiran pantai Guernsey.

Kenyataan dari Cardiff City berkata: “Kami melahirkan rasa simpati dan takziah buat keluarga Emilianio. Pemain ini dan David akan sentiasa diingati.”

Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) turut memuatnaik kenyataan di Twitter dengan berkata: “Ia adalah perkara yang amat menyakitkan untuk mengetahui kematian Emiliano Sala. Ucapan takziah dari kami untuk keluarga dan mereka yang terdekat dengan beliau.”