Polemik Konspirasi Di Sebalik Pelanjutan Jendela Perpindahan Liga Malaysia 2021

Jika Liga Malaysia ini adalah sebuah produksi, maka bolehlah kita anggap ia sebagai sebuah drama bersiri. Setiap tahun adalah musim baharu, dan setiap bulan yang dilalui di setiap pertandingan liga, Piala FA atau pun Piala Malaysia adalah siri yang perlu diikuti.

Naratifnya di setiap pertandingan juga tidak jauh berbeza dengan drama-drama yang dikeluarkan di televisyen tempatan kita. Pasti akan ada pelbagai kisah yang menampilkan plot twist yang berunsur fitnah, sikap gila kuasa, cemburu, kecurangan dan tikam belakang.

Akhirnya yang terhasil hanyalah persepsi menyebabkan integriti pelbagai pihak dipersoalkan. Di sebalik longokan naratif negatif ini semua, kita masih mahu bola sepak di negara ini dipanggil sebagai sebuah industri. Kita masih mahu melihat pasukan kebangsaan kita layak ke Piala Dunia suatu hari nanti.

Lalu bagaimana mahu kita lakukan itu dengan persekitaran negatif yang hanya akan membawa kita ke belakang? Bagaimana adanya kepercayaan sekiranya integriti yang dipersoalkan.

Penangguhan tarikh tutup jendela perpindahan

Semalam Malaysian Football League (MFL) mengumumkan jendela perpindahan pemain akan dilanjutkan selama dua minggu lagi selepas mendapat lampu hijau untuk berbuat demikian daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ini bermakna jendela yang sepatutnya ditutup pada hari ini akan dibuka sehingga 5 Mac 2021. Melalui kenyataan yang dikeluarkan semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan menjelaskan permohonan untuk melanjutkan tempoh jendela perpindahan adalah perlu selepas  terdapat permohonan daripada pasukan yang hadapi masalah dengan pemain asing dan tempatan selain berkaitan dengan persiapan pasukan dalam tempoh PKP.

Untuk rekod, tarikh jendela perpindahan pemain pertama Liga Malaysia sebelum ini bermula pada 21 November 2020 sehingga 12 Februari 2021 dilanjutkan kepada 19 Februari 2021 selepas mendapat kebenaran FIFA.

Dan secara tidak langsung pengumuman oleh MFL sehari sebelum tarikh tutup secara automatik mencetuskan plot twist pertama Liga Malaysia sekaligus menimbulkan persepsi tidak diperlukan.

Apa status pasukan Liga Malaysia?

Maka untuk mewujudkan prasangka cerita konspirasi, ia adalah perkara yang terlalu mudah untuk dilakukan. Tetapi pada masa yang sama tindakan sedemikian naif kerana di sebalik usaha kita memartabatkan pertandingan tempatan kita di peringkat tertinggi, pemikiran dangkal sebegini masih ada.

Apa status pasukan-pasukan di Liga Malaysia? Berdasarkan kemaskini terkini dua lagi pasukan Liga Super yang masih belum memenuhi kuota import masing-masing ialah Selangor FC dan Perak FC.

Perak difahamkan sebelum ini hanya menyandarkan k cabaran kepada trio Brazil, Leandro Dos Santos, Guilherme de Paula dan Raianderson Da Costa Morais atau Careca serta pemain Singapura, Shakir Hamzah. Pengumuman terbaru dari MFL ini pasti membuatkan mereka menarik nafas lega.

Begitu juga dengan Selangor yang dilihat menggunakan masa terlalu lama untuk menanti status Ifedayo Olesegun untuk didaftarkan sebagai pemain import kuota Asia.

Ini bermakna JDT menjadi pasukan ketiga yang masih sempat mencari pemain import baharu untuk mengisi kuota kosong yang ditinggalkan Jonathan Herrera. Mengapa JDT sahaja yang dipersalahkan oleh komuniti bola sepak d Malaysia?

Seperti semua sedia maklum masih ada beberapa pasukan belum lagi melengkapkan kuota import masing-masing untuk musim 2021 walaupun tempoh pendaftaran pemain telah dilanjutkan sebelum ini.

Untuk memohon kebenaran daripada FIFA, kami percaya MFL tidak melakukannya secara semalaman. Kebenaran mungkin dipohon seminggu atau dua minggu sebelum itu.

Maka ini bermakna Selangor dan Perak juga mungkin merupakan pasukan yang melakukan permohonan untuk jendela perpindahan pemain dilanjutkan.

Kebetulan atau dirancang?

Kebetulan atau tidak, pengumuman oleh MFL ini tiba pada hari yang sama JDT dikhabarkan akan melepaskan pemain import mereka yang baru sebulan bersama, Jonathan Herrera.

Pemain penyerang No. 9 itu dikhbarkan akan dilepaskan kembali ke Argentina untuk menyertai Independiente secara pinjaman – dengan pilihan perpindahan tetap pada masa hadapan.

Perkongsian IG Story Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, pemilik JDT.

Di mata JDT, urusniaga tersebut hanya akan memberikan mereka faedah keuntungan kerana turut akan dibayar USD500,000 (RM2.02 juta) untuk perpindahan tersebut. Di sebalik perkhabaran tersebut, belum ada pengumuman rasmi dari JDT sendiri melainkan perkongsian IG Story dari Kumpulan penyokong BOSS dan juga dari TMJ.

Tatkala kebanyakkan pasukan terkesan secara ekonomi akibat penularan pandemik di seluruh dunia, urusniaga tersebut dilihat sebagai satu  peluang untuk meraih pendapatan dan keuntungan.

Bagaimana pula pendapat dari sudut pandangan penyokong. Seperti dijangka pelbagai tohmahan mulai timbul. Perlu diingat bahawa JDT adalah kelab yang paling berjaya di Malaysia dengan tujuh kejuaraan Liga Super berturut-turut sebelum ini.

Malah di sebalik persiapan rapi pasukan-pasukan lain, JDT tetap merupakan pilihan utama untuk kejuaraan kelapan pada musim ini.

21 trofi keseluruhan yang diraih skuad senior dalam semua pertandingan memberi indikasi dominasi JDT di dalam landskap bola sepak di negara ini.

21 trofi keseluruhan yang diraih skuad senior dalam semua pertandingan memberi indikasi dominasi JDT di dalam landskap bola sepak di negara ini. Dan seperti mana pasukan-pasukan lain yang mendominasi pertandingan domestik di mana-mana jua di dunia, mereka akan dibenci oleh musuh.

MFL kena ambil langkah berjaga-jaga

Bagi kami, sememangnya merupakan tanggungjawab MFL untuk sentiasa berhati-hati dalam memastikan setiap pasukan yang mahu mengambil pemain import tidak melakukannya secara terburu-buru.

Silap langkah, pasukan berkemungkinan akan terjerat dengan mengambil pemain import yang tidak berkualiti, namun tetap masih perlu membayar gaji atau pampasan, sekaligus menyebabkan kerugian.

Perlu diingat bahawa pasukan-pasukan bertanding kini di ambang penswastaan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun akan datang. Beban hutang melampau perlu dielakkan bagi memudahkan pelabur yang berminat tampil selaku pemegang taruh atau pemilik pada masa depan.

Keadaan semasa di dalam negara akibat penularan pandemik juga tidak membantu. Tatkala kebanyakan negeri  di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), dan pertandingan baharu sahaja mendapat lampu hijau dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diteruskan, penangguhan penutupan jendela perpindahan sedikit sebanyak membantu pasukan bertanding berjimat kos gaji pemain.

Namun di sebalik keputusan MFL mendengar rayuan dari pasukan-pasukan bertanding agar jendela perpindahan dilanjutkan ini, adakah MFL bertindak mengikut perundangan di dalam buku MFL sendiri?

Rumusan: Pengurusan persepsi

Walaupun niat MFL boleh difahami, kami juga percaya perkara dan isu yang tiba-tiba menjadi hangat ini boleh dikendalikan dengan lebih baik.

Persoalannya kini ialah adakah keputusan melanjutkan tempoh perpindahan jendela perpindahan turut mendapat sokongan semua pasukan bertanding? Adakah mereka dimaklumkan terlebih dahulu? Adakah persetujuan mereka diperolehi sebelum permohonan kepada FIFA dilakukan?

Sekiranya MFL menghormati pasukan-pasukan bertanding selaku pemegang taruh di dalam entiti, maka pendapat dan persetujuan semua pihak juga perlu diambil kira sebelum apa jenis perubahan dilakukan.

Ambil contoh saingan Liga Perdana Inggeris. Cadangan pertukaran lima pemain daripada tiga pertukaran sebelum ini tidak diteruskan kerana rata-rata pasukan tidak bersetuju. Ini bermakna cadangan tersebut tidak diteruskan atas keputusan sebulat suara.

Namun di dalam isu melanjutkan jendela perpindahan ini, adakah MFL mendapat pandangan dan kebenaran dari setiap pasukan terlebih dahulu?

Satu perkara yang pasti ialah budi bicara MFL tidak cukup. Kita mahukan saingan yang sihat di dalam industri. Untuk itu, MFL perlu terlebih dahulu memperbaiki pengurusan persepsi dalam segala hal agar integriti pertandingan tidak lagi dipersoalkan pada masa depan.

Seperti kata penulis di awal tadi, kita masih mahu bola sepak di negara ini dipanggil sebagai sebuah industri. Kita juga masih mahu melihat pasukan kebangsaan kita layak ke Piala Dunia suatu hari nanti. Tiba masanya Liga Malysia mencari naratif positif dalam penceritaannya.

 

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola)

Baca artikel menarik yang lain dari kami melalui pautan di bawah:

Ini Sebab Orang Tak Boleh Duduk Layan Liga Malaysia Dan Lari

Rahsia Jumlah Tajaan Liga Malaysia Untuk Elak Persepsi

Bola Sepak Di Sekolah: Realiti, Cabaran, Prospek, Potensi Dan Tanggungjawab Kita

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN