Paul Pogba meledak satu gol dan mencipta satu jaringan apabila kembali beraksi selepas dua bulan diketepikan, ketika membantu Manchester United menang 4-1 ke atas Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, awal pagi tadi.
Dalam aksi itu, United perlu bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk meraih satu mata apabila Dwight Gayle meledak gol pembukaan untuk skuad bimbingan Rafa Benitez itu pada minit ke-14.
Namun, gerakan Pogba berjaya mencetuskan gol penyamaan tuan rumah apabila dia melambungkan hantaran yang disambut Anthony Martial untuk menjadikan kedudukan 1-1, pada minit ke-37.
United kemudian mendahului permainan di penghujung babak pertama (minit ke-45), apabila Chris Smalling melonjak tinggi untuk menanduk masuk hantaran lintang Ashley Young.
“Kami berdepan kesulitan apabila beraksi dalam perlawanan yang sukar tanpa pemain yang penting, jadi kita perlu lihat sama ada kita mampu mengharungi beberapa aksi selepas ini dengan pemain yang ada ketika ini.
“Lebih ramai pemain yang kami ada, lebih baik situasi itu untuk saya.
“Apapun, saya berpuas hati dengan kemenangan ini dan kualiti yang ditunjukkan pemain untuk bangkit selepas dikejutkan dengan gol pembukaan oleh pasukan lawan,” kata Mourinho.
Pogba menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-54, sebelum Romelu Lukaku menamatkan kemarau jaringannya dalam tujuh perlawanan apabila meledak gol ke-12 musim ini ketika perlawanan berbaki 20 minit.
Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menyifatkan Paul Pogba berada pada kelas tersendiri selepas pemain tengah Perancis itu menjadi watak penting ketika membantu pasukannya menewaskan Newcastle United.
“Paul Pogba adalah kelas yang berbeza. Paul dan Nemanja Matic membesar bersama pada awal musim dan menjadi enjin kepada pasukan,” kata Mourinho.
Mourinho berkata, dia menyerahkan kepada Pogba untuk membuat keputusan berapa lama dia mahu beraksi di atas padang selepas kembali diturunkan dan akhirnya dia dibawa keluar pada babak kedua.
“Ia terpulang kepada Paul, berapa lama dia mahu bermain sehinggalah dia berasa penat. Ia adalah prestasi yang menakjubkan daripada Paul,” katanya.
Pogba berkata, United hanya akan meningkat dengan kehadirannya dan penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic.
“Kami menang, kami mengumpul tiga mata dan itu yang paling penting. Saya, Zlatan Ibrahimovic dan Marcos Rojo sudah pulih daripada kecederaan, jadi kami gembira.
“Saya lihat pasukan yang sama, dan merasai suasana yang sama. Saingan musim ini masih panjang, ia bukan mengenai sekarang tetapi ia mengenai penghujung saingan.
“Ia sesuatu yang mengecewakan apabila kamu tidak boleh beraksi, kamu mahu membantu pasukan tetapi kamu hanya fokus kepada proses pemulihan,” kata Pogba.
Ibrahimovic yang masuk ketika perlawanan berbaki 13 minit berkata, dia tidak mahu terburu-buru memandangkan ia adalah penampilan pertamanya.