Paul Pogba mengaku telah melakukan ‘kesilapan bodoh’ yang menghadiahkan Arsenal kemenangan 1-0 di Old Trafford.
Walaupun pengurus United Ole Gunnar Solskjaer merasakan perlawanan awal pagi tadi sepatutnya berakhir dengan seri 0-0, Pogba memastikan ramalan pengurusnya salah apabila membentes Hector Bellerin pada minit ke-68.
Bellerin tak berada dalam kedudukan bahaya pun sebelum Pogba datang menerjah bek kanan Arsenal itu. Insiden itu memberi sebab kepada Mike Dean untuk menghadiahkan penalti yang kemudiannya disempurnakan oleh Pierre-Emerick Aubameyang.
Ketika diminta menjelaskan insiden penalti tersebut, Pogba mengaku ia satu kesilapan bodoh daripadanya.
“Mungkin saya semput sikit. Itu membuatkan saya melakukan kesilapan bodoh tersebut,” kata pemain tengah Perancis itu kepada BBC Sport.
“Saya rasa saya ada sentuh dia sikit dan saya tahu saya berada dalam kotak penalti. Saya tak sepatutnya bagi penalti macam itu.
“Saya mengaku saya kurang bagus bila disuruh bertahan. Tapi saya boleh belajar dan perbaiki daripada insiden tersebut.”
Ini merupakan kali ketiga Pogba menghadiahkan penalti kepada pasukan lawan sepanjang Solskjaer bergelar pengurus di United. Tiada pemain United lain yang menghadiahkan penalti lebih daripada satu kali, apatah lagi lebih daripada Pogba.
Solskjaer, ketika diminta mengulas kesilapan Pogba, hanya berkata apa yang penting Pogba mengaku itu kesilapannya sendiri.
“Paul dah mengaku [kesilapannya]. Dia tahu dia patut bertindak lebih baik dalam situasi tersebut. Kalau dia cuma bayangi sahaja gerakan [Bellerin], semuanya akan jadi OK kerana [Bellerin] tak boleh pergi mana-mana.”
Masa depan Pogba di United
Dengan berita negatif ini, jumlah penyokong United yang mengaku mula faham kenapa Sir Alex Ferguson melepaskan Pogba pada musim panas 2012 semakin membesar.
Pada Julai 2012, Ferguson berkata Pogba langsung tidak menghormati kelab. Beliau dipetik berkata:
“Sangat menecewakan. Dia langsung tak hormatkan kelab. Saya sangat gembira jika pemain-pemain macam dia tak bermain untuk kami.”
Kata-kata Ferguson itu ada kebenarannya. Lebih-lebih lagi apabila Pogba sebelum ini telah menyatakan minatnya secara terbuka untuk menyertai Real Madrid.
Tetapi berdasarkan situasi semasa, peluang Pogba untuk menyertai Real Madrid nampak samar selepas United baru mengaktifkan klausa lanjutan satu tahun dalam kontraknya. Ini bermakna kontrak Pogba akan tamat pada 2022.
Klausa lanjutan kontrak ini diaktifkan meskipun di atas padang, prestasi Pogba masih belum konsisten.
Misalnya dalam perlawanan awal pagi tadi, Pogba hilang bola sebanyak 15 kali – paling banyak berbanding mana-mana pemain United lain – meskipun mempunyai peratusan ketepatan hantaran sebanyak 87.5%.
Pogba tetap bekerja keras dalam perlawanan tersebut, meliputi jarak sehingga 10.26km. Hanya Scott McTominay yang meliputi jarak lebih banyak. Tetapi Pogba gagal mencatat sebarang percubaan sepanjang perlawanan – satu statistik yang mengecewakan bagi seorang pemain yang dianggap ‘ancaman serangan’.
Bagi Solskjaer, beliau mempunyai andaian Pogba selalunya akan ‘menyimpan’ persembahan terbaiknya hanya di pentas Champions League.
“Kami kena perbaiki, pasukan dan diri saya, tapi ia bermula dari saya. Gol penalti itu silap saya tapi pasukan sendiri menunjukkan persembahan buruk,” kata Solskjaer.
Baca juga artikel lain yang berkaitan:
Paul Pogba: Impian Semua Pemain Bola Sepak Nak Sertai Real Madrid