Manchester United akan meneruskan pencarian pengurus baharu kelab tersebut, walaupun Ole Gunnar Solskjaer setakat ini mencatat 100% rekod kemenangan – sejak Jose Mourinho dipecat sebagai pengendali juara Inggeris sebanyak 20 kali itu.
Solskjaer kini sedang bersama-sama skuad yang dikendalikan beliau dengan status sementara menjalani latihan di Dubai – sambil menikmati cuaca panas di negara teluk tersebut.
Tiada jaminan
Rekod cemerlang Solskjaer bersama United setakat ini membuatkan beliau menyamai rekod cemerlang Sir Matt Busby yang menang semua lima perlawanan kompetitif pertama sejak bergelar pengendali kelab tersebut.
Kejayaan jurulatih dari Norway itu bukan sahaja melalui keputusan positif yang dihasil dari perlawanan di atas padang. Malah bekas penyerang itu turut dikatakan telah berjaya memulihkan moral pemain, dan menyatukan kembali barisan kejurulatihan dan staff lain.
Perubahan ini menyebabkan ramai di kalangan penyokong Manchester United mahu Solskajer terus dikekalkan sebagai pengurus tetap melangkaui musim ini – sekaligus memimpin kelab tersebut untuk tempoh jangka masa panjang.
Pochettino tetap pilihan No.1
Menurut laporan dari ESPN, beberapa pemain utama kelab tersebut turut telah menyuarakan keinginan agar Solskjaer dikekalkan sebagai pengurus, dan diberi peluang untuk mencipta kejayaan bersama kelab yang pernah beliau beraksi bersama.
Kunjungan ke Wembley untuk berhadapan Tottenham pada Ahad ini akan menjadi ujian getir pertama buat Solskjaer dan barisa pemainnya.
Sumber dari ESPN tersebut turut menekankan Pochettino tetap menjadi pilihan No.1 untuk mengambil alih di Old Trafford pada musim panas akan datang. Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri turut menjadi sebutan sebagai salah seorang calon jika pihak pengurusan tertinggi kelab gagal meyakinkan Tottenham untuk melepaskan Pochettino.
Solskjaer setakat ini berjaya membuatkan Naib Pengerusi kelab, Ed Woodward dan keluarga Glazer sebagai pemilik gembira dengan pencapaian yang dilakukan. Sedikit sebanyak ia membuka sedikit ruang untuk Solskjaer untuk dikekalkan melewati musim ini di Old Trafford.
Ianya bukan mudah buat pengurus tersebut, namun tidak mustahil untuk berlaku setelah Old Trafford berjanji pemilihan yang telus akan dilakukan pada penghujung musim nanti.