Lionel Messi jelas tidak gembira apabila dikeluarkan pada 15 minit terakhir perlawanan oleh pengurus pasukan, Mauricio Pochettino. Apatah lagi ia dilakukan pada ketika Paris Saint-Germain (PSG) sedang memburu gol dalam perlawanan menentang Lyon itu.
Ditanya wartawan mengenai perkara tersebut, Pochettino seperti terpaksa menjelaskan apa yang dilakukannya untuk mempertahankan tindakannya itu.
Messi tampil buat pertama kali di hadapan penyokong sendiri dalam perlawanan menentang Lyon di Parc des Princess jelas tidak gembira dikeluarkan Pochettino. Malah Messi enggan berjabat tangan dengan pengurusnya itu sambil berkata sesuatu ketika dikeluarkan dan menuju ke bangku pemain simpanan.
Kedudukan semasa ketika itu sedang terikat 1-1 sebelum Mauro Icardi menjaringkan gol kemenangan minit akhir untuk PSG meraih tiga mata.
Apa komen Pochettino mengenai Messi?
Walaupun memenangi perlawanan secara dramatik, fokus selepas perlawanan lebih tertumpu kepada keputusan Pochettino yang mengeluarkan Messi ketika pasukan memerlukan jaringan.
Penyerang Argentina berusia 34 tahun itu sehingga kini belum lagi menjaringkan gol untuk kelab barunya itu, walaupun hampir melakukannya melalui sepakan percuma yang sekadar mengegegarkan penjuru palang gol Lyon.
https://twitter.com/messiprimes/status/1439687274330042371
Ditanya mengenai keputusan mengeluarkan Messi, ini penjelasan Pochettino: “Semua orang tahu kami mempunyai pemain-pemain yang hebat di dalam pasukan.
“Kami memiliki pemain yang ramai iaitu 35 orang. Kemudian kami perlu membuat keputusan. Siapakah yang perlu diturunkan di dalam kesebelasan utama. Kemudian kami juga perlu membuat keputusan ketika perlawanan sedang berlangsung.
The look Messi gave Pochettino when he was taken off in the 76th minute 😬 pic.twitter.com/GfuGCONo41
— GOAL (@goal) September 19, 2021
“Adakalanya keputusan dan pilihan yang dilakukan membuahkan hasil. Sebab itu anda boleh melihat kami berdiri di hadapan kawasan teknikal berhampiran bangku pemain simpanan kerana kami sedang berfikir apakah yang perlu dilakukan. Dan anda perlu membuat keputusan, yang kemudiannya akan menjadi atau tidak dalam perlawanan. Sama ada anda suka atau tidak.”
Pochettino puji karakter pemain PSG
Keputusan Pochettino mengeluarkan Messi mungkin akan memberikan akibat yang buruk sekiranya PSG gagal meraih kemenangan. Mujurlah pada lewat masa kecederaan, hantaran lintang oleh Kylian Mbappe berjaya ditanduk masuk oleh Icardi untuk gol kemenangan.
PSG terlebih dahulu ketinggalan dalam perlawanan ini selepas Lucas Paqueta menyempurnakan hantaran menarik Karl Toko Ekambi pada awal babak kedua.
PSG kemudiannya diberi penalti kontroversi yang diperolehi Neymar, dan disempurnakan sendiri oleh bintang Brazil itu.
Kemenangan menentang Lyon bermakna PSG kini meneruskan rekod 100% di Ligue 1 dan memiliki kelebihan lima mata ke atas Marseille di kedudukan teratas liga.
Ia juga adalah respon terbaik selepas kecewa dengan keputusan seri menentang Club brugge di saingan peringkat kumpulan Champions League pada pertengahan minggu lalu.
“Ia sangat positif untuk kami,” kata Pochettino.
“Selepas aksi sukar menentang Brugge, menang semula adalah amat penting. Lyon adalah pasukan yang hebat, dengan pemain yang bagus dan mereka beraksi dengan baik pada babak pertama. Selepas dibolosi, kami terpaksa menampilkan karakter.
“Kami perlu mendapatkan keseimbangan untuk mencari kekuatan pasukan. Kami akan terus bekerja untuk itu.”