Statistik Perbandingan Antara Harry Kane Dan Romelu Lukaku

Statistik perbandingan antara Harry Kane dan Romelu Lukaku sangat menarik untuk dibincangkan menjelang pertemuan kedua-dua mereka malam ini.

Chelsea akan berkunjung ke Tottenham Hotspur malam ini dengan harapan untuk menewaskan seteru utama mereka itu, seterusnya membawa pulang tiga mata berharga.

Apa yang menariknya tentang pertembungan ini adalah berkait penyerang yang mereka miliki, dengan kedua-dua pasukan memiliki pemain penyerang terbaik dalam dunia bola sepak hari ini.

Romelu Lukaku kembali ke Chelsea dan beliau dilihat berjaya mematikan sumpahan nombor sembilan The Blues sejak dari hari pertama beliau diturunkan untuk beraksi.

Dari empat perlawanan, Lukaku telah berjaya menjaringkan empat gol, dengan beliau dilihat berbeza dari pemain yang kita lihat pernah beraksi bersama Manchester United sebelum ini.

Beliau hari ini bakal berdepan dengan seteru penyerang terbaik dunia, Harry Kane yang juga dilihat berbeza dari pemain yang peminat kenal sebelum ini.

Bintang England itu pada ketika ini dilihat serba tak kena dan serba tak menjadi ketika beraksi di bawah kendalian Nuno Espirito Santos.

Kane hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja dalam saingan UEFA Conference League baru-baru ini sejak rundingan perpindahannya ke Etihad bertemu kegagalan.

Dalam aksi saingan Premier League pula, Kane dilihat serba tak menjadi dan beliau jelas tidak berad di tahap persembahan terbaiknya, selepas hanya mampu mencatatkan dua percubaan dari tiga perlawanan.

Ia jelas perbezaan yang ketara antara Lukaku yang sedang dalam rentak persembahan terbaiknya sejak kembali ke England, berbanding Kane yang masih tak jumpa apa yang beliau cari.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pemain itu masih dianggap yang terbaik dari yang terbaik dan bakal menjadi tumpuan utama dalam pertembungan mereka pada malam ini.

Statistik

HARRY KANE
Gol Liga: 166
Gol Champions League: 20
Gol Europa League: 13
Gol Antarabangsa: 41

ROMELU LUKAKU
Gol Liga: 163
Gol Champions League: 14
Gol Europa League: 20
Gol Antarabangsa: 67

Satu-satunya gol yang berjaya dijaringkan oleh Harry Kane pada musim ini adalah ketika aksi bertemu Pacos De Ferreira dalam saingan Europa Conference League.

Beliau juga gagal untuk memberikan sebarang impak positif untuk skuad Tottenham Hotspur sepanjang musim ini.

Spurs berjaya mencatatkan tiga kemenangan dari tiga perlawanan awal liga, namun mereka kecundang ketika beraksi bertemu Crystal Palace sebelum ini.

Kane walau bagaimanapun berjaya mendapatkan rentak persembahan terbaiknya ketika beraksi bersama skuad kebangsaan England baru-baru ini.

Beliau berjaya menjaringkan tiga gol dari tiga perlawanan ketika rehat antarabangsa pada September ini, yang mana ia jumlah yang sama dengan apa yang Lukaku catatkan bersama Belgium.

Kedua-dua pemain pernah bertemu sebanyak 12 kali sepanjang karier masing-masing di peringkat kelab dan negara, dengan Kane mencatatkan enam kemenangan dan menjaringkan empat gol.

Lukaku sementara itu mencatatkan empat kemenangan dan hanya berjaya menjaringkan dua gol sahaja ketika kedua-dua mereka bertembung di atas padang yang sama.

Walau bagaimanapun, melainkan Kane berjaya untuk mendapatkan rentak persembahan terbaiknya semula, maka pertembungan kedua-dua mereka tentu menarik untuk ditonton malam ini.

Kane sudah sedikit ketinggalan dalam perebutan untuk memenangi kasut emas musim ini, namun tiada yang mustahil untuk berlaku andai beliau mampu untuk kembali mendapatkan rentak persembahan terbaiknya.

Lukaku sementara itu hanya perlu mengekalkan konsistensi yang beliau pamerkan dengan beliau kini berada di landasan terbaik untuk mencabar kedudukan sebagai pemenang kasut emas musim ini.

Bekas pemain kebangsaan England dan Aston Villa, Gabby Agbonlahor tampil mendedahkan tentang perbezaan yang beliau nampak pada Kane musim ini.

Beliau mendedahkan pandangan peribadinya tentang mengapa Kane dilihat tidak berkesan dengan corak permainan Spurs musim ini.

“Dia patut beritahu pada Dele Ali dan Lucas Moura yang dia perlu lebih banyak sokongan dan dia tak dapat bola jadi dia terpaksa turun ke bawah.”

Jelas Agbonlahor kepada talkSPORT.

“Kane juga perlu lihat pada pemain sayap dan full-back untuk melepasi pemain sayap lawan dan dapatkan bola hantaran lintang dari kawasan yang tepat, tapi saya rasa Kane patut lebih bermain sebagai penyerang dan kurang bermain di kawasan nombor 10.”

“Paling penting, dia perlu tengok pada diri dia sendiri dan berhenti turun terlalu bawah, ia mungkin berkesan dalam sesebuah perlawanan, tapi saya perasan baru-baru ini dia terlalu kerap ke bawah, kalau tengok pemain macam Lukaku, dia turun ke bawah juga tapi dia akan sentiasa ada dalam kotak, Kane tak berada di situ.”

“Lukaku hanya mahu menjaringkan gol, dia turun ke bawah, pergi ke kawasan midfield jika dia perlu, tapi bertemu Aston Villa saya tak nampak dia sentuh bola selain dari untuk jaringkan gol. Dia bersedia di tempat sepatutnya dan membenarkan pemain midfield jalankan tugas mereka, bawa bola masuk ke kawasan yang mana dia sudah tunggu.”

“Kamu lihat gol pertama Lukaku bertemu Aston Villa, sedikit pergerakan dari belakang dan itu yang dia tambah dalam permainan dia yang Kane tak ada.”

“Kane tak ada kelajuan yang Lukaku ada, jadi bagi saya jika saya perlu pilih penyerang yang mana, saya pilih Lukaku.”

Statistik kedua-dua Kane dan Lukaku menurut Agbonlahor.

Tandukan

Lukaku – 7/10
Kane – 6/10

Kekuatan

Lukaku – 10/10
Kane – 6/10

Sentuhan

Lukaku – 7/10
Kane – 10/10

Kemampuan Mengatur Permainan

Lukaku – 8/10
Kane – 9/10

Kerja sepasukan

Lukaku – 8/10
Kane – 9/10

Penyudah

Lukaku – 8/10
Kane –  9/10

Kelajuan

Lukaku – 8/10
Kane – 6/10

Keseluruhan

Lukaku – 56/70
Kane – 55/70

Sumber:

Leave a Reply